Connect with us

Oh! Media

Kelebihan Melihat Masjid Al-Aqsa

Umum

Kelebihan Melihat Masjid Al-Aqsa

Soalan:
Benarkah melihat Masjid al-Aqsa lebih baik daripada dunia dan seisinya?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Palestin merupakan salah satu Tanah Suci buat umat Islam seluruh dunia dan di sana juga diutuskan ramai para Anbiya’ (Nabi) dan Rasul. Di samping itu juga, telah menjadi satu kewajipan buat umat Islam untuk mengasihi dan mencintai Baitul Maqdis kerana kota suci ini disebut di dalam al-Quran sebagai sebuah kota yang diberkati oleh Allah SWT sekelilingnya kerana tempat tersebut telah menjadi tempat perjalanan Nabi SAW pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari masjid al-Haram (di Makkah) ke masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Isra’: 1)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya yang masyhur, masjid al-Aqsa di dalam surah al-Isra’ ini adalah Baitul Maqdis. Dinamakan masjid al-Aqsa adalah disebabkan jaraknya yang jauh daripada masjid al-Haram. Adapun, ia juga merupakan masjid yang paling jauh daripada ahli Makkah di atas muka bumi ini yang dituntut atau disyariatkan bagi kita untuk menziarahinya. [Lihat: Tafsir al-Munir, 13/15]

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan sumbernya yang mana kami temui hadith ini di dalam kitab al-Mustadrak oleh Imam al-Hakim.

Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَذَاكَرْنَا وَنَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهُمَا أَفْضَلُ: مَسْجِدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَوْ مَسْجِدُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَرْبَعِ صَلَوَاتٍ فِيهِ، وَلَنِعْمَ الْمُصَلَّى، وَلَيُوشِكَنَّ أَنْ لَا يَكُونَ لِلرَّجُلِ مِثْلُ شَطَنِ فَرَسِهِ مِنَ الْأَرْضِ حَيْثُ يَرَى مِنْهُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ خَيْرٌ لَهُ مِنَ الدُّنْيَا جَمِيعًا – أَوْ قَالَ: خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
“Kami sedang mengingati antara satu sama lain dan Rasulullah SAW berada di sisi kami berkaitan yang mana lebih afdhal di antara masjid Rasulullah SAW dan juga masjid Baitul Maqdis. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Solat di masjidku ini lebih afdhal daripada empat kali solat di Baitul Maqdis. Alangkah nikmatnya bagi orang yang solat. Sesungguhnya akan tiba satu masa, seseorang itu memiliki tanah seukuran tali kuda sehingga dia mampu melihat Baitul Maqdis. Hal itu adalah lebih baik baginya daripada dunia keseluruhannya atau lebih baik daripada dunia dan seisinya.” [Riwayat al-Hakim (8553), hadith ini dinilai sahih oleh al-Hakim dengan menyatakan sanad hadith ini adalah sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Zahabi juga menilai hadith ini sebagai sahih sepertimana penilaian al-Hakim]

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas menunjukkan kelebihan serta kemuliaan masjid al-Aqsa berbanding masjid-masjid yang lain melainkan masjid al-Haram dan masjid al-Nabawi. Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita lebih cakna, mengasihi dan mencintai msjid al-Aqsa dan mengambil peduli apa yang berlaku terhadapnya. Semoga suatu hari nanti, masjid al-Aqsa akan bebas dari cengkaman Yahudi Zionis dan kita semua dapat menunaikan solat di dalamnya dengan penuh rasa ketenangan. Amin.

Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas