Connect with us

Imam Pakai Baju Singkat Dan Nampak Aurat Semasa Solat

Umum

Imam Pakai Baju Singkat Dan Nampak Aurat Semasa Solat

SOALAN:
Apa patut saya lakukan kalau saya melihat aurat imam terdedah semasa solat berjamaah. Ini kerana imam memakai baju t-shirt yang mana jika sujud, akan terdedah sedikit dari bahagian aurat. Mohon penjelasan.

JAWAPAN:
Umat Islam dituntut untuk menutup aurat ketika hadir ke mana-mana masjid. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ
“Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang indah (menutup aurat) setiap kali memasuki masjid.” [Surah Al-A’raaf (31)]

Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika aurat terdedah semasa solat maka wajib untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka batal solatnya dan hendaklah dimulakan semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka solatnya tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya. [Rujuk: Al-Fiqh al-Manhaji (1/124), Al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 206)]

Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut. Justeru wajib bagi seseorang lelaki itu menutup bahagian ini dengan pakaian yang bersih dari najis di dalam solat yang didirikan. Sekiranya dibiarkan auratnya terdedah dengan sengaja maka solatnya adalah batal.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa salah satu daripada syarat sah solat berjemaah ialah makmum mestilah tidak mengetahui atau tidak meyakini bahawa solat imamnya itu batal. Sama ada batal disebabkan hadas, tidak menutup aurat, atau selainnya. [Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji (1/179)]

Justeru, sekiranya makmum tidak mengetahui yang solat imam terbatal disebabkan terdedahnya aurat, maka solat mereka adalah sah. Ini kerana dalam kes seperti ini, yang batal adalah solat imam manakala solat para jemaah yang menepati syarat dan rukun solat tidak batal. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُصَلُّونَ لَكُمْ، فَإِنْ أَصَابُوا فَلَكُمْ، وَإِنْ أَخْطَئُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ
“Para imam solat memimpin kalian. Maka jika dia benar, mereka mendapat pahala dan kalian juga mendapatkan bahagian pahalanya. Namun apabila mereka salah, kalian tetap mendapatkan pahala dan mereka (para imam) mendapatkan dosa (atau kesalahan ke atas mereka).” [Riwayat Al-Bukhari (694)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa sekiranya seorang makmum itu melihat aurat imam yang terdedah di dalam solat, dan dia risau sekiranya dengan menegur imam akan timbul tasywisy (kacau bilau) dalam kalangan jemaah, maka dia hendaklah mufaraqah (berpisah atau keluar) dari solat berjemaah tersebut. Namun hendaklah makmum tersebut menegur imam sesudah solat supaya imam memastikan pakaian yang dipakai semasa solat adalah menutup aurat.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top