Connect with us

Oh! Media

Hukum Tauriah Dalam Islam

Umum

Hukum Tauriah Dalam Islam

SOALAN:
Apakah hukum tauriah dalam Islam dan contoh tauriah dalam sirah berkaitan perkara tersebut?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Berbohong merupakan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT dan Rasulnya. Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW sebagai penyempurna kepada akhlak-akhlak yang mulia. Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاقِ‏‏
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia.” [Riwayat al-Bukhari, Adab al-Mufrad, (1:273)]

Antara akhlak mulia yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah berkata benar dan bersikap jujur dalam pertuturan. Rasulullah SAW juga melarang umatnya daripada menipu dan berkata bohong seperti dalam hadis riwayat Abdullah Ibn Mas’ud R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ؛ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا
“Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke Neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta.” [Riwayat al-Bukhari: 6094]

Sikap suka berbohong juga merupakan tanda-tanda orang munafiq yang diterangkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ اَلْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ, وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ, وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ
“Tanda-tanda bagi seorang munafiq itu ada tiga; jika sekiranya dia berbicara maka dia berdusta, jika sekiranya dia berjanji maka dia mungkir dan jika sekiranya dia diberi amanah maka dia mengkhianatinya.” [Riwayat al-Bukhari: 33]

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu berhadapan dengan situasi yang tidak dapat untuk dia menyatakan kebenaran disebabkan oleh keperluan atau kemudaratan yang akan menimpanya jika dia berkata benar, maka boleh untuk memilih cara tauriah.

Terdapat perbezaan yang nyata di antara berbohong dan tauriah. Para ulama’ telah memberikan takrifan berbohong seperti berikut:

  • Al-Imam al-Jurjani menyebut berbohong atau menipu sesuatu perkhabaran ialah memberitahu khabar yang tidak bertepatan dengan realiti (waqi’) yang berlaku. (Rujuk Syarh Mi’ah al-Maani al-Jurjani, 3:15)
  • Ibnu Hajar memberikan takrif berbohong ialah memberitahu suatu perkara yang tidak bertepatan dengan apa yang ada padanya samada sengaja atau tidak sengaja. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1:201)

Manakala, Tauriah dari sudut bahasa bermaksud menyembunyikan sesuatu. Dari sudut istilah pula ialah:

أَن يَتَكَلَّمَ المُتَكَلِّمُ بِكَلَامٍ لَهُ مَعْنَى ظَاهِر مُتَبَادِر لِلسَّامِعِ، وَلَهُ مَعْنَى آخَر خَفِي. وَمَقْصُودُ المُتَكَلِّم هُوَ هَذَا المَعْنَى الخَفِي، إِلا أَنَّهُ وَرَّاهُ وَأَخْفَاهُ بِذَلِكَ المَعْنَى الظَاهِر المُتَبَادر
“Seseorang yang mengungkapkan suatu lafaz yang mempunyai dua makna. Pertama makna dekat dan jelas yang mudah difahami (ditangkap oleh akal). Kedua, makna jauh dan samar yang tidak mudah difahami oleh akal. Namun, yang kehendaki daripada lafaz tersebut adalah makna jauh dan dia menyembunyikan perkara yang zahir dengannya.”

Sebagai contoh, seseorang menyatakan bahawa dia tidak mempunyai satu sen pun, sedangkan yang dimaksudkannya adalah dia tiada duit yang bernilai satu sen, walaupun sebenarnya ada duit bernilai sen dan ringgit yang lain.

Oleh itu dapat difahami secara ringkas bahawa tauriah bermaksud, menyebutkan satu perkataan atau ayat yang mempunyai makna yang difahami oleh pendengar dengan jelas, tetapi sebenarnya yang dimaksudkan dengannya ialah perkara yang samar dan tersembunyi.

Tauriah tidak dikira sebagai berbohong serta tidak dicela jika sekiranya menepati syaratnya. Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Adzkar menyebut berkaitan syarat-syaratnya bahawa:

  • Jika sekiranya perkara tersebut membawa kepada kemashlahatan yang jelas dan keperluan yang tidak dapat lari daripadanya kecuali dengan tauriah, maka boleh untuk menggunakan tauriah.
  • Jika bukan dalam situasi tersebut pula, maka hukumnya adalah makruh dan tidak haram.
  • Namun jika membawa kepada mengambil hak orang lain dan menafikan hak orang terhadap diri sendiri maka hukumnya adalah haram.

(Rujuk al-Adzkar Lil Imam al-Nawawi: 380)

Tauriah ini juga dapat diperhatikan dalam Sirah al-Nabawiah sepertimana yang dilakukan oleh para sahabat Baginda SAW. Sebagai contoh, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik R.A. Ketika Rasulullah SAW keluar berhijrah bersama Abu Bakar al-Siddiq R.A, mereka didatangi oleh seorang lelaki kemudian bertanya kepada Abu Bakar al-Siddiq R.A: “Siapakah yang bersama dengan engkau itu?” Maka Abu Bakar al-Siddiq R.A menjawab:

هَذَا الرَجُلُ يَهْدِينِي السَّبِيلَ
“Lelaki ini menunjukkan aku jalan.”

Maka, lelaki tadi merasakan Rasulullah SAW itu sebagai seorang yang bekerja sebagai penunjuk jalan kepada para musafir, sedangkan yang dimaksudkan oleh Abu Bakar al-Siddiq R.A ialah Rasulullah SAW sebagai penunjuk kepada jalan kebaikan iaitu agama Islam.

Begitu juga satu ketika Rasulullah SAW bersama para sahabat R.A di dalam suatu permusafiran. Di dalam perjalanan, mereka bertemu dengan sekumpulan kaum Musyrikin yang bertanyakan dari mana kedatangan mereka. Maka Rasulullah SAW menjawab:

نَحْنُ مِن مَاءٍ
“Kami datang daripada air.”

Lalu kaum Musyrikin pun melihat antara satu sama lain, dan salah seorang berkata: “Sesungguhnya kabilah bagi bangsa Yaman sangat banyak. Boleh jadi mereka salah satu dari kalangan mereka.” Kemudian mereka pun beredar. Sedangkan yang dimaksudkan Rasulullah SAW sebenarnya adalah bahawa manusia itu berasal daripada benih lelaki. (Rujuk Sirah Ibn Hisyam, 2:255)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa kita sebagai umat Islam dianjurkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya untuk bercakap benar dalam setiap keadaan. Walau bagaimanapun jika terdapat beberapa ketika yang kita tidak dapat menyatakan sesuatu yang benar kerana suatu kemashlahatan atau khuatir pada kemudharatan, maka kita dibolehkan untuk melakukan tauriah. Hukum tauriah adalah harus, jika mempunyai keperluan dan hajat, dengan bersyarat. Syarat-syarat tersebut ialah:

  • Hendaklah tauriah dengan mengatakan sesuatu yang benar walaupun berniat untuk menyembunyikan sesuatu.
  • Hendaklah tauriah itu dilakukan kerana hajat dan keperluan mendapat sesuatu kemashlahatan yang jelas atau untuk menolak kemudharatan yang pasti seperti mendamaikan suami dan isteri, menjaga hubungan silaturrahim, mengelakkan seseorang daripada dizalimi dan seumpamanya. Jika tiada hajat dan keperluan seperti di atas atau kemashlahatan dan kemudharatan itu tidak pasti, maka hukumnya adalah makruh.
  • Hendaklah tauriah itu bukan bertujuan untuk membenarkan sesuatu yang batil atau sebaliknya, dan juga bukan untuk menghalalkan sesuatu yang haram atau sebaliknya, jika tidak maka hukumnya adalah haram.
  • Hendaklah tauriah tersebut tidak menzalimi seseorang sama ada dengan mengambil hak orang lain atau menafikan hak orang lain keatas kita, jika tidak maka hukumnya adalah haram.

Semoga Allah memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami dan mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya mungkin. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas