Connect with us

Oh! Media

Hukum Wanita Bersyair Dan Mendendangkan Puisi

Umum

Hukum Wanita Bersyair Dan Mendendangkan Puisi

Soalan:
Saya nak bertanya tentang hukum seorang perempuan bersyair dan mendendangkan puisi dalam satu majlis. Adakah dibenarkan?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Isu suara wanita dan nyanyian wanita adalah isu yang diperbahaskan ulama dan mereka berbeza pandangan dalam hal ini. Kami berpendapat bahawa suara wanita bukanlah aurat pada asasnya. Namun suara mereka boleh menjadi aurat jika dilembutkan hingga mendatangkan ghairah bagi lelaki. Ini berdasarkan ayat al-Quran:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” [Surah al-Ahzab, 33:32]

Berkata al-Qurtubi dalam Tafsir-nya: “Yakni larangan melunakkan perkataan. Allah mengarahkan agar para isteri Nabi itu hendaklah berkata dengan tegas dan jelas dalam perbualan, dan jangan bercakap dalam suatu bentuk yang menzahirkan dalam hati satu hubungan dengan apa yang terzahir daripada kelunakan tersebut, seperti adalah hal keadaan yang berlaku dalam kalangan wanita arab ketika berbual dengan lelaki dengan cara melembutkan suara dan melunakkannya, seperti gaya perbualan wanita yang mengelirukan dan wanita pelacur.”

Imam Ibn Kathir menyebut dalam Tafsir-nya, bahawa al-Suddiyy berkata: “Maksudnya ialah menghaluskan percakapan ketika berbual bersama kaum lelaki.”

Imam al-Baghawi berkata: “(Yakni) janganlah kalian merendahkan (suara) dalam perkataan, jangan dilembut ketika berkata-kata dengan kaum lelaki dan tidak menghaluskan perbualan, sehingga menimbulkan keinginan dalam hati orang yang memiliki penyakit dalam hatinya, yakni perbuatan keji dan syahwat. Dikatakan (penyakit itu) adalah kemunafikan dengan makna janganlah kamu berkata-kata dengan suatu perkataan yang boleh mendapat oleh orang munafik atau orang yang keji akhlaknya, suatu jalan bagi memuaskan keinginan mereka terhadap isteri-isteri Nabi. Justeru, orang perempuan adalah disukai agar mengeraskan suara dalam perkataan apabila berbual dengan lelaki ajnabi bagi memutuskan keinginan. Dan hendaklah mereka berkata-kata dengan perkataan yang makruf (atau baik), seperti dalam perkara yang dituntut oleh agama dan Islam untuk menjelaskan atau menerangkannya, tanpa perlu direndahkan suara.”

Berkata Imam al-Ghazzali dalam al-Ihya’ (2/281): “Dan bermula suara wanita itu dalam keadaan selain daripada nyanyian itu bukanlah aurat, kerana kaum wanita pada zaman sahabat R.Anhum sentiasa bercakap-cakap dengan kaum lelaki ketika memberi salam, meminta fatwa, meminta sesuatu, melakukan syura dan sebagainya. Akan tetapi pada nyanyian itu suatu tambahan yang memberi kesan dalam merangsang syahwat.” Kami juga berpendapat dengan isu nyanyian kaum wanita, jika dilakukan dengan adab yang betul dan tidak terlalu melunakkan suara dan melembutkannya sehingga mendatangkan syahwat, adalah harus.

Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Halal dan Haram dalam Islam (ms.564-566) menyebut: “Islam membolehkan nyanyian selama mana ianya tiada unsur maksiat, kata-kata yang kotor, lirik yang lucah dan menghasut kepada penyelewengan akidah. Tidak mengapa jika ianya diiringi dengan alat-alat muzik yang tidak membangkitkan syahwat.” Beliau berdalilkan hadis daripada Aisyah R.Anha bahawa dia pernah menghantar seorang pengantin wanita ke tempat pengantin lelaki daripada kalangan kaum Ansar. Lalu Nabi Allah SAW berkata kepada beliau:

يَا عَائِشَةُ، مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ
“Wahai Aisyah! Apakah kalian membawa sekali hiburan? Sesungguhnya kaum Ansar itu suka akan hiburan.” [Riwayat al-Bukhari (5162)]

Dalam hadis lain menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْأَنْصَارَ قَوْمٌ فِيهِمْ غَزَلٌ، فَلَوْ بَعَثْتُمْ مَعَهَا مَنْ يَقُولُ: أَتَيْنَاكُمْ أَتَيْنَاكُمْ فَحَيَّانَا وَحَيَّاكُمْ
Sesungguhnya kaum Ansar itu kaum yang terdapat dalam kalangan mereka (tradisi) menyanyikan ghazal (nyanyian sambut-menyambut), kalau boleh dapatkan seorang yang menyanyi: “Kami datang kepada kamu! Kami datang kepada kamu! Selamat bagi kami, selamat bagi kamu!” [Riwayat Ahmad (no.15209) dalam Musnad dan Ibn Majah (no.1900) dalam al-Sunan]

Ini juga berdalilkan hadis lain daripada Aisyah R.anha:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، دَخَلَ عَلَيْهَا، وَعِنْدَهَا جَارِيَتَانِ فِي أَيَّامِ مِنًى تُغَنِّيَانِ، وَتُدَفِّفَانِ، وَتَضْرِبَانِ، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَغَشٍّ بِثَوْبِهِ، فَانْتَهَرَهُمَا أَبُو بَكْرٍ، فَكَشَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ وَجْهِهِ، فَقَالَ: دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، فَإِنَّهَا أَيَّامُ عِيدٍ
Sesungguhnya Abu Bakar RA masuk berjumpa Aisyah dan bersama beliau ada dua orang jariah ketika di Mina (Hari Raya Aidiladha) yang menyanyi, menepuk dan memukul gendang, sedangkan Nabi SAW ketika sedang berselubung dengan bajunya. Lalu Abu Bakar menengking kedua jariah tadi lalu Baginda SAW mendedahkan mukanya seraya berkata: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Sesungguhnya sekarang adalah hari raya.” [Riwayat Imam Bukhari (no.987) dan Imam Muslim (no. 892)]


Merujuk kepada Garis Panduan Hiburan di Dalam Islam (Edisi Kedua) terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat beberapa etika yang perlu diambil perhatian ketika melakukan persembahan hiburan termasuklah:

1. Keperibadian

  • Peribadi yang mulia dan akhlak yang baik hendaklah sentiasa dikekalkan walaupun berada di luar persembahan sesuai dengan mesej yang dibawa; dan
  • Tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah sama ada di bawah undang-undang syariah atau sivil.

2. Penampilan

  • Penampilan yang sopan dan beradab hendaklah sentiasa dikekalkan walaupun berada di luar persembahan;
  • Berpakaian menutup aurat, kemas dan sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam;
  • Adab berpakaian, tatarias dan dandanan rambut yang tidak menyerupai jantina yang berlainan; dan
  • Hiasan dan dandanan hendaklah pada kadar yang bersesuaian dan sederhana sesuai dengan uruf masyarakat.

3. Seni Pentas

  • Ucapan, gerak laku dan sebagainya yang tidak mengandungi simbol-simbol yang dapat ditafsirkan secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan nilai-nilai Islam;
  • Sensitiviti mana-mana agama, budaya dan bangsa hendaklah sentiasa dipelihara;
  • Dalam keadaan yang bersesuaian untuk mengelakkan rasa tidak disenangi oleh orang yang mendengar dan menonton;
  • Plot penceritaan yang bukan realiti dan berasaskan khayalan adalah dibenarkan untuk menyampaikan sesuatu mesej yang baik;
  • Lawak jenaka hendaklah berpada-pada dan tidak melampaui batas iaitu sehingga membawa kepada ketawa yang melampau;
  • Lawak jenaka tidak boleh dilakukan pada perkara yang serius dan pada perkara yang perlu ditangisi;
  • Tidak mengandungi unsur pendustaan pada sesuatu fakta, kata-kata kesat, lucah atau fitnah;
  • Tidak mengandungi unsur yang menimbulkan penghinaan terhadap mana-mana individu atau organisasi;
  • Tidak mengandungi unsur keganasan;
  • Tidak menimbulkan trauma atau gangguan emosi;dan
  • Tidak melakonkan watak menyerupai jantina yang berlainan.

4. Nyanyian

  • Gerak laku, nyanyian, ucapan dan sebagainya yang tidak mengandungi simbol-simbol yang dapat ditafsirkan secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan ajaran dan nilai-nilai Islam;
  • Berinteraksi dengan penonton secara sopan sama ada melalui perkataan atau perbuatan;
  • Keadaan fizikal, mental dan emosi penyanyi berada pada tahap yang baik;
  • Persembahan diadakan dalam keadaan yang terkawal; dan
  • Tingkah laku tidak liar serta melampaui batas.

5. Lirik

  • Mengandungi kebaikan dan nilai-nilai murni;
  • Memberi kesedaran dan membawa kepada keinsafan;
  • Selari dengan adab kesopanan;
  • Sensitiviti mana-mana agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa dipelihara;
  • Boleh menggunakan terjemahan al-Quran dan hadith dengan menjaga adab yang selaras dengan syarak;
  • Ayat-ayat al-Quran tidak boleh dijadikan lirik lagu melainkan dengan kaedah iqtibas;
  • Nasyid berbentuk doa adalah diharuskan;
  • Tidak digalakkan menggunakan matan hadith kerana bimbang berlaku kesalahan pada sebutan yang boleh membawa perubahan pada makna;
  • Tidak mengandungi kalimah syahadah yang tidak sempurna;
  • Tidak mengandungi ungkapan yang memanipulasi terjemahan al-Quran dan hadith untuk tujuan yang salah;
  • Tidak mengandungi ungkapan yang memanipulasi kalimah-kalimah suci dalam Islam untuk tujuan yang salah;
  • Tidak mengandungi ungkapan mengutuk nasib dan mempersoalkan ketentuan Allah;
  • Tidak mengandungi pemujaan kepada makhluk dan peribadi lain;
  • Tidak mengandungi unsur lucah, membangkitkan nafsu atau lambang kata yang ditafsirkan lucah;
  • Tidak mengandungi unsur maksiat atau membawa kepada pelakuan yang diharamkan;dan
  • Tidak mengandungi unsur penghinaan, aib, cacian, fitnah dan merendah-rendahkan seseorang.

6. Unsur Muzik

  • Mendorong kepada suasana positif;
  • Menyuntik ketenangan;
  • Membangkitkan semangat yang baik;
  • Tidak melambangkan pemujaan atau yang dianggap sakral oleh penganut agama lain;
  • Tidak mendorong kepada kekacauan dan ketidakseimbangan pemikiran sehingga boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah;
  • Tidak membangkitkan emosi negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam;
  • Tidak mengganggu ketenteraman masyarakat awam; dan
  • Tidak membawa kepada perbuatan maksiat.

Kesimpulannya, kami berpendapat bahawa hukum mendeklamasikan sajak dan puisi oleh kaum wanita adalah harus jika dilakukan dengan syarat-syaratnya. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas