Connect with us

Hukum Menggugurkan Janin Kerana Faktor Kesihatan

Umum

Hukum Menggugurkan Janin Kerana Faktor Kesihatan

SOALAN:
Saya ingin bertanyakan soalan mengenai hukum menggugurkan anak. Saya merupakan pesakit kanser limfoma tahap 2 dan mempunyai 2 orang anak lelaki. Baru sahaja selesai menjalani kimoterapi dan dalam proses penyembuhan. Diizinkan Allah, saya disahkan mengandung 9 bulan selepas itu.

Saya mendapatkan pandangan daripada doktor dan mereka menyatakan kandungan boleh diteruskan. Saya ingin meminta pandangan dari sudut agama. Adakah perlu saya meneruskan kandungan ini kerana naluri keibuan saya berat untuk meneruskan kandungan ini dan risau jika terjadi apa-apa pada diri saya.

JAWAPAN:
Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك ، ثم يكون مضغة مثل ذلك ، ثم يرسل الله إليه الملك ، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات : بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
“Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang Malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan roh kepadanya.” [Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)]

Pengguguran atau al-ijhad (الإجهاض) dari segi bahasa memberi maksud janin yang jatuh yang telah sempurna dan telah ditiupkan roh, tetapi belum hidup. Dan perkataan al-ijhad ini juga memberi maksud yang sama dengan beberapa perkataan yang lain, iaitu al-izlaq (tergelincir), al-isqat (jatuh), al-imlas (tergelincir) dan al-islab (jatuh). (Rujuk: Al-Qamus al-Fiqhi, hlm 174).

Menurut ilmu perubatan di dalam bidang obstetrik dan ginekologi, pengguguran membawa maksud pembuangan hasil persenyawaan atau konseptus sebelum tamat tempoh kehamilan yang normal. (Rujuk: Pengguguran Bayi Menurut Perspektif Islam dan Perundangan di Malaysia, hlm 72)

Hukum pengguguran dalam Islam

1. Usia kandungan lebih daripada 120 hari

Para jumhur fuqaha’ telah bersepakat mengatakan bahawa haram hukumnya menggugurkan kandungan setelah ditiupkan roh tanpa sebab-sebab yang dikategorikan sebagai darurat. (Rujuk: Al-Bahr al-Raiq, 8/233; Nihayah al-Muhtaj, 8/422; Al-Insof, 1/386; Hasyiyah al-Dasuqi, 2/367)

Usia kandungan yang ditiupkan roh itu adalah selepas kandungan itu berusia empat bulan atau 120 hari kehamilan berdasarkan hadis Ibnu Mas’ud yang telah disebutkan sebelum ini. (Rujuk: Fathul Bari, 11/588)

Ia dianggap melakukan jenayah terhadap makhluk yang hidup, sempurna dan bernyawa tanpa sebarang alasan munasabah. (Rujuk: Syarah Sunan Ibn Majah, 5/9; Syarh Zad al-Mustaqni’,7/325)

Sabda Nabi SAW:

لا ضرر ولا ضرار
“Tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang lain”. [Riwayat Ibnu Majah (1/313) dan Ahmad (2/784)]

Pengguguran adalah sesuatu yang memudaratkan janin kerana tindakan tersebut adalah bertujuan mematikannya. Ia juga boleh memudaratkan nyawa si ibu kerana dalam beberapa keadaan, perbuatan menggugurkan janin boleh menyebabkan pendarahan yang teruk pada ibu dan seterusnya mengancam nyawanya.

2. Usia kandungan kurang daripada 120 hari

Menggugurkan anak atau janin yang berada di dalam kandungan sebelum ia berusia empat bulan adalah termasuk dalam perkara yang diperselisihkan hukumnya di sisi para fuqaha’. Majoriti ulama’ mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian lain pula berpendapat bahawa hukumnya adalah harus sekiranya terdapat keuzuran.

Kami cenderung kepada pendapat majoriti fuqaha’ berkenaan pengharaman menggugurkan kandungan yang berusia kurang daripada empat bulan. (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 8/416; Al-Mughni, 7/816; Al-Syarh al-Kabir, 2/266-267)

Menggugurkan kandungan kerana faktor kesihatan

Majoriti ulama’ menyatakan keharusan menggugurkan kandungan samada usia kandungan kurang daripada empat bulan atau lebih jika kehamilan tersebut berpotensi besar untuk mengancam nyawa si ibu. Sebagai contoh, kehamilan di luar rahim, kehamilan bagi pesakit yang menderita penyakit kronik seperti kanser dan HIV.

Pendapat ini adalah berdasarkan kepada prinsip Usul Fiqh yang menyatakan:

إذا تعارضت مفسدتان رُوعي أعظمُهما ضررًا بارتكاب أخفهما
“Jika terdapat dua jenis mudarat, maka hendaklah diraikan mudarat yang lebih besar dengan mengambil mudarat yang lebih ringan.” (Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazair, hlm 87; Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm 203)

Dalam situasi sebegini, nyawa kedua ibu dan anak sama penting dan berharga. Namun, seandainya pilihan terpaksa dibuat di antara nyawa ibu yang sudah jelas hidupnya, maka ia perlu lebih diutamakan berbanding bayi yang belum pasti keupayaan hidupnya. Islam adalah agama yang realistik dan fleksibel. Dalam situasi di mana berlakunya darurat yang sangat mendesak, maka ada kelonggaran diberikan untuk ‘keluar’ daripada prinsip asal yang mungkin tidak membenarkan. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 5/301; Al-Bahr Al-Raiq, 8/233)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang telah diputuskan pada 7 Mac 1990 ada menyatakan berkaitan persoalan hukum mengugurkan kandungan di atas nasihat doktor disebabkan kecacatan. Secara ringkasnya, fatwa tersebut menyatakan:

• Menurut Ijma’ fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.

• Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami isteri.

• Ijma’ fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Fatwa ini juga selari dengan ketetapan daripada Majma’ Fiqh al-Islami yang menyatakan: “Sekiranya kandungan itu berusia 120 hari, maka haram hukumnya menggugurkannya, sekalipun ia didapati terdapat kecacatan, melainkan sekiranya mendapat pengesahan daripada pakar perubatan bahawa kandungan itu boleh menjejaskan nyawa ibu, maka ketika itu harus menggugurkannya kerana memelihara nyawa ibu lebih diutamakan.” (Rujuk: Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami, No 277)

Justeru, merujuk kepada persoalan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa haram hukumnya menggugurkan kandungan tersebut kerana ia tidak berpotensi besar dalam mengancam nyawa ibu. Hal ini disebabkan pengesahan pakar perubatan yang mengatakan keadaan ibu masih stabil dan selamat untuk meneruskan kehamilan. Walau bagaimanapun, kami menasihati si ibu supaya mendapatkan kaunseling daripada pakar psikologi dan merujuk kepada pakar perubatan dalam mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan kesihatan ibu dan kandungan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Kami juga menasihatkan ibu supaya memohon pertolongan daripada Allah dengan memperbanyakkan doa dan solat supaya dipermudahkan segala urusan sepanjang kehamilan dan proses bersalin. Kita juga hendaklah bersangka baik kepada Allah dan redha menerima ketentuannya sebagaimana firman Allah:

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُون
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dia lah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakkal.” (Surah al-Taubah: 51)

Selain itu, hadis qudsi daripada Abu Hurairah R.A dia berkata, Nabi SAW bersabda:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي
“Aku adalah menurut sangkaan hambaku kepada-Ku.” [Riwayat al-Bukhari (7405) dan Muslim (2675)]

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung menyatakan bahawa hukum menggugurkan kandungan sekiranya boleh mendatangkan mudarat kepada ibu adalah harus mengikut Hukum Syarak kerana meraikan maslahah yang lebih besar iaitu keselamatan nyawa ibu. Dengan syarat hal tersebut mestilah mendapat pengesahan daripada pakar perubatan. Namun begitu, sekiranya kandungan tersebut tidak merisikokan nyawa si ibu, maka hukumnya adalah haram menggugurkan kandungan. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top