Connect with us

Oh! Media

Hukum Wanita Menaiki Lif Bersendirian Bersama Lelaki Ajnabi

Umum

Hukum Wanita Menaiki Lif Bersendirian Bersama Lelaki Ajnabi

SOALAN:
Adakah dibenarkan seorang perempuan menaiki lif bersama seorang lelaki ajnabi secara berdua-duaan?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
“Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.” [HR. Muslim (1341)]

Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa perbuatan berkhalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah sesuatu yang dilarang di dalam agama.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami melihat ia berkait rapat dengan hukum berkhalwat antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Hukum berkhalwat

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyebut:

لَا يَقْعُدَنَّ رَجُلٌ مَعَ امْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ… وَأَمَّا إِذَا خَلَا الْأَجْنَبِيُّ بِالْأَجْنَبِيَّةِ مِنْ غَيْرِ ثَالِثٍ مَعَهُمَا فَهُوَ حَرَامٌ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ وَكَذَا لَوْ كَانَ مَعَهُمَا مَنْ لَا يُسْتَحَى مِنْهُ لِصِغَرِهِ كَابْنِ سَنَتَيْنِ وَثَلَاثٍ وَنَحْوِ ذَلِكَ فَإِنَّ وُجُودَهُ كَالْعَدَمِ.
“Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya… Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama’. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun atau tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut sama seperti tiada.” [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (9/109)]

Ibnu Hajar al-Haitami ada menyatakan bahawa sekiranya seorang wanita dan lelaki ajnabi (asing) tinggal di dalam satu rumah tetapi secara berasingan di dalam dua bilik (yang berbeza) atau seorang di tingkat atas manakala seorang lagi di tingkat bawah atau seorang di dalam rumah manakala seorang lagi di dalam bilik, maka disyaratkan kedua-dua mereka tidak berkongsi fasiliti (kemudahan) yang ada seperti dapur, tandas, perigi (tempat mandi), jalan laluan, ruangan atas bumbung, atau tangga. Sekiranya mereka berkongsi salah satu daripada fasiliti-fasiliti yang telah disebutkan, maka diharamkan tinggal bersama kerana ia boleh membawa kepada khalwat yang diharamkan.

Demikian juga (hukumnya haram), sekiranya kesemua fasiliti tadi telah diasingkan (tidak berkongsi), namun pintu antara kedua-duanya tidak ditutup atau dikunci atau ditutup, akan tetapi ia menjadi jalan laluan salah seorang ke atas yang lain atau pintu tempat tinggal salah seorang daripada keduanya berada di dalam tempat tinggal yang seorang lagi… Adapun larangan berkongsi jalan laluan, terangkat apabila ada bersamanya mahram. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (4/106-107)]

Imam al-Nawawi juga ada membahaskan berkenaan makna mahram sebagaimana yang dikehendaki di dalam hadis berkenaan. Adakah ia kembali kepada mahram bagi perempuan berkenaan ataupun mahram bagi lelaki tersebut. Dalam hal ini, tidak ada beza antara mahram bagi perempuan tersebut seperti anak lelakinya, saudara lelakinya, ibunya dan saudara perempuanya, atau dengan mahram bagi lelaki berkenaan seperti saudara perempuannya, anak perempuannya, dan ibu saudaranya. Maka, harus bagi dia untuk duduk bersama perempuan ajnabiyyah tersebut dalam situasi ini (adanya mahram). Begitu juga, sekiranya suami perempuan tersebut ada bersamanya, maka hukumnya lebih utama untuk diharuskan (dibenarkan). [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (9/109)]

Selain daripada itu, antara hikmah larangan seorang lelaki ajnabi berdua-duaan bersama seorang perempuan ajnabiyyah ialah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana sabda Nabi SAW:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
“Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.” [HR. al-Tirmidzi (2165)]

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa syaitan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berkhalwat itu) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi (6/320)]

Beberapa pengecualian dan keadaan yang dibenarkan

Para fuqaha’ juga ada menyebutkan beberapa pengecualian serta keadaan yang dibenarkan bagi seorang lelaki itu berdua-duaan dengan wanita ajnabiyyah. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa dikecualikan daripada isu ini (berdua-duaan dengan bukan mahram) kesemua tempat-tempat yang terdapat padanya darurat seperti seseorang (lelaki) menjumpai seorang perempuan yang sesat di jalanan atau seumpamanya, maka diharuskan kepadanya untuk menemani wanita itu. Bahkan menjadi satu tuntutan kepadanya untuk melakukan hal itu sekiranya dia risaukan keselamatan wanita itu apabila ditinggalkan bersendirian. Dalam situasi ini, tiada khilaf padanya dan berdalilkan dengan hadis Aisyah R.Anha mengenai peristiwa al-Ifk (fitnah). [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (9/109)]

Selamat daripada sebarang tohmahan, fitnah dan syak wasangka

Para ulama’ telah meletakkan garis panduan (parameter) dalam menentukan khalwat yang dilarang oleh agama.

Syeikh al-Syibramalisi dan Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani menyebutkan bahawa:

أَنَّ الْمَدَارَ فِي الْخَلْوَةِ عَلَى اجْتِمَاعٍ لَا تُؤْمَنُ مَعَهُ الرِّيبَةُ عَادَةً، بِخِلَافِ مَا لَوْ قُطِعَ بِانْتِفَائِهَا فِي الْعَادَةِ فَلَا يُعَدُّ خَلْوَةً
“Sesungguhnya garis penentuan khalwat (yang dilarang) ialah ke atas perhimpunan (antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram) yang tidak selamat daripada sebarang tohmah (fitnah dan syak wasangka) pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan (pertemuan) tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam khalwat (yang dilarang).” [Lihat: Hasyiah Nihayah al-Muhtaj (7/163), dan Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj (8/269)]

Abu Said al-Khadimi menyatakan bahawa seorang lelaki tidak dibenarkan bercakap dengan seorang wanita ajnabiyyah tanpa sebarang keperluan kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah. Akan tetapi sekiranya ada keperluan seperti penyaksian atau jual beli atau berdakwah, ia diharuskan (dibenarkan). [Lihat: Bariqah Mahmudiyah (4/7)]

Demikian juga, Ibnu Hajar al-Asqalani menyebutkan di dalam kitabnya bahawa dibolehkan bagi lelaki memberi salam kepada wanita atau sebaliknya, dengan syarat selamat daripada timbulnya fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya). [Lihat: Fathu al-Bari (11/33)]

Begitu juga, Ibnu Hajar al-Haitami ada menyebutkan bahawa sekiranya seorang perempuan masuk ke dalam masjid yang mana di dalamnya ada seorang laki-laki, maka dia tidak termasuk dalam kategori khalwat kerana masjid merupakan tempat yang (sentiasa) dimasuki oleh setiap orang… Dan sesungguhnya perkara ini hanya dibenarkan pada masjid yang menjadi laluan orang ramai (keluar masuk masjid) serta tidak terputus orang yang keluar masuk pada adat kebiasaannya. Demikianlah juga (hukumnya), apa yang menyerupainya seperti jalan atau selainnya (tempat-tempat awam yang lain) yang menjadi laluan orang ramai, berbeza dengan tempat-tempat yang tidak menjadi laluan orang ramai (terpencil dan sunyi). [Lihat: Tuhfah al-Muhtaj (8/269-270)]

Oleh itu, dapat difahami bahawa tempat yang menjadi laluan orang ramai kebiasaannya selamat dan jauh daripada fitnah (tidak menimbulkan curiga). Oleh sebab itu, mereka meletakkan ia sebagai ia sebagai syarat. Begitulah juga halnya bagi tempat-tempat awam lain seperti jalan, taman permainan, taman-taman bunga dan lain-lain yang menjadi laluan orang ramai serta jauh daripada fitnah.

Berdua-duaan di dalam lif berlainan jantina

Kami melihat lif di tempat kerja atau kawasan perumahan atau seumpamanya termasuk dalam kategori fasiliti-fasiliti awam yang disediakan bagi memudahkan orang ramai. Justeru, kami bahagikan ia kepada dua situasi:

1. Sekiranya lif tersebut sentiasa menjadi laluan orang ramai, dilengkapi sistem keselamatan, terjamin keselamatan diri serta selamat dan jauh daripada fitnah (tidak menimbulkan curiga dan syak wasangka), maka harus bagi seorang perempuan menaiki lif tersebut sekalipun bersamanya lelaki bukan mahram dengan syarat mereka mesti menundukkan pandangan serta menjaga batas-batas di dalam agama.

2. Sekiranya lif tersebut berada di tempat yang sunyi atau tidak menjadi laluan utama orang ramai dan terdedah kepada bahaya (keselamatan diri dan harta) atau boleh menimbulkan fitnah (syak wasangka dan curiga), maka dalam hal ini tidak dibolehkan bagi seorang perempuan menaiki lif tersebut secara bersendirian bersama seorang lelaki ajnabi.

Sekalipun begitu, di sana ada kelonggaran yang diberikan iaitu boleh bersendiri bagi seorang lelaki yang tsiqah (dipercayai) bersama dua orang perempuan (atau lebih) yang tsiqah yang mana perempuan berkenaan dihormati oleh lelaki tersebut dan bukan sebaliknya. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (4/107)]

Walau bagaimanapun, kami ingin tegaskan kelonggaran tersebut kembali semula kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh para ulama’ iaitu mesti selamat daripada timbulnya fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya).

Kesimpulannya

Setelah kami meneliti dalil-dalil dan pandangan para ulama’ serta melihat kepada realiti dan waqi’ Malaysia, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

• Hukum asal berkhalwat (bersendirian) antara seorang perempuan dengan seorang lelaki ajnabi adalah haram.

• Tidak mengapa bagi seorang wanita menaiki lif bersama bukan mahramnya atau sebaliknya dengan syarat mestilah selamat dan aman daripada fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya) dan dapat menjamin keselamatan diri. Sekiranya syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, haram hukumnya seorang wanita menaiki lif secara bersendirian dengan seorang lelaki yang bukan mahram.

• Walau bagaimanapun, kami ingin menasihati sekiranya dapat dielakkan daripada menaiki lif secara berdua-duaan adalah lebih baik dan jauh daripada fitnah serta lebih menjamin keselamatan diri. Sekurang-kurangnya biarlah ada bersama seorang perempuan lain atau lebih, ataupun sekumpulan lelaki yang dipercayai, supaya kita dapat mengelakkan diri daripada termasuk di dalam larangan tersebut.

• Kami juga ingin berpesan kepada laki-laki dan perempuan agar jagalah diri sebaik mungkin serta tundukan pandangan daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya. Moga-moga Allah memelihara kita semua daripada terjerumus ke dalam perkara yang dimurkai-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas