Connect with us

Oh! Media

Kelebihan Membaca Dua Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah

Umum

Kelebihan Membaca Dua Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah

SOALAN:
Apakah maksud hadith ini? Daripada Abu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:

ADVERTISEMENT

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
“Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.” [Riwayat al-Bukhari (5009)]

JAWAPAN:
Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril A.S. Di samping itu, di dalam al-Quran juga terkandung seribu satu rahsia bagi sesiapa yang mentadabburnya dan sentiasa melaziminya dengan membacanya. Selain itu, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa membaca dan mengamalkan ayat-ayat suci al-Quran berdasarkan kepada nas yang sahih sama ada daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.

Berdasarkan soalan di atas, antara makna telah cukup baginya di dalam hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini terbahagi kepada beberapa makna:

  • Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah).
  • Telah cukup baginya untuk membaca al-Quran sama ada di dalam atau di luar solat.
  • Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan aqidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
  • Telah cukup baginya (terselamat) daripada segala keburukan.
  • Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan.
  • Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
  • Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.

Melihat kepada makna-makna di atas, Imam Ibn Hajar mengatakan boleh jadi yang dimaksudkan oleh hadith adalah semua yang telah disebutkan. [Lihat: Fath al-Bari, 9/56]

Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata makna cukup baginya di dalam hadith di atas adalah cukup baginya mendirikan malam pada malam tersebut, cukup baginya (terpelihara) daripada keburukan syaitan serta daripada kebinasaan-kebinasaan dan boleh jadi ia membawa makna kesemuanya sekali. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 6/91-92]

Dua Ayat Terakhir Dari Surah al-Baqarah

Firman Allah SWT:

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّـهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ ﴿٢٨٥﴾ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ ﴿٢٨٦﴾
“Rasulullah telah beriman terhadap apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan Rasul-Rasul-Nya. (Mereka berkata): Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada kalangan Rasul-Rasulnya. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jualah tempat kembali. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami. Oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.” (Al-Baqarah: 285-286)

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang membaca di waktu malam dua ayat yang terakhir dari surah al-Baqarah ini serta memahaminya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Tambahan pula, hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan ini adalah bersumberkan daripada hadith yang sahih iaitu daripada kitab Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab paling sahih selepas al-Quran. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan ahli al-Quran dan orang-orang yang sentiasa mencintai serta mengamalkan apa yang terdapat di dalam al-Quran. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas