Connect with us

Oh! Media

Hukum Pembinaan Monumen / Memorial Sebagai Peringatan

Umum

Hukum Pembinaan Monumen / Memorial Sebagai Peringatan

Soalan:
Apakah hukumnya membina memorial atau monumen sebagai peringatan bagi satu-satu peristiwa?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Tanpa dinafikan, negara kita Malaysia telah mengalami banyak ujian dan tribulasi seperti kemalangan MH370, MH17, dan bah besar di Kelantan yang menjadi peristiwa hitam dan sejarah yang sukar dilupakan. Kemudian, rentetan daripada peristiwa tersebut mungkin sebagai memperingati maka dicadangkan pembinaan monumen atau memorial. Justeru, hal ini cuba ditanya kepada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam isu di atas, alangkah baiknya kita memahami istilah monumen atau memorial itu sendiri.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, monumen ialah bangunan (patung dll) yg dibina utk memperingati seseorang atau sesuatu peristiwa penting, tugu. Sedangkan maksud memorial pula ialah sesuatu yg dibina (didirikan dsb) utk memperingati seseorang tokoh atau sesuatu peristiwa bersejarah.

Berdasarkan definisi di atas, jelas kepada kita ia bersifat sebuah bangunan atau binaan bertujuan untuk memperingati seseorang atau satu-satu peristiwa yang berlaku.

Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan Keterangannya

Marilah kita merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera. Muzakarah telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.

Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.

Walau bagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.

Acara-acara seperti Majlis Peringatan termasuk Bacaan Doa Selamat, Yasin, Tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.

Garis Panduan Pembinaan Dan Pengurusan Dataran Peringatan Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam

Keterangan/Hujah:

Terdapat banyak hadith yang mengharamkan serta melarang perbuatan orang yang memahat patung dan menyimpan patung untuk apa-apa tujuan melainkan patung dalam permainan kanak-kanak. Antaranya ialah:

لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلاَ صُورَةُ تَمَاثِيلَ
“Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan patung”. [Riwayat al-Bukhari (2106)]

Daripada Abdullah berkata aku mendengar Nabi SAW bersabda :

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ القِيَامَةِ المُصَوِّرُونَ
Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung). [Riwayat al-Bukhari (5950)]

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim mengatakan bahawa membuat gambar haiwan adalah diharamkan kerana ia termasuk dosa besar kerana meniru ciptaan Allah. Adapun melukis gambar pohon atau sesuatu yang tidak bernyawa dibolehkan. Islam juga mengharamkan umatnya mengukir atau membuat patung walaupun untuk orang kafir.

Dalam menentukan keharusan atau larangan terhadap sesuatu perbuatan, kaedah Saddu az-Zarai’ perlu diambil kira kerana sekiranya pelaksanaannya boleh mendatangkan keburukan atau mudharat yang lebih besar, maka ia wajar dihentikan.

Secara zahirnya pembinaan apa jua bentuk binaan sama ada monumen, tugu atau sebagainya adalah sebagai tanda peringatan. Amalan ini jelas ditegah oleh Islam sekiranya binaan tersebut merupakan ukiran patung manusia atau haiwan. Apa jua bentuk binaan atau ukiran, jika ia bertujuan untuk diagung-agungkan dan bersifat membazir, ia amat ditegah oleh Islam. Walau bagaimanapun, jika ia hanya sekadar binaan biasa atau ukiran nama-nama sebagai tanda kenangan sejarah dan tidak berlebih-lebihan, maka ia tiada halangan.

Amalan atau perbuatan membina tugu telah diwarisi oleh umat Islam daripada pihak penjajah. Acara-acara seperti bertafakkur, nyanyian, tiupan Rouse dan meletakkan kalungan bunga di hadapan tugu mengandungi unsur-unsur syirik dan ditegah oleh Islam.

Amalan membina tanda peringatan sekiranya dibiarkan tanpa kawalan dan panduan, akan berleluasa dan sukar dikawal pada masa akan datang. Satu garis panduan perlu disediakan bagi memastikan hanya tanda peringatan yang tertentu sahaja dibenarkan tanpa sebarang unsur-unsur pembaziran.

Fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan sebelum ini iaitu mengenai amalan tiupan “Last Post”, bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan “Rouse” hendaklah dikekalkan.

Ulasan

Secara umumnya, pembinaan yang berupa patung atau tugu terdapatnya objek manusia atau haiwan yang cukup sifat atau sebahagian besarnya adalah dilarang sama sekali. Berkenaan dengan patung yang telah dicacatkan seperti tiada kepalanya maka ketika itu hukumnya harus berdasarkan kepada pendapat jumhur ulama’. Walaupun begitu, ada para ulama’ yang bertegas dengan mengatakan tidak boleh sama sekali seperti Imam Mutawalli bermazhab Syafie menyebut : “Tidak ada beza samada dipotong kepala patung tersebut atau tidak.” Ini bererti membuat atau membina sebarang patung adalah haram. [Lihat al-Fath 12/512]

Begitu juga jika dikhuatiri menjadi tempat pemujaan atau tafakkur dalam bentuk seperti penyembahan atau penghormatan yang berlebihan juga tidak dibenarkan sama sekali. Tetapi, sekadar memperingati semata-mata maka hukumnya adalah dibolehkan dengan syarat-syarat atau dawabit yang perlu dipenuhi oleh pihak yang ingin membinanya.

Hikmah Pengharaman Patung

Kami nukilkan di sini dari kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut isu hikmah pengharaman patung. Katanya:

Pertama: Di antara rahsia diharamkannya patung ini, walaupun dia itu bukan satu-satunya sebab, seperti anggapan sementara orang iaitu untuk membela kemurnian Tauhid, dan supaya jauh dari menyamai orang-orang musyrik yang menyembah berhala-berhala mereka yang dibuatnya oleh tangan-tangan mereka sendiri, kemudian disucikan dan mereka berdiri di hadapannya dengan penuh khusyu’. Kesungguhan Islam untuk melindungi Tauhid dari setiap macam penyerupaan syirik telah mencapai puncaknya. Islam dalam ikhtiarnya ini dan kesungguhannya itu senantiasa berada di jalan yang benar. Ini kerana, sudah pernah terjadi di kalangan umat-umat terdahulu, dimana mereka itu membuat patung orang-orang yang soleh mereka yang telah meninggal dunia kemudian disebut-sebutnya nama mereka itu. Lama-kelamaan dan dengan sedikit demi sedikit orang-orang saleh yang telah dilukiskan dalam bentuk patung itu dsucikan, sehingga akhirnya dijadikan sebagai Tuhan yang disembah selain Allah; diharapkan, dan ditakuti serta diminta keberkatannya.

Hal ini pernah terjadi pada kaum Wud, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr. Tidak heran kalau dalam suatu agama yang dasar-dasar syariatnya itu selalu menutup pintu kerusakan, bahwa akan ditutup seluruh lubang yang mungkin akan dimasuki oleh syirik yang sudah terang maupun yang masih samar untuk menyusup ke dalam otak dan hati, atau jalan-jalan yang akan dilalui oleh penyerupaan kaum penyembah berhala dan pengikut-pengikut agama yang suka berlebih-lebihan. Lebih-lebih Islam itu sendiri bukan undangundang manusia yang ditujukan untuk satu generasi atau dua generasi, tetapi suatu undang-undang untuk seluruh umat manusia di seantero dunia ini sampai hari kiamat nanti. Sebab sesuatu yang kini masih belum diterima oleh suatu lingkungan, tetapi kadang-kadang dapat diterima oleh lingkungan lain; dan sesuatu yang kini dianggap ganjil dan mustahil, tetapi di satu saat akan menjadi suatu kenyataan, entah kapan waktunya, dekat atau jauh.

Kedua: Rahsia diharamkannya patung bagi pemahatnya, sebab seorang pelukis yang sedang memahat patung itu akan diliputi perasaan bangga diri, sehingga seolah-olah dia dapat menciptakan suatu makhluk yang tadinya belum ada atau dia dapat membuat jenis baru yang bisa hidup yang terbuat dari tanah. Sudah sering terjadi seorang pemahat patung dalam waktu yang relatif lama, maka setelah patung itu dapat disempurnakan lantas dia berdiri di hadapan patung tersebut dengan mengaguminya, sehingga seolah-olah dia berbicara dengan patung tersebut dengan penuh kesombongan: Hai patung! Bicaralah! Untuk itulah maka Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ الَّذِينَ يَصْنَعُونَ هَذِهِ الصُّوَرَ يُعَذَّبُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، يُقَالُ لَهُمْ: أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ
“Sesungguhnya orang-orang yang membuat patung-patung ini nanti di hari kiamat akan disiksa dan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah patung yang kamu buat itu.” [Riwayat Bukhari (5951)]

Dan dalam hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي، فَلْيَخْلُقُوا ذَرَّةً أَوْ لِيَخْلُقُوا حَبَّةً أَوْ شَعِيرَةً
“Siapakah orang yang lebih menganiaya selain orang yang bekerja untuk membuat sesuatu seperti pembuatanku? Oleh karena itu cubalah mereka membuat zarrah (benda yang kecil), cubalah mereka membuat sebutir barli sahaja.” [Riwayat Bukhari (5953) dan Muslim (2111)]

Ketiga: Orang-orang yang berbicara dalam persoalan seni ini tidak berhenti dalam suatu batas tertentu saja, tetapi mereka malah melukis (memahat) wanita-wanita telanjang atau setengah telanjang. Mereka juga melukis (dan juga memahat) lambang-lambang kemusyrikan dan syiar-syiar agama lainnya, seperti salib, berhala dan lain-lain yang pada prinsipnya tidak dapat diterima oleh Islam.

Keempat: Lebih dari itu semua, bahwa patung-patung itu selalu menjadi kemegahan orang-orang yang kaya, mereka penuhinya istana-istana mereka dengan patung-patung, kamar-kamar mereka dihias dengan patung dan, mereka buatnya seni-seni pahat (patung) dari berbagai lambang. Kalau agama Islam dengan gigih memberantas seluruh bentuk kemewahan dengan segala kemegahan dan macamnya, yang terdiri dari emas, perak dan sutera, maka tidak terlalu jauh kalau agama ini mengharamkan patung-patung itu, sebagai lambang kemegahan, dalam rumah-rumah orang Islam. [Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam 179-181]

Beberapa Cadangan Pembinaan

Jika sekiranya mahu dibina monumen atau memorial maka beberapa cadangan dikemukakan di sini.

  • Bukan bersifat patung atau lembaga tertentu. Ini kerana ijma’ Ahli Sunnah akan haramnya. Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir menyebut sebagai dosa besar.
  • Tidak wujud gambar yang dipahat atau diukir.
  • Binaan bukan sampai kepada tahap pembaziran. 
  • Binaan lebih bersifat bersahaja tanpa dianggap suci dan diagungkan.
  • Dicadangkan bangunan yang dibina hanya seperti dinding atau pagar tinggi.
  • Jika dilukis dengan mural hendaklah mengelakkan gambar-gambar yang bernyawa.
  • Menjauhkan daripada sebarang bentuk yang tidak dibenarkan seperti dalam Muzakarah Fatwa.
  • Sekadar mencatat nama dan peristiwa yang berlaku di samping doa untuk si mati. 
  • Gunakan lukisan mural yang bersifat abstrak. 
  • Tandakan peraturan melawat atau menziarahi agar tidak bertentangan dengan syariat.

Apabila menepati syarat-syarat ini maka tiada halangan bagi mana-mana pihak untuk membina monumen atau memorial. Akhir kalam, suka saya nyatakan bahawa ajaran Islam begitu prihatin dalam isu ibadat dan perkara yang boleh membawa kepada cacatnya ibadat sehingga tergelincir daripada ajaran Islam yang sebenar.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas