Connect with us

Oh! Media

Hukum Mengulangi Solat Fardhu

Umum

Hukum Mengulangi Solat Fardhu

Soalan:
Bolehkah seseorang itu mengulangi solatnya dengan niat membantu orang lain mendapatkan pahala jemaah. Contohnya seseorang itu telah pun menunaikan solat secara jemaah, dan setibanya di rumah dia solat sekali lagi bersama isterinya. Ataupun dia telah solat fardhu di rumah secara sendirian, kemudian dia datang ke masjid dan mendapati solat jemaah sedang dilakukan, lalu dia solat sekali lagi bersama jemaah.

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Dalam hal ini kami bahagikan kepada dua isu:

1. Seorang telah solat jemaah, kemudian solat sekali lagi untuk membantu orang lain mendapat pahala jemaah.
2. Seorang telah solat sendirian, kemudian solat sekali lagi apabila mendapati ada solat jemaah didirikan.

Asalnya, hukum solat fardhu sebanyak dua kali bagi satu waktu tanpa sebarang keperluan adalah makruh. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar RA:

لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ
Janganlah kamu solat fardhu sebanyak dua kali dalam sehari. [Sunan Abi Dawud (579) dan Sunan al-Nasa’ie (860)]

Hukum makruh mengulangi solat fardhu tanpa sebarang sebab ini telah diterangkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Ruwaihah dan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. Adapun jika untuk mendapat pahala jemaah, maka disunatkan untuk diulangi semula bersama jemaah yang didapatinya. Inilah juga pandangan mazhab Maliki dan Syafi’e. (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud bi Syarh Sunan Abi Dawud 2/202, Al-Fatawa al-Kubra, 2/283, Al-Mudawwanah al-Kubra 1/179 dan Raudhah al-Thalibin 1/343)

Ini berdasarkan hadith riwayat Jabir bin Yazid al-Aswadi RA:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ ‏”‏ عَلَىَّ بِهِمَا ‏”‏‏.‏ فَأُتِيَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ ‏”‏ مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا ‏”‏ ‏.‏ قَالاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ”‏
Aku menghadiri solat Subuh bersama Rasulullah SAW di Masjid al-Khaif. Tatkala Baginda selesai solat, Baginda melihat dua orang lelaki di bahagian belakang yang tidak solat bersama Baginda. Baginda bersabda: “Mengapa kalian tidak solat bersama kami?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, kami telah solat di tempat permusafiran kami.” “Jangan buat begitu. Jika kalian telah solat, dan kalian datang ke masjid dan mendapati solat jemaah sedang berlangsung, hendaklah kalian solat bersama mereka, dan ia akan menjadi solat sunat bagi kamu.” [Sunan al-Nasa’ie (858) dan Sunan Tirmidzi (219)]

Selain itu, terdapat juga hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau meriwayatkan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلاً يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ ‏ “‏ أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ”‏
Rasulullah SAW melihat seorang lelaki solat secara sendirian, maka Baginda bersabda: “Tidak adakah seseorang yang boleh bersedekkah (pahala) kepadanya, dan solat bersamanya?” [Sunan Abi Dawud (574)]

Terdapat juga hadith daripada Mu’az bin Jabal RA:

كَانَ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ
Beliau bersolat (Isya’) bersama Nabi SAW, kemudian pulang dan mengimamkan kaum beliau untuk solat Isya’. [Sahih al-Bukhari (700)]

Kesimpulan

Tuntasnya, kami berpandangan mengulangi solat fardhu untuk memperoleh pahala berjemaah, atau untuk membantu orang lain mendapatkan pahala jemaah, hukumnya adalah sunat. Hal ini berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW serta amalan para sahabat sendiri, selain pandangan para fuqaha’ yang berpegang pada pandangan ini. Adapun jika mengulanginya tanpa sebarang sebab dan keperluan, maka hukumnya adalah makruh.

Wallahu a’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas