Connect with us

Kencing Berdiri: Dibolehkan Atau Dilarang?

Umum

Kencing Berdiri: Dibolehkan Atau Dilarang?

Soalan:
Apakah hukum kencing berdiri ?

Jawapan:
Isu ini telahpun dibincangkan oleh para ulama’ sejak sekian lama. Mereka terbahagi kepada dua pandangan sama ada yang melarang ataupun yang membolehkannya. Berikut merupakan dalil- dalil yang berkaitan dengan isu kencing berdiri.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

مَنْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَبُولُ قَائِمًا فَلاَ تُصَدِّقُوهُ مَا كَانَ يَبُولُ إِلاَّ قَاعِدًا
Sesiapa yang bercerita kepada kalian semua bahawasanya Rasulullah S.A.W itu kencing berdiri maka janganlah kalian mempercayainya. Tidaklah Rasulullah S.A.W itu kencing melainkan dalam keadaan duduk. [Riwayat al-Tirmizi (12)]

Juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A beliau berkata:

أَتَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ قَائِمًا ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَجِئْتُهُ بِمَاءٍ فَتَوَضَّأ
Nabi S.A.W mendatangi tempat buangan sampah sebuah kaum, kemudian baginda kencing secara berdiri. Kemudian baginda meminta air lalu aku membawanya dan baginda pun berwudhu’. [Riwayat al-Bukhari (224)]

Kedua-dua hadis di atas dilihat seakan-akan saling bercanggahan di antara satu sama lain. Akan tetapi, kami menyebut di sini berkenaan cara untuk mengharmonikan di antara kedua-dua dalil tersebut adalah dengan mengatakan: Dibolehkan kencing secara berdiri berdasarkan hadis Huzaifah, manakala yang lebih afdhal adalah kencing secara duduk kerana itulah yang paling kerap dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Yang zahirnya baginda melakukannya (kencing secara berdiri) adalah untuk menjelaskan akan keharusannya dan dalam banyak keadaan baginda membuang air kecil secara duduk. [Lihat Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar (1/330)]

Kami juga menyatakan bahawa para ulama’ yang mengharuskan perbuatan kencing berdiri turut menyebutkan beberapa perkara seperti berikut:
– Hendaklah ia dilakukan di tempat yang sembunyi dari penglihatan manusia lainnya supaya auratnya terpelihara.
– Hendaklah berhati-hati supaya air kecil tidak terpercik ke pakaian.

Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top