Connect with us

Oh! Media

Hukum Mengerjakan Solat Istikharah Secara Berjemaah

Umum

Hukum Mengerjakan Solat Istikharah Secara Berjemaah

SOALAN:
Bolehkah solat istikharah dilakukan secara berjamaah?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Istikharah membawa maksud menuntut bantuan dalam melakukan pemilihan. Dari sudut seseorang menuntut supaya diberikan kesungguhan ke arah sesuatu perkara yang terpilih di sisi Allah SWT. Utamanya ia dilakukan dengan solat ataupun dengan membaca doa yang warid tentang istikharah.

Solat istikharah pula merupakan salah satu tuntutan syarak bagi sesiapa sahaja yang ingin memohon pertolongan dan bantuan dari Allah SWT dalam melakukan pemilihan terhadap setiap urusan yang ingin dilakukan. Bahkan para sahabat menceritakan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan solat istikharah kepada mereka sebagaimana baginda mengajarkan Al-Quran kepada mereka. Jabir bin Abdillah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ـ أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ـ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ـ أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ـ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ـ قَالَ ـ وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ
“Apabila salah seorang kamu berasa risau akan sesuatu perkara, maka hendaklah dia mendirikan solat dua rakaat yang bukan solat fardhu, kemudian dia membaca: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pilihan-Mu dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon kekuatan dari-Mu degan kudrat-Mu. Aku juga memohon kelebihan-Mu yang Agung. Sesungguhnya Kau berkuasa dan aku tidak berkuasa. Kau Maha Mengetahui dan aku tidak tahu dan Kau adalah Tuhan yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib. Ya Allah, sekiranya Kau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk aku buat agamaku, kehidupanku, serta penyudah hidupku, -atau sama ada pada masa sekarang atau akan datang- maka tetapkanlah ia buatku dan permudahkanlah ia buatku serta berkatilah aku padanya. Dan sekiranya Kau mengetahui bahawa perkara ini buruk kepadaku pada agama, kehidupan, serta kesudahan hidupku -pada masa sekarang atau akan datang- maka alihkanlah ia dari aku dan alihkanlah aku darinya -dan tetapkanlah buatku kebaikan di mana sahaja ia kemudian redhakanlah aku dengannya.” Lalu baginda bersabda: “Kemudian dia menamakan hajatnya.” [Riwayat Al-Bukhari (1166)]

Berkenaan dengan isu solat sunat sama ada dilakukan secara bersendirian atau secara berjemaah, maka kami menyatakan bahawa dalam mazhab Imam Al-Syafie solat sunat ini terbahagi kepada dua iaitu solat-solat sunat yang dituntut secara berjemaah dan ada juga solat-solat sunat yang tidak dituntut. Antara contoh solat sunat yang dituntut untuk dilakukan secara berjemaah adalah seperti berikut:

• Solat dua hari raya ‘Aid al-Fitri dan ‘Aid al-Adha.
• Solat dua gerhana iaitu gerhana matahari dan gerhana bulan.
• Solat istisqa’.
• Solat sunat tarawih.

Manakala dalam majoriti solat-solat sunat ia dituntut untuk dilakukan secara bersendirian.

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: “Sesungguhnya solat-solat sunat itu tidak disyariatkan padanya untuk berjemaah, melainkan pada solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa’. Demikian juga solat tarawih dan witir selepas tarawih. Sesungguhnya jemaah di dalam semua solat tersebut adalah afdhal.

Adapun baki-baki solat sunat yang lain seperti solat rawatib yang dilakukan bersama solat-solat fardhu, solat dhuha, dan juga solat-solat sunat yang mutlak, maka tidak disyariatkan pada semua itu untuk berjemaah, iaitu tidak disunatkan. Akan tetapi jika seseorang melakukannya secara berjamaah maka ia dibolehkan. Tidak dikatakan yang perbuatan itu makruh. Imam Al-Syafie telah menaskan di dalam Mukhtasar Al-Buwaithi dan Mukhtasar Al-Rabi’ bahawa tidak mengapa berjemaah dalam solat sunat.” [Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/197)]

Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibn Qudamah: “Boleh untuk (melakukan) solat sunat secara berjemaah dan boleh juga (melakukannya) secara bersendirian. Kerana Nabi SAW melakukan kedua-duanya (kadang berjemaah dan kadang bersendirian). Dan kebanyakan solat sunat baginda adalah secara bersendirian.” [Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/442)]

Berkenaan isu sama ada solat-solat sunat yang tidak dituntut untuk dilakukan secara berjemaah itu boleh dilakukan secara berjemaah atau tidak, maka berikut kami kongsikan kenyataan Imam Al-Khatib Al-Syarbini yang menyebutkan: “Sesungguhnya semua solat yang tidak disunatkan untuk berjemaah padanya adalah boleh untuk ia dilakukan secara berjemaah. Ini diambil dari perbuatan Umar yang mengumpulkan orang ramai untuk solat tarawih.” [Rujuk Mughni Al-Muhtaj, Al-Khatib Al-Syarbini]

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa pada asasnya solat sunat istikharah ini termasuk solat sunat yang dilakukan secara bersendirian dan inilah yang lebih afdhal. Meskipun begitu, kami menyatakan bahawa sekiranya ia dilakukan secara berjemaah dalam tempoh sekali sekala, maka hal ini adalah dibolehkah. Kami menambah, lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan majoriti atau keseluruhan ahli jemaah sebagai contoh, seperti keputusan pihak masjid sama ada sebarang tindakan yang bakal dibuat melibatkan institusi masjid itu wajar atau tidak wajar, memberi kebaikan menyeluruh kepada para jemaah atau tidak, maka bolehlah dilakukan solat istikharah secara berjemaah dalam keadaan ini.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas