Connect with us

Oh! Media

Hukum Menderma Darah & Berbekam Ketika Berpuasa

Umum

Hukum Menderma Darah & Berbekam Ketika Berpuasa

Soalan:
Apakah hukum puasa seseorang yang ingin menderma darah ataupun mengambil ujian darah?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Isu mengenai menderma darah serta mengambil ujian darah tidak dibincangkan secara khusus di dalam kitab-kitab fiqh klasik. Ianya mula dibincangkan oleh para fuqaha’ mu’asirin dan perbincangan asas terhadap permasalahan ini bertitik-tolak dari hukum berbekam ketika berpuasa.

Disebabkan itu, perlulah untuk kita mengetahui dahulu hukum berkenaan dengan berbekam ketika berpuasa kerana dengannya menjadi asal kepada qiyas bagi hukum menderma darah dan mengambil ujian darah.

Bagi permasalahan berbekam ketika puasa, terdapat dua pandangan yang masyhur:

Pertama: Membatalkan puasa

Ulama’ terdahulu yang mengatakan terbatalnya puasa dengan berbekam adalah seperti al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Sirin, al-Imam Ato’, al-Imam al-Auza’ie, al-Imam Ishak, al-Imam Ibn al-Munzir, al-Imam Ibn Khuzaimah dan ini juga adalah ikhtiar pendapat Ibn Taimiyyah Rahimahumullah. Manakala dari kalangan sahabat pula adalah seperti Saidina Ali, Abu Hurairah dan ‘Aisyah R.Anhum.[1]

Ulama’ dari kalangan salaf dan khalaf yang mengatakan terbatalnya puasa dengan sebab berbekam menggunakan dalil dari sebuah hadith Nabi ﷺ:

أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ
“Terbatal (puasa) orang yang membekam dan yang di bekam.” [Riwayat Abu Daud (2369), Al-Tirmidzi (774) & Ibn Majah (1679)]

Dikalangan ulama’ kontemporari pula, Syeikh Ibn Baaz, Syeikh Ibn ‘Uthaymeen, Syeikh Soleh al-Munajjid dan juga Syeikh Soleh Fauzan.

Berdasarkan pendapat yang terbatalnya puasa dengan berbekam maka ianya diqiyaskan dengan keadaan seseorang yang mendermakan darah dan disebabkan oleh itu, mereka yang menderma darah, maka terbatallah puasanya.

Kedua: Tidak membatalkan puasa

Ianya adalah pendapat jumhur[2] iaitu pendapat al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi’ie dan selainnya. Manakala dari kalangan sahabat yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa adalah Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Ibn Abbas, Anas bin Malik, Abu Sa’id al-Khudri dan sekumpulan dari kalangan salaf yang lain.[3]

Dalil yang digunakan bagi mengatakan berbekam tidak membatalkan puasa adalah daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mana mengatakan:

احْتَجَمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ صَائِمٌ‏
“Rasulullah ﷺ telah berbekam dan Baginda sedang berpuasa.” [Riwayat Al-Bukhari (1939), Abu Daud (2372) & Al-Tirmidzi (776)]

Oleh itu, dengan melihat bahawa hukum berbekam tidak membatalkan puasa, maka ianya diqiyaskan dengan hukum menderma darah yang mana ianya juga tidak membatalkan puasa.


Perbahasan Dalil

Zahir perbahasan melihat bahawa terdapat dua hadith sahih yang saling bercanggah. Sebuah hadith mengatakan batalnya puasa kerana berbekam dan sebuah hadith lagi sebaliknya.

Bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa dengan berbekam, mereka mengatakan bahawa hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) adalah termansukh[4]. Ianya termansukh dengan hadith Abi Sa’id al-Khudri RA:

أرخص النبي – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – في الحجامة للصائم
“Nabi ﷺ memberikan rukhsah bagi orang yang berpuasa untuk berbekam.” [Riwayat Al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (3224), Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1967)]

Ibn Hazm Rahimahullah menyebutkan bahawa: “Sanad-sanadnya sahih, dan wajib berpegang dengannya kerana datangnya rukhsah setelah adanya ‘azimah dan ianya menunjukkan kepada mansukhnya hukum terbatal puasa kerana berbekam bagi yang membekam dan yang di bekam.”

Ini juga adalah pendapat al-Imam al-Syafi’e, al-Baihaqi dan juga Ibn ‘Abd al-Bar yang mana mengatakan hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) telah termansukh.[5]

Difahami juga melalui hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) ini, sebahagiannya dengan takwilan yang mana tegahan berbekam ketika berpuasa itu adalah ditakuti melemahkan badan seterusnya menyebabkan seseorang itu berbuka puasa kerana banyaknya darah yang keluar. Ini seperti mana riwayat Anas bin Malik RA yang ditanyakan tentang berbekam:

أَكُنْتُمْ تَكْرَهُونَ الْحِجَامَةَ لِلصَّائِمِ قَالَ لاَ‏.‏ إِلاَّ مِنْ أَجْلِ الضَّعْفِ
“Adakah kamu membenci berbekam bagi orang yang berpuasa?” Berkata Anas bin Malik RA: “Tidak, kecuali jika ia melemahkan (tubuh badan).” [Riwayat Al-Bukhari (1940)]

Kesimpulan

Melihat kepada perbahasan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mana mengatakan bahawa berbekam itu tidak membatalkan puasa.

Berdasarkan pendapat di atas juga kami mengatakan bahawa hukum menderma darah ketika berpuasa adalah harus dan juga tidak membatalkan puasa secara umumnya. Sekiranya dengan menderma darah boleh melemahkan tubuh badan seseorang, maka pada keadaan itu makruh.

Ini juga adalah keputusan yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta Jordan[6] yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa kerana menderma darah bukanlah dengan erti memasukkan sesuatu bahkan ianya mengeluarkan sesuatu. Ianya zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyebutkan: “Adalah yang membatalkan puasa itu sesuatu yang masuk ke dalam dan bukannya sesuatu yang keluar.”

Adapun mengambil ujian darah, maka ianya juga diharuskan dan tidak membatalkan puasa. Jika dinisbahkan ujian darah dengan menderma darah, maka kita dapati bahawa jumlah darah yang keluar dengan menderma darah lebih banyak kuantitinya daripada darah yang diambil untuk tujuan ujian.
Wallahua’lam.

Rujukan:
[1] Lihat al-Insaf (3/302), al-Furu’ (3/48) & Majmu’ al-Fatawa (25/255).
[2] Lihat al-Fatawa al-HIndiyyah (1/199), Tabyiin al-Haqaiq (1/329), Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid (1/281) & al-Majmu’ (6/349).
[3] Lihat al-Mabsut (3/56), al-Qawanin al-Fiqhiyyah (hlm. 105), al-Majmu’ (6/349) & Fath al-Bari (4/209).
[4] Telah terangkat hukumnya dan digantikan dengan hukum yang baru berdasarkan nas yang terkemudian daripadanya.
[5] Lihat Fath al-Bari (4/178).
[6] http://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas