Connect with us

Oh! Media

Hukum Pewarna Makanan 20% Alkohol

Umum

Hukum Pewarna Makanan 20% Alkohol

Soalan:
Saya ada kemusykilan berkenaan kandungan alkohol dalam pewarna makanan. Sebagai contoh, ada satu jenama pewarna makanan yang mengandungi ethanol sebanyak 20%. Adakah haram ianya digunakan?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Kaedah asal dalam hukum etanol di dalam makanan ini adalah unsur memabukkan. Apa-apa bahan yang memabukkan maka adalah haram untuk dimakan. Etanol, adalah nama saintifik bagi alkohol. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, alkohol ialah “cecair yang mudah terbakar dan juga memabukkan”. [1]

Berdasarkan definisi ini, meminum alkohol adalah diharamkan kerana ia membawa kepada kemabukan. Dalil bagi keharaman itu adalah hadis riwayat Ummul Mukminin, Saiyidatina Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah ﷻ bersabda:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ
“Semua yang memabukkan adalah haram.” [Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)]

Daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah ﷻ bersabda:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
“Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.” [Riwayat Abu Daud (3681), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)]

Namun, bukan semua makanan yang mengandungi alkohol itu adalah arak. Terdapat makanan dan minuman yang apabila dimakan mengikut uruf setempat tidak memabukkan. Ia juga tidak najis kerana penghasilan alkohol itu bukan tujuan utama pembuatan makanan itu, sebaliknya hanya kesan sampingan. Kami menukilkan Fatwa Kerajaan Negeri Brunei Darussalam pada tahun 2005 (hlm. 74-75) yang menyebut:

“Ini bermaksud bahawa kenajisan alkohol itu adalah bertolak dari sebab kenajisan arak yang sifatnya sebagai minuman yang memabukkan. Dengan itu dapat difahami bahawa semata-mata alkohol bukanlah najis selama mana ia tidak diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang memabukkan, kerana kueh tapai yang biasa dimakan pun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak diharamkan, kerana tidak memabukkan.”

Justeru, walaupun pada asalnya tanggungjawab mengenalpasti makanan dan minuman yang halal adalah tanggungjawab fardu ain ke atas semula umat Islam, perkembangan dan kemajuan dalam bidang pemakanan menyebabkan tugas pengenalpastian ini semakin kompleks dan memerlukan bantuan institusi awam. Oleh itu, kami merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Bahagian Hab Halal) selaku yang bertanggungjawab menjalankan pensijilan halal di Malaysia bersama-sama Jabatan Agama Islam negeri-negeri. [2]

Pandangan Hukum Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

1. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-22 yang bersidang pada 24 Nov 1988 telah membincangkan Alkohol Sebagai Penstabil Minuman Ringan. Muzakarah telah memutuskan bahawa kordial yang mengandungi bahan perisa (flavour) yang dimasukkan alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:

  • Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak.
  • Bahawa kuantiti alkohol dalam perisa (flavour) itu adalah sedikit iaitu tidak memabukkan.

2. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11 – 12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  • Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
  • Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
  • Tapai halal dimakan.
  • Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

3. Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  • Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
  • Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
  • Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
  • Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa pewarna makanan yang mengandungi 20% kandungan alkohol adalah diharamkan kerana melebihi kadar yang ditetapkan yakni 0.5%, sekalipun pewarna berkenaan tidak dihasilkan menggunakan proses pembuatan arak, seperti mana yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Sebaiknya penanya boleh terus bertanya kepada Bahagian Hal Halal JAKIM untuk penjelasan.

Semoga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada penanya.

Nota hujung:

[1] Rujuk http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=alkohol.

[2] http://www.islam.gov.my/bahagian-hab-halal/198-profil

Ustaz Dr. Zulkifli Al-Bakri
+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas