Connect with us

Hukum Solat Dalam Keadaan Menahan Diri Dari Membuang Air Kecil Dan Besar

Umum

Hukum Solat Dalam Keadaan Menahan Diri Dari Membuang Air Kecil Dan Besar

Soalan:
Semasa masuk waktu solat, saya terasa ingin membuang air. Disebabkan oleh perasaan malas untuk mengambil wudhu’, saya menjaga wudhu’ saya dengan menahan diri saya daripada membuang air kecil tersebut sehingga selesai solat. Apakah hukum saya solat dalam keadaan tersebut?

Jawapan:
Sebelum kami menjawab perseolan di atas, suka untuk kami jelaskan berkenaan dengan khusyuk dalam solat.

Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ . الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
“Telah berjaya orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah al-Mukminun: 1-2)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: “خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: “Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.”

Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110)

Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, 9/329)

Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.

Perlu difahami bahawa khusyuk terbahagi kepada dua iaitu:

• Khusyuk hati iaitu kehadiran hati seseorang yang sedang menunaikan solat secara fokus menghadap Allah SWT dengan membawa cinta kepada-Nya, mengagungkan-Nya, takut terhadap seksa-Nya, dan mengharap pahala dari-Nya sehingga merasa dekat dengan-Nya dan tenang hatinya serta penuh penghayatan dengan menghayati seluruh apa yang diucapkan dan lakukan dalam solatnya, dari awal hingga selesai solatnya. Kekhusyukan hati inilah yang melahirkan kekhusyukan badan, kerana ia adalah asas kekhusyukan.

• Khusyuk badan iaitu ketenangan gerakan dalam solat, beradab dan tidak tergesa-gesa dalam mengucapkan zikir dan doa, ketundukan pandangan ke arah tempat sujud, tidak menoleh ke atas atau ke arah yang menghilangkan khusyukdan tidak disibukkan dengan gerakan yang sia-sia.

Inilah khusyuk yang merupakan roh dan maksud solat. Namun, tidaklah mampu untuk khusyuk anggota tubuh kita kecuali apabila telah khusyuk hati kita, kerana kekhusyukan hati adalah asas/dasar kepada kekhusyukan badan.

Sa’id bin Musayyib rahimahullah pernah melihat seseorang yang berbuat perkara sia-sia dalam solatnya, lalu beliau berkata: “Kalau seandainya hati orang ini khusyuk, tentulah akan khusyuk anggota tubuhnya.” (Lihat Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi, 2/285)

Menjawab persoalan di atas, telah diriwayatkan satu hadis daripada Aisyah R.anha, Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ طَعَامٍ وَلَا وَهُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ
“Tidak ada solat ketika hadirnya makanan, dan tidak ada solat juga dalam keadaan seseorang itu menahan diri daripada membuang air kecil dan besar.” [Riwayat Muslim (560)]



Imam al-Nawawi dalam syarahnya mengenai hadis ini menyebut: “Dalam hadis ini menunjukkan makruhnya solat seseorang dalam keadaan makanan telah disediakan, dan dia perlukan makanan tersebut, kerana hal ini akan menyebabkan hatinya sibuk memikirkan makanan tersebut dan penyebab kepada hilangnya khusyuk dalam solat. Begitu juga dengan makruhnya solat seseorang dalam keadaan dia menahan dirinya daripada membuang air kecil dan besar, ianya menyebabkan hatinya tidak tenang, dan solatnya tidak khusyuk. Dan kedua-dua keadaan ini hukum solatnya makruh mengikut pandangan mazhab kami dan selain daripada kami jika dia solat dalam keadaan waktu solat yang panjang. Manakala jika waktu solat hampir ke penghujung waktunya, maka dia mesti solat untuk menjaga waktu solatnya, serta tidak boleh dia melewatkannya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/26)

Setiap sesuatu yang menyibukkan manusia daripada hadirnya kekhusyukan dalam hatinya ketika solat, maka hendaklah dia menyelesaikan dahulu urusannya supaya dia boleh solat dalam keadaan khusyuk. Begitu juga dengan perbuatan menahan diri daripada membuang air kecil dan besar, ianya sangat menganggu kekhusyukan di dalam solat.

Membuang air kecil dan besar merupakan hajat yang perlu diselesaikan dengan segera tanpa perlu ditangguhkan, solat dalam keadaan menahannya akan merosakkan solat itu sendiri yang mungkin akan menyebabkan rukun-rukun qauli dan fi’li tidak dapat dilaksanakan dalam keadaan sempurna. Berkemungkinan juga disebabkan dia menahan, akan menyebabkan najis tersebut terkeluar sedikit dan mengenai pakaiannya.

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah RA,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُصَلِّيَ الرَّجُلُ وَهُوَ حَاقِنٌ
“Rasulullah SAW melarang seseorang lelaki solat dan dia dalam keadaan haqin (حَاقِن).” [Riwayat Ibn Majah (617), dan Ahmad (21648)]

Syeikh al-Sindi menyebutkan: “Perkataan haqin (حَاقِن) bermaksud menahan diri daripada kencing dan buang air besar.” (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 1/213)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, solat dalam keadaan menahan diri daripada membuang air kecil dan besar, solatnya sah tetapi hukumnya makruh. Kami nasihatkan supaya diselesaikan dahulu urusan membuang hajat dahulu sebelum meneruskan apa-apa ibadah, kerana kekhusyukan dalam melakukan ibadah sangat penting dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba.

Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sentiasa mentaati-Nya dengan sebaik mungkin dan kami akhiri dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal R.A:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
“Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, syukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.” [Riwayat Abu Dawud (1522)]

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top