Connect with us

Hukum Orang Bukan Islam Memasuki Perkuburan Islam

Umum

Hukum Orang Bukan Islam Memasuki Perkuburan Islam

Soalan:
Apakah hukum orang bukan Islam memasuki tanah perkuburan orang Islam? Antaranya untuk hadir ke majlis pengebumian rakan, atau untuk bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan.

Jawapan:
Kami tidak menemui sebarang dalil yang melarang orang bukan Islam daripada memasuki tanah perkuburan orang Islam. Bahkan kami dapati inisiatif sekumpulan orang bukan Islam yang bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan orang Islam merupakan sebahagian daripada anjuran tolong-menolong dalam perkara kebaikan sebagaimana yang dinyatakan melalui firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.” [Surah al-Ma’idah (2)]

Disebutkan juga oleh para ulama bahawa tidak dilarang untuk orang bukan Islam sama-sama mengiringi jenazah orang Islam ke tanah perkuburan dan mendoakan kesejateraan jenazah. (Rujuk Hasyiyah al-Khurasyi ‘ala Mukhtasar al-Khalil 2/183, Minah al-Jalil 1/534 dan Syarh al-Talqin ‘ala al-Fiqh al-Maliki 4/119)

Isu ini juga boleh dikaitkan dengan hukum non-Muslim memasuki masjid. Maka jika masjid yang diistilahkan sebagai rumah Allah SWT pun diharuskan untuk orang bukan Islam memasukinya, maka tanah perkuburan orang Islam lebih aula untuk diharuskan bagi mereka memasukinya, lebih-lebih lagi apabila mereka memasukinya dengan niat yang baik.


Kesimpulan

Tuntasnya, sekali lagi dinyatakan bahawa tiada larangan dalam al-Quran dan al-Hadith yang menegah orang bukan Islam daripada memasuki perkuburan orang Islam, lebih-lebih lagi jika mereka berniat baik dan tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan atau menghina maruah orang Islam.

Mereka juga dialu-alukan untuk datang jika untuk menziarahi kubur saudara-mara mereka, namun sebarang amalan ritual keagamaan bukan Islam adalah dilarang sama sekali.

Namun para petugas tanah perkuburan dan orang Islam umumnya perlu mengingatkan orang bukan Islam akan adab-adab yang perlu dijaga sewaktu berada di tanah perkuburan orang Islam, antaranya:

  • Memakai pakaian yang sopan.
  • Tidak duduk di atas binaan kubur, melangkah dan memijak tempat jenazah ditanam.
  • Tidak meludah dan perkara-perkara lain yang boleh mengotorkan kawasan kubur.

Wallahu a’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top