Connect with us

Oh! Media

Hukum Tafsir Al-Quran Menurut Pendapat Sendiri

Umum

Hukum Tafsir Al-Quran Menurut Pendapat Sendiri

Soalan:
Apakah hukumnya seseorang itu menafsirkan ayat-ayat al-Quran menurut pendapat akalnya yang tersendiri?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Bagi menjawab isu ini, kami nyatakan terlebih dahulu beberapa bahagian atau jenis tafsir yang digunakan oleh para mufassirin (ulama tafsir):

Pertama: Tafsir Dengan Al-Ma’tsur
Dimaksudkan dengan tafsir bil ma’tsur ini adalah tafsiran menggunakan Al-Quran, Al-Sunnah, dan pendapat-pendapat para sahabat serta tabi’in.

Kedua: Tafsir Dengan Ijtihad (Al-Ra’yu)
Dalam kategori ini, yang dimaksudkan dengan tafsir bil ra’yi adalah perbuatan mentafsirkan Al-Quran dengan menggunakan ijtihad. Iaitu tafsir al-quran dengan ijtihad setelah mufassir (individu yang mentafsir) mengetahui bahasa arab, mengetahui lafaz-lafaz arab serta wajh al-dilalahnya, mengetahui asbab al-nuzul (sebab-sebab penurunan ayat), nasikh dan mansukh, dan seumpamanya.

Kami nyatakan di sini, bahawa dalam kategori tafsir yang kedua ini terpecah kepada dua jenis yang berikut:

1) Tafsir Bil Ra’yi Yang Datang Melalui Individu Yang Layak

Secara asasnya, para ulama telah menyebutkan beberapa syarat yang perlu ada untuk melayakkan seseorang itu menafsirkan Al-Quran. Iaitu dia hendaklah menguasai ilmu-ilmu seperti bahasa arab, nahu dan sorof, ilmu balaghah, ilmu qira’at, usuluddin, feqh, usul feqh, asbab al-nuzul, nasikh dan mansukh, ilmu hadis, serta beberapa cabang ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran.

Hakikatnya, kategori tafsir dengan ijtihad atau ra’yu di sini adalah dibolehkan. Ini kerana Allah S.W.T telah memerintahkan untuk tadabbur Al-Quran. Ia berdasarkan firman-Nya:

كِتابٌ أَنْزَلْناهُ إِلَيْكَ مُبارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آياتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُوا الْأَلْبابِ
(Inilah) Kitab yang telah Kami turunkan kepada kamu (wahai Muhammad) supaya mereka mentadabbur ayat-ayatnya dan supaya golongan Ulul Albab mengambil peringatan. [Surah Shod (29)]

Begitu juga apabila kita melihat para sahabat Nabi S.A.W saling berbeza pendapat terhadap beberapa tafsiran ayat Al-Quran. Sekiranya ijtihad dan nazhor (penelitian) terhadap ayat-ayat Al-Quran itu dilarang, nescayalah para sahabat telah melakukan maksiat. Ini mustahil berlaku kerana mereka telah dijamin keredhaan dari Allah S.W.T.

2) Tafsir Bil Ra’yi Dari Orang Yang Tiada Kelayakan

Perbuatan mentafsirkan Al-Quran dengan menggunakan pendapat sendiri dalam keadaan seseorang itu tidak layak, termasuk di dalam kategori berkata ke atas Allah S.W.T tanpa ilmu (القول على الله بغير علم). Hal ini dilarang oleh Al-Quran melalui firman Allah yang berikut:

إِنَّمَا يَأْمُرُكُم بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Sesungguhnya ia (syaitan) menyuruh kamu melakukan perkara yang buruk lagi keji. Serta menyuruh kamu berkata kepada Allah S.W.T akan sesuatu yang kamu tidak ketahui. [Surah Al-Baqarah (169)]

Demikian juga terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A yang jelas menunjukkan kepada keharaman hal ini. Rasulullah S.A.W bersabda:

وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Sesiapa yang berkata sesuatu pada Al-Quran dengan menggunakan pendapatnya sendiri maka bersiap sedialah tempatnya di dalam neraka. [Riwayat Al-Tirmizi (2951)]

Seperti yang diketahui, apabila disertakan hukuman ke atas sesuatu perbuatan itu menunjukkan bahawa ia adalah perkara yang haram.

Demikian juga terdapat beberapa atsar dari para sahabat yang menegaskan larangan terhadap perbuatan ini. Kata Abu Hurairah R.A:

من فسر القرآن على رأيه فإن أصاب لم يؤجر وإن أخطأ مُحي النور من قلبه
Sesiapa yang menafsirkan Al-Quran menurut pendapatnya sendiri, sekiranya (tafsiran) itu betul, dia tidak akan mendapat pahala. Sekiranya tafsiran tersebut silap, akan dipadamkan cahaya dari jantung hatinya.

Berikut merupakan beberapa contoh perbuatan menafsirkan Al-Quran dengan menggunakan akal fikiran sendiri:

1. Mendakwa diri sebagai Rasul berdasarkan firman Allah S.W.T :

إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ
Sesungguhnya kamu merupakan sebahagian dari para Rasul. [Surah Yaasin (3)]

Lalu seseorang menafsirkannya dengan menyatakan bahawa ayat tersebut merujuk kepada dirinya sendiri.

2. Mendakwa diri sebagai Rasul bagi kaum dan umat tertentu menggunakan firman Allah S.W.T:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا
Sesungguhnya telah kami utuskan bagi setiap umat itu seorang Rasul (kepada mereka). [Surah Al-Nahl (36)]

Seseorang menafsirkan ayat ini dengan pendapatnya sendiri lalu mendakwa dia adalah Rasul bagi umat tertentu, seperti dia adalah Rasul bagi umat Melayu contohnya.

3. Menyatakan solat cukup sekadar zikrullah.

Begitu juga terdapat mereka yang mendakwa bahawa ibadah solat cukup sekadar mengingati Allah tanpa perlu mendirikan solat dengan tatacara yang masyhur. Pendapat ini merujuk kepada ayat:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Sesungguhnya Aku adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka beribadahlah kepada-Ku dan dirikan lah solat untuk mengingati-Ku. [Surah Toha (14)]

Lalu ada orang menyatakan, ayat ini menunjukkan bahawa solat itu mencukupi sekadar dengan berzikir kepada Allah. Ia hakikatnya merupakan suatu kenyataan salah yang terhasil dari ketiadaan ilmu, bahkan inilah perbuatan menafsirkan kalamullah dengan akal fikiran sendiri, yang dilarang di dalam nas-nas syarak.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa tafsiran bil ra’yi iaitu dengan ijtihad yang datang dari individu yang berkepakaran terhadap Al-Quran adalah diharuskan.

Manakala perbuatan menafsirkan Al-Quran melalui pendapat sendiri semata-mata yang datang dari golongan yang tiada asas dan kelayakan adalah haram hukumnya. Ini berdasarkan beberapa nas dan hujahan yang telah kami sebutkan di atas. Tambahan pula, menafsir Al-Quran menuntut kepada penguasaan individu terhadap kaedah-kaedah serta syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama.

Marilah kita insafi sebuah kata-kata yang dituturkan oleh Imam Ahmad kepada para sahabatnya:

إياك أَن تَتَكَلَّم فِي مَسْأَلَة لَيْسَ لَك فِيهَا إِمَام
Hati-hatilah kamu dari berkata-kata dalam suatu permasalahan yang kamu tiada imam padanya.

Ini bererti, sekiranya kita ingin berhujah dengan menggunakan nas Al-Quran, adalah lebih utama dan selamat untuk kita meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para ulama yang muktabar dalam ilmu tafsir, yang menguasai secara mendalam ilmu-ilmu yang berkaitan ‘ulum Al-Quran serta tafsirannya berbanding kita mengulas Al-Quran dengan pendapat sendiri.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas