Connect with us

Oh! Media

Laburkan Harta Faraid Sebelum Dikembalikan Kepada Anak Yatim

Umum

Laburkan Harta Faraid Sebelum Dikembalikan Kepada Anak Yatim

Soalan:
Saya telah dilantik sebagai pemegang amanah bagi harta faraid anak buah saya yang masih kecil yang bernilai RM 100 ribu. Persoalan saya ialah bolehkan harta tersebut diniagakan sebelum diserahkan kepada anak buah saya setelah dia dewasa?
Jawapan:
Menjaga harta anak-anak yatim diletakkan dibawah tanggungjawab wali yang telah dipilih dan dilantik oleh hakim. Setiap wali yang dipilih wajib memastikan harta anak-anak yatim tersebut selamat dan diuruskan dengan sempurna sebelum dikembalikan semula kepada anak-anak yatim tersebut. Allah SWT telah berfirman:
وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا وَارْزُقُوهُمْ فِيهَا وَاكْسُوهُمْ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (Surah al-Nisa’ : 5)
Syeikh al-Maraghi menyebut kita dilarang memberi harta kepada orang yang belum sempurna akal (dalam jagaan kamu). Harta tersebut boleh diserahkan kepada anak yatim setelah mereka mencapai umur dewasa. Dalam situasi ini, janganlah kamu serahkan mereka harta tersebut kepada mereka agar tidak disia-siakan. Oleh hal yang demikian, peliharalah harta tersebut untuk mereka hingga mereka mampu berfikir dengan matang. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1088)
Menjawab kepada persoalan di atas, hukum wali melaburkan atau meniagakan harta anak-anak yatim yang berada di bawah jagaannya adalah harus dan dibolehkan. Hal ini berpandukan kepada satu hadis, Nabi SAW bersabda:
أَلاَ مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ وَلاَ يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ
“Hendaklah bagi sesiapa yang menjaga harta anak yatim memperniagakan harta tersebut, supaya ianya tidak ditinggal dimakan zakat.” [Riwayat al-Tarmizi (641)]
Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:
اتَّجِروا في مالِ اليتَامَى لا تَأكلُهَا الزكاةُ
“Niagakanlah harta anak yatim, sehingga ianya tidak dimakan zakat.” [Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (592)]
Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendangan bahawa diwajibkan zakat ke atas harta anak yatim. Ibn Malik menyebut harta anak yatim dikenakan zakat dan akan menyebabkan berkuranglah harta tersebut sedikit demi sedikit. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/297)
Hadis di atas menunjukkan, harta anak yatim dikenakan zakat sekiranya telah mencapai haul dan nisab yang ditetapkan. Harta itu perlu diuruskan dengan sebaiknya agar kebajikan anak tersebut terjamin pada masa hadapan. Justeru bagi mengelakkan harta tersebut terus susut dan berkurang disebabkan pembayaran zakat, maka adalah lebih baik bagi wali untuk mengembangkan dan menyuburkan harta tersebut dengan cara yang dilaburkan atau diletakkan dalam akaun simpanan tetap (fix deposit) atau Tabung Haji
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami cenderung menyatakan bahawa harta faraid milik anak yatim adalah harus dan dibolehkan untuk diurusniagakan oleh walinya sekiranya harta tersebut melebihi had nisob yang wajib dikenakan zakat. Ini bagi mengelakkan harta tersebut terus berkurang dari tahun ke tahun disebabkan pembayaran zakat.
Namun begitu, wali perlulah menjamin harta tersebut daripada lesap dan terus hilang disebabkan oleh pelaburan yang merugikan. Demikian juga, , sekiranya nilai harta tersebut adalah kurang daripada nilai nisob wajib zakat, maka sebaiknya harta tersebut dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap (fix deposit) atau Tabung Haji. Elakkan dengan sewenang-sewenangnya melabur harta anak yatim yang berakhir dengan lebur dan lesap begitu sahaja.
Semoga apa yang disampaikan ini memberi kefahaman dan pencerahan kepada kita semua dalam melayari kehidupan mengikut neraca Islam yang sebenar. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top