Connect with us

Hukum Sebutan Nama-Nama Penyakit Dalam Bacaan Qunut Nazilah

Umum

Hukum Sebutan Nama-Nama Penyakit Dalam Bacaan Qunut Nazilah

SOALAN:
Jika seorang imam menyebut satu per satu nama-nama penyakit seperti “corona virus” ketika Qunut Nazilah di dalam solat, adakah ini dibolehkan atau ia termasuk perkara yang membatalkan solat?

JAWAPAN:
Umat Islam dituntut untuk melakukan Qunut Nazilah di dalam solat sekiranya berlaku keburukan atau musibah tertentu yang berkaitan dengan umat Islam. Lebih-lebih lagi sekiranya para pemerintah telah mengeluarkan arahan untuk dibacakan Qunut Nazilah di dalam solat. Tuntutan ini adalah berdasarkan beberapa nas dan riwayat, antaranya seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

بَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي الْعِشَاءَ إِذْ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ‏ ثُمَّ قَالَ قَبْلَ أَنْ يَسْجُدَ اللَّهُمَّ نَجِّ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ، اللَّهُمَّ نَجِّ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ، اللَّهُمَّ نَجِّ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ، اللَّهُمَّ نَجِّ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ، اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ، اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ
Ketika Nabi SAW sedang mengerjakan solat Isyak, sebaik sahaja baginda membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ kemudian terus membaca doa sebelum baginda sujud dengan sebutan: “Ya Allah, selamatkanlah ‘Ayyash bin Abi Rabi’ah. Ya Allah, selamatkanlah Salamah bin Hisyam. Ya Allah, selamatkanlah Al-Walid Ibn al-Walid. Ya Allah, selamatkanlah golongan yang tertindas dari kalangan orang beriman. Ya Allah, Kau beratkanlah hukuman-Mu ke atas suku kaum Mudhar. Ya Allah, jadikanlah ia seperti tahun-tahun Yusuf (tujuh tahun yang penuh kesulitan).” [Riwayat Al-Bukhari (122)]

Imam Al-Khattabi dalam syarahan beliau ke atas hadith ini menyatakan: “Antara fekah daripada hadith ini adalah mengisbatkan bacaan Qunut pada selain solat witir. Hadith ini juga menunjukkan bahawa mendoakan sesuatu kaum dengan menyebutkan nama-nama mereka serta nama bapa-bapa mereka tidak membatalkan solat. Demikian mendoakan keburukan ke atas golongan kuffar dan golongan yang zalim tidak merosakkan solat.” [Rujuk: Ma’alim al-Sunan, Al-Khattabi (1/288)]

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَنَتَ شَهْرًا يَلْعَنُ رِعْلاً وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ عَصَوُا اللَّهَ وَرَسُولَهُ
“Sesungguhnya Nabi SAW telah melakukan Qunut selama sebulan dan baginda melaknat Ri’l, Zakwan, dan ‘Ushoyyah yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” [Riwayat Muslim (677)]

Justeru, hadith-hadih di atas ini jelas menganjurkan bacaan Qunut Nazilah di dalam solat yang dibaca semasa i’tidal pada rakaat solat yang terakhir. Selain dari mendoakan keburukan ke atas musuh-musuh Islam yang telah melakukan kejahatan dan menyakiti umat Islam, Qunut Nazilah juga dituntut sekiranya berlaku wabak penyakit atau bencana yang menimpa umat Islam.

Imam Al-Nawawi berkata: “Disyariatkan Qunut dalam kesemua solat fardhu disebabkan nazilah (kejadian tertentu yang berlaku) dan bukanlah (ia dibaca) secara mutlak (yakni tanpa sebarang sebab).” [Rujuk: Minhaj Al-Thalibin, Al-Nawawi (1/222)]

Manakala Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam mensyarahkan kata-kata Imam Al-Nawawi di atas beliau berkata: “Sama ada Nazilah (kejadian yang berlaku) itu bersifat umum atau pun perkara khusus yang melibatkan masyarakat umum yang mana kemudharatannya akan melibatkan umat Islam seperti wabak dan juga taun, demikian juga hujan lebat yang memudharatkan.” [Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami (2/68)]

Dalam isu perkara-perkara yang membatalkan solat pula, seperti yang disebutkan oleh para fuqaha’ antaranya adalah berkata-kata dengan sengaja. Meskipun begitu, kita perlu jelas bahawa perkataan yang membatalkan solat itu adalah perkataan yang tidak ada kaitan dengan solat. Ini kerana, solat itu sendiri dari sudut definisinya merujuk kepada ucapan-ucapan dan perbuatan-perbuatan yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Ini menunjukkan di dalam solat juga ada ucapan-ucapan yang meliputi bacaan al-Quran, zikir, dan juga doa. Justeru, dapat difahami bahawa selama mana sesuatu ucapan itu berkaitan dengan solat, maka ini tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan solat.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa doa-doa yang dibaca oleh para imam ketika bacaan Qunut Nazilah, sama ada yang menyebutkan nama-nama bagi penyakit tertentu, atau nama individu, atau nama-nama negara umat Islam yang tertindas, maka ini kesemuanya tidak membatalkan solat kerana ia termasuk dalam bahagian doa yang dibenarkan di dalam solat.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top