Connect with us

Oh! Media

“Kalau Nak Cerai Sangat, Cerailah”

Umum

“Kalau Nak Cerai Sangat, Cerailah”

SOALAN:
Semalam saya bergaduh dengan isteri. Ketika itu, isteri saya mengugut-ugut saya supaya menceraikannya. Kemudian akibat tidak tahan saya melafaz ayat berikut:

ADVERTISEMENT

“Kalau nak cerai sangat, cerailah.”

Adakah jatuh cerai antara kami ustaz? Sebab saya tidak ada niat bercerai ketika itu, sebaliknya niat saya hanyalah kalau nak bercerai sangat, kita boleh teruskan mengikut prosedur. Mohon pencerahan terima kasih.

JAWAPAN:
Lafaz talaq terbahagi kepada dua; sama ada secara jelas (sarih) atau kiasan (kinayah).

Disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/116-118): “Lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain, dinamakan lafaz nyata (صريح). Sementara lafaz yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas, boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq. Ia dinamakan lafaz kiasan (كناية).”

“Lafaz yang nyata juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.”

Contohnya apabila menggunakan kalimah yang hanya digunakan untuk talaq iaitu (طلاق), lepas (سراح) atau pisah (فراق) dan kata terbitan daripada kalimah ini, seperti:

  • “Engkau diceraikan”
  • “Engkau dilepaskan”
  • “Aku menceraikanmu”
  • “Aku berpisah daripadamu”
  • “Aku lepaskanmu”

Manakala secara kiasan pula seperti seseorang berkata:

  • “Engkau tiada apa-apa lagi denganku”
  • “Engkau berasingan daripadaku”
  • “Engkau terputus hubungan denganku”
  • “Kembalilah kepada keluargamu”
  • “Pergilah ke mana engkau mahu”
  • “Pergi jauh daripadaku”
  • “Asingkanlah diri daripadaku”
  • “Aku biarkan kamu dengan caramu”
  • “Engkau haram bagiku”

Berkata Imam al-Syafie dalam al-Umm (5/129): “Kalimah-kalimah itu yang Allah Tabaraka wa Taala istilahkan sebagai talaq, apabila Dia berfirman:

إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ
“Apabila kamu -(engkau dan umatmu)- hendak menceraikan isteri-isteri (kamu)…” (Surah al-Talak: 1)

Dan firman-Nya:

فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ
“…maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik.” (Surah al-Talak: 2)

Dan firman-Nya Azza wa Jalla:

فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
“Oleh itu, berilah mut’ah (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ahzab: 49)

Maka kalimah-kalimah berkenaan ialah usul, sedangkan apa yang menyerupainya daripada jenis kalimah yang tidak diistilahkan dengan sebagai talaq dalam Kitab, Sunnah, Athar (tidak jelas) melainkan jika seseorang itu meniatkan talaq. Maka jika orang yang melafaz itu berniatkan talaq beserta dengan menyebut kalimah yang menyerupai talaq, barulah jatuh talaq. Jika dia tidak berniat maka tidak jatuh talaq.”

Justeru, berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa tidak jatuh talaq dengan menyebut “kalau nak cerai sangat, cerailah.” Ini kerana ia berbeza dengan lafaz jelas dalam bahasa Malaysia menggunakan kalimah “cerai” seperti “Aku ceraikan engkau.” Kesan daripada penggunaan kalimah “nak” dan “-lah” menunjukkan maksud yang tidak seratus peratus sama maksud dengan kalimah “ceraikan.” Boleh jadi “cerailah” bermaksud “Kita teruskan proses perceraian” yang mana melibatkan permohonan di mahkamah dan lain. Boleh jadi “-lah” itu merujuk kepada kalimah “nak” dan bukan penegasan kepada kalimah “cerai”.

Pun begitu, sebaiknya isu ini dirujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah yang berdekatan supaya berlaku proses pengesahan lafaz talaq yang lebih jelas daripada pihak yang berautoriti. Wallahua’lam.

Semoga Allah SWT memberikan penanya dan keluarga kekuatan dan kemampuan dalam mengharungi kehidupan yang mendatang.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas