Connect with us

Oh! Media

Hukum Mukhannas (Maknyah) Masuk Tandas Wanita

Umum

Hukum Mukhannas (Maknyah) Masuk Tandas Wanita

SOALAN:
Bolehkah golongan lelaki yang menyerupai perempuan masuk ke dalam tandas orang perempuan?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Dalam mengulas isu ini, perkara paling penting yang perlu kita bahaskan adalah berkenaan dengan hakikat mukhannas itu terlebih dahulu. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang menyebut:

الحُكْمُ عَلَى الشَّيء فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ
“Hukum ke atas sesuatu merupakan satu cabang dari mendapatkan gambaran menyeluruh terhadap perkara tersebut.”

Dari sudut definisi, mukhannas merupakan seorang lelaki yang menyerupai orang perempuan dari sudut lemah lembut, suara, pergerakan, dan seumpamanya. Oleh itu, mukhannas ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

  1. Mereka yang dilahirkan secara semula jadi seperti itu.
  2. Mereka yang asal kejadiannya tidak sebegitu. Namun dia dengan sendiri menyerupai orang perempuan dari sudut cara berjalan, lenggok percakapan, pakaian, dan selainnya.

Bagi golongan yang pertama, tidak ada dosa pada mereka kerana memang telah dilahirkan sebagai seorang lelaki yang bersuara lembut dan halus dan seumpamanya. Namun, golongan ini perlu berusaha untuk tidak menghilangkan identiti kelelakian yang merupakan asal kejadian mereka.

Manakala bagi golongan yang kedua pula, mereka ini dianggap berdosa kerana dengan sengaja menyerupai (tasyabbuh) orang perempuan sedangkan asal kejadian mereka tidak sedemikian. Ini kerana, bagi seseorang lelaki itu untuk menyerupai orang perempuan merupakan suatu perbuatan yang dilarang di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
“Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai lelaki.” [Riwayat Al-Bukhari (5885)]

Imam Al-Khattabi dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata : “Hadith ini membawa makna larangan Baginda SAW terhadap orang perempuan dari memakai pakaian lelaki dan juga larangan ke atas orang lelaki memakai pakaian orang perempuan.” [Rujuk: Ma’alim al-Sunan, Al-Khattabi (4/199)]

Justeru, dapat difahami dari kenyataan beliau tersebut bahawa tasyabbuh (penyerupaan) itu berlaku melibatkan pemakaian dan perkara-perkara lain yang sama makna dengannya seperti cara berjalan, percakapan, dan seumpamanya. Kesemuanya ini termasuk dalam perbuatan berdosa kerana zahir hadith di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melaknat pelaku perbuatan tersebut.

Setelah kita memahami akan definisi mukhannas, jelaslah kepada kita bahawa ada perbezaan di antara mukhannas dan juga khunsa. Secara umumnya, khunsa dari sudut istilah para fuqaha’ membawa maksud: “Seseorang yang mempunyai dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan juga kemaluan perempuan. Ataupun seseorang yang tidak memiliki kedua-duanya dan dia mempunyai lubang yang keluar daripadanya air kencing.” [Rujuk: Haasyiah Ibn ‘Abidin (5/464), Nihayah al-Muhtaj (6/31)]

Manakala menurut Kamus Dewan, khunsa adalah: “Seseorang yang mempunyai dua alat kelamin.” [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat]

Merujuk kepada kitab-kitab para fuqaha’, kita akan dapati bahawa mereka membahagikan khunsa kepada dua jenis:

Khunsa musykil: Seseorang yang tidak jelas tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan pada dirinya. Tidak dapat diketahui sama ada dia merupakan seorang lelaki atau perempuan. Khunsa musykil juga memiliki dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan kemaluan perempuan dan tidak dapat dipastikan keadaannya dari kedua jenis tersebut iaitu sama ada dia lelaki ataupun perempuan.

Dalam kitab-kitab feqah, apabila perkataan khunsa disebut secara mutlak maka ia merujuk kepada khunsa musykil. Kata Imam Al-Suyuthi Rahimahullah: “Ketika digunakan perkataan khunsa di dalam feqah maka yang dimaksudkan dengannya adalah khunsa musykil.” [Rujuk: Al-Asybaah wal Nazhair, Al-Suyuthi (1/202)]

Khunsa ghayru musykil: Seseorang yang jelas pada dirinya tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan. Dia dapat diketahui sama ada dia merupakan seorang lelaki ataupun perempuan. Individu seperti ini tidak dikategorikan sebagai khunsa musykil. Ini kerana dia merupakan seorang lelaki atau perempuan, tetapi dalam masa yang sama mempunyai anggota lebihan. Hukum untuknya dalam mirath (pembahagian harta pusaka) dan selainnya dari hukum-hakam adalah hukum terhadap apa-apa yang jelas dari tanda jantinanya. Sekiranya jelas tanda-tanda kelelakian, maka ke atasnya hukum-hakam seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.

Oleh yang demikian, dapat kita fahami bahawa mukhannas ini berbeza dengan khunsa (musykil) dari sudut mukhannas jelas akan jantinanya manakala khunsa adalah sebaliknya.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berikut kami kongsikan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah R.A yang menyatakan:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ عِنْدَهَا وَفِي الْبَيْتِ مُخَنَّثٌ، فَقَالَ الْمُخَنَّثُ لأَخِي أُمِّ سَلَمَةَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أُمَيَّةَ إِنْ فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الطَّائِفَ غَدًا أَدُلُّكَ عَلَى ابْنَةِ غَيْلاَنَ، فَإِنَّهَا تُقْبِلُ بِأَرْبَعٍ وَتُدْبِرُ بِثَمَانٍ‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لاَ يَدْخُلَنَّ هَذَا عَلَيْكُنَّ
Rasulullah SAW berada bersama dengan beliau (Ummu Salamah) dan terdapatnya seorang mukhannas di dalam rumah. Kemudian mukhannas tersebut berkata kepada saudara lelaki Ummu Salamah iaitu Abdullah Ibn Abi Umayyah: “Sekiranya Allah membukakan Ta’if ke atas kamu pada hari esok (menakluk Ta’if), aku akan menunjukkan kamu kepada anak perempuan Ghaylan (untuk berkahwin). Sesungguhnya dia (anak perempuan Ghaylan) apabila menghadap kamu akan kelihatan empat lipat dan apabila berpaling akan kelihatan lapan lipatan (kerana gemuk).” Maka Nabi SAW bersabda: “Janganlah lelaki ini sesekali masuk kepada kamu (orang perempuan).” [Riwayat Al-Bukhari (5235)]

Imam Ibn Battal menukilkan kata-kata Al-Muhallab yang menyebut: Asal sandaran bagi hadith ini adalah berdasarkan sebuah riwayat lain daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda:

لاَ تُبَاشِرِ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ فَتَنْعَتَهَا لِزَوْجِهَا، كَأَنَّهُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا
“Tidak boleh bagi seorang perempuan itu melihat atau menyentuh perempuan yang lain untuk memberikan gambaran tentang diri perempuan tersebut kepada suaminya seakan-akan suaminya melihat kepada dirinya (perempuan tersebut).” [Riwayat Al-Bukhari (5240)]

Justeru, apabila Nabi SAW mendengar perkataan mukhannas tersebut yang menceritakan tentang sifat dan peribadi wanita tersebut, maka baginda SAW melarang mukhannas dari masuk ke kawasan orang perempuan. Ini supaya dia tidak dapat lagi menceritakan sifat-sifat orang perempuan tertentu kepada orang lelaki yang akan menggugurkan makna hijab.

Ibn Battal juga menukilkan pendapat yang menyebut: “Antara fiqh hadith ini juga, tidak boleh bagi seorang perempuan yang bijak dalam menilai kecantikan dan keperibadian orang perempuan yang lain untuk masuk kepada mereka (sekiranya dikhuatiri dia akan menceritakan keperibadian dan bentuk tubuh mereka kepada orang lelaki).” [Rujuk: Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Battal (7/361)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, berdasarkan beberapa nas dan hujahan yang kami kemukakan di atas, kami menyatakan bahawa hukum seorang mukhannas atau dalam bahasa setempat disebut sebagai pondan, maknyah, dan seumpamanya memasuki tandas orang perempuan adalah dilarang. Ini kerana, tandas merupakan tempat privasi sekalipun ia merupakan tandas awam. Di dalam tandas kebiasaannya seorang perempuan akan membuka aurat, menzahirkan bahagian badannya, justeru apabila masuknya golongan mukhannas ini dan melihat keadaan mereka tersebut, pasti akan menimbulkan masalah dan kesulitan yang besar memandangkan mereka ini adalah daripada jantina yang berlawanan. Justeru bagi mengelak aurat dan kehormatan orang perempuan disebarkan kepada ajnabi (lelaki asing), maka hal ini adalah dilarang.

Kami mengambil kesempatan ini untuk mengajak saudara-saudara kami yang diuji dengan keadaan seperti ini, untuk sama-sama kembali kepada Allah SWT terlebih dahulu dan kemudiannya kembali kepada fitrah dan asal kejadian yang telah Allah ciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas