Connect with us

Kepentingan Khusyuk

Umum

Kepentingan Khusyuk

Soalan:
Apakah status hadith ini?
لَوْ خَشَعَ قَلْبُ هَذَا، لَخَشَعَتْ جَوَارِحُهُ
“Sekiranya hati itu khusyuk, maka akan khusyuklah segala anggotanya.”
Jawapan:
Khusyuk termasuk di dalam sunat-sunat hai’ah di dalam mazhab al-Syafie. Adapun, pengertian khusyuk pula ialah kesedaran hati terhadap semua bacaan seperti zikir dan doa yang dituturkan oleh lidah sambil memerhati serta memikirkannya, menghayati maknanya dan berasa sedang bermunajat kepada Allah SWT.
Sebenarnya khusyuk dengan pengertian ini merupakan perkara yang mesti pada sepanjang masa bersolat dan solat akan terbatal sekiranya kelalaian menyelubungi keseluruhan solat tersebut dari awal hingga ke akhirnya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 96]
Oleh itu mengekalkan khusyuk di semua bahagian solat adalah sunat yang akan menjadikannya solat itu lebih sempurna. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Uthman bin Affan RA: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنِ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلاَةٌ مَكْتُوبَةٌ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهَا وَخُشُوعَهَا وَرُكُوعَهَا إِلاَّ كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا قَبْلَهَا مِنَ الذُّنُوبِ مَا لَمْ يُؤْتِ كَبِيرَةً وَذَلِكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ
“Seseorang Islam ketika tiba waktu solat fardhu, lalu dia berwudhu’ dengan sempurna khusyuk dan bersolat dengan sempurna, solat tersebut akan menutup dosa-dosa yang terdahulu selagi dia tidak melakukan dosa besar. Demikianlah seterusnya sepanjang zaman kerana mengulangi solat pada setiap hari.” [Riwayat Muslim (228)]
Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas diriwayatkan oleh Imam Ibn Abi Syaibah dan juga Imam Ibn Abd al-Razzaq di dalam musannaf mereka. Selain itu, Imam al-Ghazali juga memuatkan hadith tersebut di dalam kitabnya. Antara ulama yang menilai hadith atau riwayat di atas ialah:
• Imam al-Iraqi (806 H) ketika mentakhrijkan hadith ini di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din mengatakan hadith ini adalah dhaif dan sebenarnya ia adalah kata-kata daripada Said bin al-Musayyib. [Lihat: al-Mughni, 178/1]
• Imam al-Suyuthi (911 H) menilai hadith ini sebagai dhaif di dalam kitabnya. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 237/2]
• Syeikh al-Ghazzi al-‘Amiriy (1061 H) menyatakan sanad hadith ini dhaif dan ia terkenal sebagai kata-kata daripada Said bin al-Musayyib. [Lihat: Itqan ma Yuhsin min al-Akhbar, 459/2]
• Syeikh Muqbil al-Wadi’iy (1422 H) di dalam kitab beliau menyatakan hadith ini tidak thabit daripada Nabi SAW. [Lihat: al-Fatawa al-Hadithiyyah, 308/2]
Melihat kepada beberapa pandangan dan penilaian di atas, kami cenderung kepada status hadith ini adalah teramat dhaif kerana pada sanadnya terdapat perawi yang majhul. Selain itu juga, yang lebih tepat bahawa hadith tersebut merupakan kata-kata daripada Said bin al-Musayyib dan bukannya daripada Nabi SAW.
Penutup
Kesimpulannya, hadith di atas adalah terlalu dhaif. Akan tetapi, maknanya adalah sahih. Ini kerana, yang zahir itu merupakan petunjuk kepada yang batin. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW. Amin.
Wallahua’lam. 

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top