Connect with us

Oh! Media

Kadar Fidyah Meninggalkan Puasa Ramadhan Dengan Sengaja

Umum

Kadar Fidyah Meninggalkan Puasa Ramadhan Dengan Sengaja

SOALAN:
Berapa banyakkah kadar fidyah yang perlu dibayar sekiranya saya dan adik beradik (4 orang) pernah meninggalkan puasa dahulu secara sengaja. Kami tidak tahu berapa hari puasa yang ditinggalkan.

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Meninggalkan puasa dengan sengaja, tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa besar. Ibnu Hajar al-Haithami menyenaraikan di dalam kitabnya, mereka yang berbuka puasa dengan berjimak atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau musafir termasuk dalam orang yang telah melakukan dosa-dosa besar. [Lihat : al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair (1/323)]

Namun begitu, Islam masih memberikan peluang kepada umatnya yang telah terlanjur meninggalkan puasa dengan sengaja dan mempunyai kesedaran untuk bertaubat kepada Allah SWT dengan syarat menyesal akan perbuatan tersebut, meninggalkannya dan berazam tidak akan kembali melakukannya semula.

Berbalik kepada soalan di atas, sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa dan wajib menqadhanya (menggantikannya) sebagaimana sabda Nabi SAW:

منِ استقاءَ فعليهِ القضاءُ
“Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah menqadhanya.” [HR. Ibnu Majah]

Hal ini kerana mereka yang meninggalkan puasa dengan keuzuran seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula, maka lebih-lebih lagi lah (min bab al-Aula) bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum (selepas berbuka dengan sengaja) sehinggalah waktu berbuka serta wajib menqadhanya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. [Lihat : al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/200)]

Jika cuai dan tidak menqadhanya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, dia berdosa dan wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkaunya.

Hal ini adalah berdasarkan kepada athar daripada Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Abu Hurairah R.A bahawasanya mereka telah berkata:

فيمَنْ عليهِ صومٌ فَلم يَصُمْهُ حتّى أدركهُ رمضانُ آخَرُ، يُطعِمُ عنِ الأوَّلِ
“Sesiapa yang ada puasa ganti, tetapi dia tidak menggantikannya lagi sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, hendaklah dia beri makan (fidyah) bagi yang awal (Ramadhan yang lepas).” [Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa athar-athar ini telah diriwayatkan oleh al-Darqutni dengan sanad yang sahih]

Secupak bersamaan seraup atau (1 1/3) kati Baghdad, iaitu kira-kira 600 gram. Orang yang sakit berterusan hingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia wajib menqadha puasanya sahaja tanpa membayar fidyah. Orang yang meninggal dunia sebelum mampu menqadha puasanya tidak berdosa dan puasanya tidak perlu diganti disebabkan bukan kecuaiannya. Sementara orang yang meninggal dunia sebelum menqadha puasanya, sedangkan dia mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Maksud wali dalam perkara ini ialah saudara-mara si mati. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (2/92) dan al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/200)]

Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
“Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.” [HR. al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147)]

Seterusnya, hadith daripada Ibn Abbas R.A, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Seorang lelaki menemui Nabi SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia dan dia masih mempunyai hutang puasa bulan Ramadhan. Bolehkah aku menunaikannya?” Baginda menjawab: “Ya, hutang Allah lebih patut ditunaikan.” [HR. al-Bukhari (1852) dan Muslim (1148)]

Kiraan fidyah semasa mengikut MAIWP

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menetapkan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad). Dalam bentuk nilaian matawang adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2019, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 4.00.

Formula kiraan: (hari yang ditinggalkan) X (tahun gandaan) X (1 cupak) = FIDYAH

Contoh: Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah: RM 4.00 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM36.00

Prosedur membayar fidyah di MAIWP

Cara perkiraan dan jumlah bayaran fidyah juga boleh dibuat di Unit Sumber Am Bahagian Baitulmal manakala bayaran boleh dibuat secara tunai atau melalui cek/pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN.

Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat manakala pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk).

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama’ mazhab Syafie, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

  • Sesiapa yang telah meninggalkan puasa wajib dengan sengaja ataupun tidak sengaja hendaklah menqadhanya (menggantikannya) semula mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan, sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.
  • Sekiranya dia tidak menqadhanya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, wajib membayar fidyah iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang telah dilangkaunya.
  • Sekiranya dia tidak pasti atau tidak ingat bilangan hari yang telah ditinggalkan, buatlah anggaran bilangan hari yang telah ditinggalkan mengikut sangkaannya (kecenderungan) yang paling kuat dan ahwat (lebih berhati-hati). Misalnya dia tidak tahu berapa hari dia telah tinggalkan puasa, tapi dia rasa tidak lebih dua minggu. Jadi gantilah sebanyak dua minggu kerana itu yang diyakini (pasti) dan lebih berhati-hati. Begitulah juga halnya dengan fidyah bagi bulan-bulan Ramadhan yang telah dilangkau.
  • Boleh juga membuat kiraan asas dengan menggunakan kalkulator fidyah di (https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/kira-fidyah).

Kami menasihatkan agar perbanyakkan berdoa dan jangan pernah berputus asa daripada memohon keampunan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan, Allah SWT menerima taubat kita dan seterusnya menjadikan kita Muslim yang lebih baik lagi.

Kami akhiri dengan firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ
“Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.” (Surah al-Baqarah: 286)

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas