Connect with us

Oh! Media

Kisah Orang Fasiq Meninggal Dunia

Umum

Kisah Orang Fasiq Meninggal Dunia

Ini kisah seorang kaya yang digelar OB menghadapi sakaratul maut dan kematian yang buruk asbab cara hidupnya di dunia.

ADVERTISEMENT

Sajak Sakaratul Maut

Sakarat…! Sakarat…! Sakaratul maut…!

Di hari itu, seorang OB rebah di kamar mandi, diserang lemah jantungnya yang menggugat nyawanya. Tengah malam pulang dari sebuah hotel di KL Bersama puan mudanya, bersama mulut dan lidahnya yang dinajisi alkohol dan banglonya di atas bukit.

Puan muda menelefon doktor peribadi OB dan doktor berkejaran bersama beg perubatannya dan sebatang jarum injection dibenamkan ke urat OB. Dan berombak-ombaklah nafasnya bergelombang dadanya dilambung nazak hempas-menghempas. Tujuh hari tujuh malam OB bergeletekan, golek gelentang di pembaringan dan seluruh dunia dan isinya berkumpul di dalam kepalanya.

(OB): “Bangloku! Mercedesku! Wangku dalam bank! Saham-sahamku di syarikat-syarikat! Rumah-rumah sewaku! Pengarah-pengarah, kuda-kudaku di padang lumba! Padang golfku! Anak-anakku di luar negeri! Dan isteri mudaku!”

Nazak hempas-menghempas, pulas-memulas dan pintal-memintal.

“Makan?” Geleng kepala! “Minum?” Geleng kepala! “Arak?” Geleng kepala! “Isteri muda?” Geleng kepala! “Mahu ke padang lumba kuda?” Geleng kepala! “Mahu pergi ke Genting Highland?” Geleng kepala! “Melancong ke Eropah?” Geleng kepala! “Ke Makkah naik Haji?” Geleng kepala! “Apa yang kau mahu?”

(OB): “Oh Tuhan, panjangkan umurku.”
“Panjang umur? Berapa tahun kau mahu? Seratus tahun, cukup?”

(OB): “Ya, seratus tahun!”
“Enam puluh tiga tahun tidak cukup? Tak puas hidup? Tidak kenyang makan maksiat? Belum bosan mengumpul dosa kau mahu panjang umur lagi!”

Sedetik lagi sakaratul maut datang. Sedetik lagi Izrail datang. Sedetik lagi Malaikatul Maut datang. Kau diambang sakaratul maut. Kau nazak sekarang, wahai OB.

(OB): “Aku makin tegang dan makin sendat nafas di dada. Kedinginan mulai mulai memanjat dan merayap kaki. Perlahan-lahan menjalar ke seluruh jasad dan tubuhku. Aku dilambung resah, gelisah, keluh kesah. Keluhan dan rintihan: Panas! Dahaga! Haus! Panas! Air tujuh lautan mahu di teguk. Sebesar tujuh dunia kelaparan merobek usus-usus.”

(OB): “Syaitan-syaitan datang berbondong-bondong menginjak-injak aku, menggoda aku, mahu memurtadkan aku.”

(OB): “Nenekku datang, Nenek!!”
(Syaitan 1): “Kau dahaga cucu? Kau lapar cucu? Mahu air? Ini bejana penuh air madu! Kalau cucu mahu masuk syurga minum air ini.”

(OB): “Ibu!!! Ibuku menggoyangkan buah susunya.”
(Syaitan 2): “Ini ibumu! Air susu ini membesarkan kau, nak! Buangkan Islam! Matilah dalam agama Yahudi.”

(OB): “Ayah!!! Kau datang ayah.”
(Syaitan 3): “Matilah dalam agama Yahudi, wahai anakku, matilah dalam agama Kristian, itulah agama yang membawa kau ke syurga, katanya!”

“Ucaplah Laa ilaaha illallaah!”
(OB): “Tidak! Tidak! Tidak…!”

“Ucaplah Laa ilaaha illallaah!”
(OB): “Tidak! Tidak! Tidak…!”

(OB): “Rumahku! Mercedesku! Wangku dalam bank! Saham-sahamku! Kuda-kudaku! Kolam mandiku! Padang golfku! Isteri-isteriku! Dan duniaku!”

(OB): “Sakaratul maut pun datang. Pak lebai dari rumah setinggan dipanggil oleh pemandu dengan mercedes dan memanjat bukit ke bangloku di puncak desir angin, tapi lidahku telah kelu dan sakaratul maut kian detik tiba.”

Manusia-manusia berjubah hitam datang, “Mari ikut kami!” Manusia-manusia berjubah hijau datang membawa payung hijau, katanya, “Mari ikut kami!” Cahaya putih datang. Datang sinar kuning. Datang kilatan hitam. Cahaya merah datang.

(OB): “Apa ini…? Apa ini!”
“Aku sakaratul maut!”

(OB): “Kedinginan menjalar merayap perlahan-lahan dari hujung kaki ke hujung rambut, dan kini seluruh jasadku diselimuti sejuk. Dan dingin singgah di tenggorokan, kemudian datanglah malaikat maut dihujung kepalaku.”

(Malaikat Maut): “Hai, jiwa yang keji! Keluarlah kepada kemurkaan Allah!”
(OB): “Rohku berselerak ke seluruh tubuhku”, lalu Inna lillaahi wainnaa ilayhi raaji’uun.

Malaikat-Malaikat yang menunggu sesayup mata memandang, dan menghamburlah bau bangkai sebusuk-busuknya. Tuliskan suratannya dalam Sijjin pada bumi yang terbawah.

(OB): “Roh aku dicampakkan, dikembalikan ke dalam jasad lalu datang dua orang Malaikat dan didudukinya aku.”

(Munkar dan Nakir): “Siapa Tuhanmu?”
(OB): “Ah! Ah! Ah! Aku tidak tahu!”

(Munkar dan Nakir): “Apa agamamu?”
(OB): “Ah! Ah! Ah! Aku tidak tahu!”

(Munkar dan Nakir): “Siapa lelaki ini yang diutus kepadamu?”
(OB): “Ah! Ah! Ah! Aku tidak tahu!”

(OB): “Datanglah kepadaku seorang lelaki yang hodoh wajahnya, buruk pakaiannya, busuk baunya! Siapa engkau?”

“Akulah amalanmu yang keji!”

(OB): “Kini aku diazab dan disiksa di dalam kubur. Menunggu! Menunggu doa anak yang soleh. Mana doa anakku seorang peguam? Mana doa anakku seorang doktor? Mana doa anakku seorang jurutera? Mana doa anakku seorang arkitek? Mana doa anakku seorang professor? Mana…? Mana…? Mana…?”

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas