Connect with us

Oh! Media

Hukum Menyimpan Patung Permainan Kanak-Kanak

Umum

Hukum Menyimpan Patung Permainan Kanak-Kanak

Soalan:
Saya ingin bertanyakan soalan berkaitan menyimpan patung mainan kanak-kanak seperti dinasours, robot dan lain-lain untuk tujuan permainan dan pembelajaran. Baru-baru ini terdapat ustaz yang mengatakan perkara itu haram dan kami telah membuangnya atas nasihat ustaz tersebut. Mohon pencerahan adakah ia dibolehkan ataupun tidak?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Terdapat larangan dalam beberapa hadith mengenai menyimpan dan meletakkan patung di dalam rumah serta mengukirnya. Antaranya ialah Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
“Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” [Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)]

Di dalam hadith yang lain juga, Rasulullah SAW bersabda:

أنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ، وأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتا كَنِيسَةً رَأَيْنَها بالحَبَشَةِ فِيها تَصاوِيرُ لِرَسولِ اللهِ ﷺ، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: إنَّ أُولَئِكَ، إذا كانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصّالِحُ، فَماتَ، بَنَوْا على قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وصَوَّرُوا فيه تِلْكِ الصُّوَرَ، أُولَئِكِ شِرارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَومَ القِيامَةِ.
Bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah R.Anhuma teringat kepada tempat ibadat yang mereka pernah melihatnya di Habsyah yang terdapat patung-patung berhala di dalamnya dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pada satu ketika dahulu ada seorang lelaki yang soleh kemudian dia meninggal dunia. Maka, penduduk di situ mereka membina tempat ibadah di atas kuburnya dan mengukirkan patung-patung tersebut untuknya. Mereka itulah seburuk-buruk ciptaan di sisi Allah SWT pada hari Kiamat.” [Riwayat Muslim (528)]

Al-Hafiz Ibn Hajar RA berkata bahawa hadith ini menunjukkan kepada pengharaman mengukir dan menyimpan patung. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1:525)

Begitu juga, dalam satu hadith lain yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ أشَدَّ النّاسِ عَذابًا يَومَ القِيامَةِ المُصَوِّرُونَ
“Sesungguhnya manusia yang paling pedih azabnya di hari Kiamat ialah orang-orang yang mengukir patung (untuk disembah).” [Riwayat al-Bukhari (5606) dan Muslim (2108)]

Allah SWT juga memberi ancaman kepada golongan yang mengukir patung ini supaya menciptakan juga biji benih dan zarah. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah berfirman:

وَمَن أظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي، فَلْيَخْلُقُوا حَبَّةً، ولْيَخْلُقُوا ذَرَّةً
“Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengubah sesuatu sepertimana ciptaan-Ku? Hendaklah mereka itu menciptakan juga biji dan juga zarah.”

Hal ini kerana ayat-ayat al-Quran menunjukkan bahawa sifat membuat dan mengubah rupa bentuk merupakan salah satu daripada sifat yang khusus bagi Allah SWT iaitu al-Musawwir (المصوّر). Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
“Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Maidah: 6)

وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ لَمْ يَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.” (Surah al-‘Araf: 11)

Kesimpulan

Berdasarkan nas al-Quran dan hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa pengharaman patung tersebut adalah berkaitan haram mengukir patung yang menyerupai ciptaan Allah SWT dan haram untuk disembah atau dimuliakan.

Adapun selain daripada perkara tersebut seperti patung sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:

كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – وَكَانَ لِى صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِى ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَىَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِى
“Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sehabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.” [Riwayat al-Bukhari (6130)]

Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini berkata: “Para ulama berdalil dengan hadis ini tentang hukum harus terhadap patung mainan untuk kanak-kanak. Hadith ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang membuat tandingan yang serupa dengan ciptaan Allah. Keharusan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau katakan bahawa inilah pendapat majoriti ulama.” (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/527)

Hal ini kerana patung permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang disembah atau dimuliakan. Bahkan, kanak-kanak tersebut dengan tabiatnya akan mematahkan dan merosakkan patung tersebut seperti terputus kepala atau anggota badannya. Ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah sebagai patung permainan bagi mereka dan jauh sekali untuk dihormati, apatah lagi disembah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang baik dalam agama serta memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk beribadat dengan ikhlas kepada-Nya. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas