Connect with us

Oh! Media

Hukum Orang Berjunub Tidur Sebelum Mandi Wajib

Umum

Hukum Orang Berjunub Tidur Sebelum Mandi Wajib

SOALAN:
Jika seseorang lelaki berada dalam keadaan berjunub, adakah boleh untuk dia tidur dalam keadaan tersebut? Atau dia perlu untuk mandi wajib terlebih dahulu?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Menjawab berkenaan dengan isu ini, seseorang itu dianggap berjunub apabila berlaku dua perkara kepada dirinya. Pertama, keluar air mani sama ada melalui mimpi dan sebagainya. Kedua, mengadakan hubungan suami isteri, meskipun tidak keluar air mani.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami kongsikan beberapa riwayat yang berikut. Antaranya adalah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Salamah R.A beliau bertanya kepada Aisyah R.Anha:

أَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَرْقُدُ وَهْوَ جُنُبٌ قَالَتْ نَعَمْ وَيَتَوَضَّأُ
“Adakah Nabi SAW pernah tidur dalam keadaan berjunub?” Kemudian Aisyah menjawab: “Ya, dan baginda berwudhu’ (terlebih dahulu sebelum tidur).” [Riwayat Al-Bukhari (286)]

Imam Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata: “Hadith ini menunjukkan keharusan untuk melewatkan mandi junub tanpa sebarang darurat. Akan tetapi sekiranya dia hendak tidur maka disunatkan untuk dia berwudhu’ terlebih dahulu.” [Rujuk: Fath al-Bari, Ibn Rajab (1/349)]

Demikian juga seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A, beliau berkata:

اسْتَفْتَى عُمَرُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَيَنَامُ أَحَدُنَا وَهوَ جُنُبٌ قَالَ نَعَمْ إِذَا تَوَضَّأَ
Umar pernah bertanya kepada Nabi SAW: “Adakah boleh seseorang dari kami tidur dalam keadaan dia berjunub?” Lalu jawab Rasulullah SAW: “Ya boleh, apabila dia telah berwudhu’.” [Riwayat Al-Bukhari (289)]

Manakala dalam riwayat yang lain daripada Ibn Umar R.A beliau berkata: Umar pernah menceritakan kepada Rasulullah SAW bahawa dia berjunub pada waktu malam. Kemudian Rasulullah SAW berkata:

تَوَضَّأْ وَاغْسِلْ ذَكَرَكَ ثُمَّ نَمْ
“Berwudhu’lah kamu dan basuhlah kemaluan kamu kemudian tidurlah.‏” [Riwayat Al-Nasa’ie (261)]

Meskipun begitu, di sisi para fuqaha al-Syafi’eyyah dan selain mereka, arahan yang terdapat di dalam riwayat di atas ini bukanlah merujuk kepada makna wajib sebaliknya merujuk kepada hukum mustahab iaitu disunatkan. Ini kerana terdapat beberapa riwayat lain yang menunjukkan bahawa hukumnya adalah mustahab sahaja.

Syeikh Al-Mahamili Al-Syafi’e ketika menjelaskan keadaan-keadaan yang mana seseorang itu disunatkan untuk berwudhu’ menyebut antaranya:

والوُضُوءُ لِلْجُنُبِ عِنْدَ النَّومِ
“Dan berwudhu’ ketika hendak tidur bagi orang yang berjunub.” [Rujuk: Al-Lubab fil Fiqh al-Syafi’e (Hlm. 59)]

Penutup

Sebagai kesimpulan setelah kami merujuk kepada beberapa nas dan hujahan di atas, kami menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang yang berjunub itu melewatkan mandi wajibnya kepada selepas bangun dari tidur. Namun, disunatkan untuk seseorang yang berjunub untuk mengambil wudhu’ seperti wudhu’ solat sebelum dia tidur. Sekiranya dia tidur dalam keadaan berjunub tanpa berwudhu’ terlebih dahulu maka hukumnya adalah makruh.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas