Connect with us

Hukum Wanita Menindik Selain Di Cuping Telinga

Umum

Hukum Wanita Menindik Selain Di Cuping Telinga

Soalan:
Apakah hukum menindik (piercing) telinga selain earlobe untuk perempuan? Terima kasih

Jawapan:
Di dalam hal menindik telinga terdapat hadis Nabi S.AW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari berkenaan bab pemakaian. Hadis daripada Ibnu Abbas R.A.:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم صَلَّى يَوْمَ الْعِيدِ رَكْعَتَيْنِ، لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلاَلٌ فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ، فَجَعَلَتِ الْمَرْأَةُ تُلْقِي قُرْطَهَا‏
“Sesungguhnya S.A.W. selepas melakukan solat sunat Eid dua rakaat, Baginda tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepasnya, kemudian Baginda pergi menemui golongan wanita bersama Bilal, lalu Baginda memerintahkan mereka untuk bersedekah, sehingga terdapat daripada mereka yang memberi anting-anting mereka.” (Sahih al-Bukhari: 5883)

Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani di dalam syarahnya menyatakan wajh istidlal bagi hadis di atas adalah diharuskan untuk memakai perhiasan telinga atau anting-anting bagi perempuan. (Rujuk: Fathul Al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari: 10/408)

Menindik telinga ulama Al-Syafieyah berbeza pendapat berkenaannya. Sesetengah daripadanya mengharuskannya dan sebahagian melarangnya. Ini berbeza berkenaan bayi lelaki diharamkan menindiknya ini kerana perbuatan itu menyerupai kaum wanita. Imam Ghazali berpendapat bahawa hukumnya “tidak diharuskan ini kerana membawa kepada kesakitan melainkan dengan tujuan perubatan, berbekam dan khitan. Menindik merupakan perhiasan dan itu bukanlah satu perkara yang penting.” (Rujuk: Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 39/349)

Al-Imam Ahmad Al-Malibari menukilkan di dalam hasyiahnya berkenaan gurunya menyatakan “harus bagi bayi perempuan menindik telinga dan bukannya bagi bayi lelaki. Ini kerana uruf bagi bayi perempuan diketahui hak untuk memakai perhiasan pada dirinya sama ada di zaman dahulu atau sekarang.” (Rujuk: Fathul Al-Muin bi Syarhi Qurratil Al-Ain: 1/592)

Jumhur Fuqaha mengharuskannya ini seperti yang dinukilkan di dalam Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah:

جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ عَلَى أَنَّ تَثْقِيبَ أُذُنِ الصَّغِيرَةِ لِتَعْلِيقِ الْقُرْطِ جَائِزٌ، فَقَدْ كَانَ النَّاسُ يَفْعَلُونَهُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غَيْرِ إِنْكَارٍ، فَعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
“Jumhur ulama berpendapat harus hukum menindik bayi perempuan dengan tujuan perhiasan. Ini kerana kebanyakan para wanita di zaman Nabi S.A.W menindik telinga mereka dan Baginda S.A.W tidak melarangnya. Ini seperti yang digambarkan di dalam hadis Ibnu Abbas R.A.” (Rujuk: Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 11/272)

Berlebihan Dalam Perhiasan

Pada asal perhiasan itu adalah diharuskan ini seperti yang dinyatakan di dalam tafsir Al-Razi: “Sesungguhnya setiap perhiasan itu diharuskan melainkan apabila didatangkan dengan dalil (melarangnya).” (Rujuk: Fathul Al-Bayan Fi Maqasid Al-Quran: 3/311)

Adapun pada asal hukum perhiasan diharuskan namun sebagai seorang muslim seharusnya tidak melampaui batas dan berlebih-lebihan ini kerana Allah S.W.T tidak menyukainya seperti firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:

وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raaf: 31)

Begitu juga dengan Sabda Nabi S.A.W melarang kita untuk berlebihan serta melakukan perkara yang tidak memberi manfaat ini seperti Hadis daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash sabda Baginda S.A.W:

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَتَصَدَّقُوا وَالْبَسُوا مَا لَمْ يُخَالِطْهُ إِسْرَافٌ أَوْ مَخِيلَةٌ ‏
“Makan dan minumlah, bersedekah dan berpakaianlah tanpa ada unsur berlebihan atau sia-sia.” (Sunan Ibnu Majah: 3605)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada nas dan perbincangan di atas hukum menindik telinga adalah di haruskan bagi golongan wanita. Namun perhiasannya itu hanya boleh dilihat oleh suami dan mahramnya sahaja ini kerana telinga itu merupakan aurat yang wajib ditutupi.

Melihat kepada persoalan di atas menindik telinga melebihi daripada satu tempat tidak diharuskan ini kerana menyerupai golongan kafir dan fasiq. Nabi S.A.W. melarang umatnya untuk menyerupai golongan kafir seperti Hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud: 4031)

Selain itu ia juga merupakan perkara yang berlebihan dan melampaui batas di dalam perhiasan dan perbuatan melampaui batas ini dilarang di dalam syariat Islam seperti nas yang didatangkan di atas.

Wallahualam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top