Connect with us

Oh! Media

Hukum Wanita Haid Berwudhu’ Sebelum Tidur

Umum

Hukum Wanita Haid Berwudhu’ Sebelum Tidur

SOALAN:
Pada kebiasaannya, saya akan memberus gigi dan mengambil wudhu’ terlebih dahulu sebelum tidur. Soalan saya, jika saya dalam keadaan haid, bolehkah saya mengambil wudhu’ sebelum tidur pada waktu malam sepertimana kebiasaan saya tersebut?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Allah SWT mensyariatkan wudhu’ bagi mengangkat hadas bagi seseorang yang ingin melaksanakan ibadah yang tertentu seperti memegang mushaf al-Quran, solat, tawaf dan seumpamanya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhu’lah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.” (Surah al-Maidah: 6)

Di samping itu, Rasulullah SAW juga menganjurkan umatnya supaya mengambil wudhu’ pada situasi bukan ibadah seperti untuk tidur, makan, berada dalam keadaan marah dan sebagainya. Hal ini disebutkan Sheikh Abdullah Ibn Abd al-Rahman Bafadil al-Hadramiy di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, dengan berkata:

يُسْتَحَبُّ الْوضُوءُ مِن الفَصْد والحَجَامَةِ والرُعَافِ وَالنُّعَاس وَالنَّوْمِ قَاعِدًا مُمكنا مَقْعَدَته والقَيْء وَالقهقهة فِي الصَّلَاة وَأَكْل مَا مَسَّتْهُ النَّار وَأَكْل لَحْم الْجَزُور وَالشَّكّ فِي الْحَدَث وَمِن الْغَيْبَة والنميمة وَالْكذب والشتم وَالْكَلَام الْقَبِيح وَالْغَضَب ولإرادة النّوم ولقراءة الْقُرْآن والْحَدِيث وَالذكر وَالْجُلُوس فِي الْمَسْجِد والمرور فِيهِ ودراسة الْعلم وزيارة الْقُبُور وَمن حمل الْمَيِّت ومسه
“Bahawa disunatkan untuk mengambil wudhu’ bagi sesiapa yang berbekam, hidung berdarah, mengantuk, tidur yang tetap punggungnya, muntah, batuk di dalam solat, memakan sesuatu yang dibakar dengan api, memakan daging unta, syak tentang hadas, ghibah, mengumpat, berdusta, mengeji orang lain, mengungkap perkataan yang teruk, marah, ingin tidur, membaca al-Quran dan hadith, berzikir, duduk di dalam masjid, melintasi masjid, mempelajari ilmu, menziarahi kubur, mengusung mayat dan menyentuhnya.” (Rujuk al-Muqaddimah al-Hadramiyyah: 37)

Begitu juga dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib RAnhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ
“Apabila kamu pergi ke tempat tidur kamu, maka hendaklah kamu berwudhu’ seperti wudhu’ kamu untuk mendirikan solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” [Riwayat al-Bukhari (247) dan Muslim (2710)]

Hukum mengambil wudhu’ sebelum tidur adalah sunat. Bahkan, ia merupakan satu tuntutan bagi seseorang yang dalam keadaan berjunub sebelum dia tidur. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri mengambil wudhu’ ketika Baginda SAW ingin tidur atau makan dalam keadaan Baginda SAW masih berjunub. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah R.Anha, bahawa beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ جُنُبًا فَأَرَادَ أَنْ يَأْكُلَ أَوْ يَنَامَ تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاة
“Bahawasanya Rasulullah SAW jika sekiranya berada dalam keadaan berjunub dan Baginda SAW ingin untuk makan atau tidur, maka Baginda SAW akan mengambil wudhu’ seperti wudhu’ yang diambil untuk solat.” [Riwayat Muslim (305)]

Ibn Rajab al-Hanbali ketika mensyarahkan hadith ini dalam kitabnya Fath al-Bari dengan berkata, ramai dalam kalangan para ulama’ berpendapat bahawa apabila seseorang yang berjunub hendak tidur (tanpa mandi wajib), maka hendaklah dia membasuh kemaluannya dan berwudhu’. (Rujuk Fath al-Bari Li Ibn Rajab, 1:357)

Mengambil wudhu’ bagi orang yang berjunub tidak mengangkat hadas, namun ia meringankannya. Ini kerana Rasulullah SAW memberitahu bahawa Malaikat Rahmat tidak akan mendekati sesiapa yang tidak mandi atau berwudhu’ ketika dia berhadas besar. Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُقَرِّبُهُم المَلَائِكَةُ، جِيفَةُ الكَافِر، وَالمُتَضَمخ بِالخَلُوقِ، وَالجُنُبُ إِلَّا أَن يَتَوَضَّأ
“Tiga perkara yang tidak didekati oleh Malaikat iaitu mayat orang kafir, orang yang berlumuran wangian khaluq, dan orang yang berjunub kecuali jika dia mengambil wudhu’.” [Riwayat Abu Dawud (4180)]

Walau bagaimanapun, para ulama’ membezakan antara orang yang berjunub dengan orang yang berada dalam keadaan haid dan nifas. Hal ini kerana haid dan nifas merupakan hadas yang berpanjangan dan tidak terangkat dengan mandi wajib, jika sekiranya masih dalam tempoh haid dan nifas tersebut. Manakala orang yang berjunub, maka hadasnya akan terangkat dengan mandi wajib. Oleh itu, disunatkan berwudhu’ hanya kepada orang yang berjunub dan tidak bagi wanita yang dalam keadaan haid dan nifas.

Selain itu juga, syarat untuk berwudhu’ pula hendaklah suci daripada haid dan nifas. Justeru, seseorang wanita yang dalam keadaan haid dan nifas tidak sah jika dia mengambil wudhu’, kerana tidak cukup syarat wudhu’ tersebut. (Rujuk Busyra al-Karim Syarh Masail al-Taalim: 99)

Dalam hal ini, Imam al-Syirazi dalam kitabnya al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’ie menyebutkan bahawa:

إِذَا حَاضَت المَرْأَةُ حَرُمَ عَلَيهَا الطَّهَارَة ; لِأَنَّ الحَيضَ يُوجَبُ الطَّهَارَةِ ، وَمَا أَوجَبَ الطَهاَرة مَنَعَ صِحَّتَهَا كَخُرُوجِ البَول
“Jika sekiranya seseorang wanita itu berada dalam keadaan haid, maka haram baginya untuk melakukan perbuatan bersuci (toharah). Ini kerana datangnya haid akan mewajibkan wanita tersebut bersuci. Apa yang mewajibkan seseorang itu bersuci maka ia menghalang sahnya perbuatan bersuci tersebut selagi mana masih dalam keadaan demikian, seperti ketika membuang air kecil.” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2:382)

Imam al-Nawawi menukilkan daripada kitab Musykilat al-Muhazzab dalam mensyarahkan petikan teks di atas menerangkan bahawa yang dimaksudkan dengan haramnya seorang wanita untuk bersuci, mempunyai dua tafsiran:

  1. Makna haram yang dimaksudkan di sini ialah tidak sah jika wanita tersebut bersuci.
  2. Haram dan berdosa jika sekiranya dia bersuci dengan berniat ianya sebagai satu ibadah (ta’abbud), dalam keadaan dia sudah tahu bahawa perbuatan tersebut tidak sah. Maka, dalam keadaan tersebut, maka dia berdosa kerana mempermain-mainkan ibadah. Imam al-Nawawi menyebut bahawa tafsiran ini merupakan yang sahih.

(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2:382)

Walau bagaimanapun, dalam situasi saudari yang bertanya, jika sekiranya mengambil wudhu’ bukan dengan niat untuk mengangkat hadas atau ibadah (ta’abbud), seperti berniat untuk membersihkan diri dan menyejukkan badan sahaja (tabarrud) contohnya, maka perbuatan tersebut tidaklah berdosa. Hal ini seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi dengan berkata:

فَأَمَّا إِمْرَارُ المَاء عَلَيهَا بِغَيْر قَصْدِ العِبَادَةِ فَلَا تَأْثَم بِه بِلَا خِلَاف
“Adapun sekiranya sekadar melalukan air di atas anggota-anggota wudhu’ tanpa niat ibadah, maka tidak berdosa dengan perbuatan tersebut, tanpa khilaf.” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2:382)

Hal ini kerana ia boleh diqiaskan dengan perbuatan bersuci sunat yang lain, yang diniatkan bukan untuk ibadah dan mengangkat hadas seperti mandi sunat bagi wanita haid untuk berihram, berwukuf dan melontar jamrah. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa:

وَأَمَّا الطَهَارَةُ المَسْنُونَةُ للنَّظَافَةِ كَالغُسْلِ للإِحْرَامِ وَالوُقُوف وَرَمْي الجَمْرَة فَمَسْنُونَة للحَّائِضِ بِلَا خِلَاف.
“Adapun perbuatan bersuci yang sunat dengan niat untuk membersihkan diri, seperti mandi untuk berihram, berwukuf dan melontar jamrah, maka ia disunatkan bagi seseorang wanita yang haid, tanpa khilaf.” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2:382)

Disamping itu juga, Imam al-Nawawi menyebutkan sepakat para ulama’ Syafi’iyyah bahawa tidak disunatkan untuk wanita yang didatangi haid dan nifas untuk mengambil wudhu’. Namun jika haid sudah berhenti, maka keadaannya sama seperti orang yang berjunub dan disunatkan baginya untuk berwudhu’. Beliau R.A berkata:

وَأَصْحَابُنَا مُتَّفِقُونَ عَلَى أَنَّهُ لَا يُسْتَحَبُّ الوُضُوء لِلحَائِضِ والنُفَسَاء [يَعْنِي : قَبْلَ النَّوْمِ] ؛ لِأَنَّ الوُضُوءَ لَا يُؤَثِّرُ فِي حَدَثِهِمَا ، فَإِن كَانَت الحَائِضُ قَد انْقَطَعَتْ حَيْضَتُهَا صَارَت كَالجُنُبِ ، والله أعلم
“Para ulama’ Syafi’iyyah bersepakat bahawa tidak disunatkan wudhu’ bagi wanita yang didatangi haid dan nifas (iaitu wudhu’ sebelum tidur). Hal ini kerana wudhu’ tidak memberi kesan kepada hadas kedua-duanya. Namun, jika sekiranya haid telah terhenti, maka ia menjadi seperti keadaan orang yang berjunub (iaitu disunatkan untuk berwudhu’).” (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3:218)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum seseorang wanita yang didatangi haid dan nifas mengambil wudhu’ adalah tidak sah dan haram serta berdosa jika sekiranya dia berniat ta’abud dan mengangkat hadas. Ini kerana wudhu’ tersebut tidak memberi kesan kepada hadas kedua-duanya dan dikhuatiri membawa kepada perbuatan mempermain-mainkan ibadah.

Oleh itu, jika sekiranya saudari yang bertanya ingin melakukan hal kebiasaannya dengan berwudhu’ sebelum tidur tersebut, maka hendaklah berniat sekadar untuk membersihkan diri dan menyejukkan badan, maka hal tersebut adalah diharuskan. Begitu juga, jika sekiranya haid sudah berhenti, maka keadaannya sama seperti orang yang berjunub, justeru disunatkan untuk mengambil wudhu’ dan diwajibkan untuk mandi. Moga-moga dengan perbuatan yang mengikut panduan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam menyucikan diri tersebut mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. InsyaAllah.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas