Connect with us

Oh! Media

Hukum Mencabut Gigi Emas Dari Mayat

Umum

Hukum Mencabut Gigi Emas Dari Mayat

SOALAN:
Apa hukum mencabut gigi emas pada mayat?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Dalam isu di atas, sekiranya mencabut gigi emas tersebut akan membawa kepada mencacatkan mayat seperti mengakibatkan gigi-gigi lain akan turut tertanggal, maka tidak perlu ditanggal, dan boleh dibiarkan untuk dikebumikan bersama-sama mayat. Hal ini kerana jenazah seorang Muslim wajib dijaga kehormatannya serta tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya seperti dirobek, dilukakan atau dipatahkan tulangnya.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا
“Mematahkan tulang mayat, keadaannya sama dengan mematahkan tulangnya ketika masih hidup.” [Riwayat Abu Daud (3207) dan Ibn Majah (1616)]

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: “Diambil faedah dari hadith ini, bahawa sesungguhnya kehormatan seorang Mukmin kekal selepas matinya dia, sebagaimana kehormatannya semasa hidupnya.” (Lihat: Fath al-Bari, 9/142)

Dalam isu di atas, kami nukilkan kenyataan Imam Ibn Hajar al-Haitami yang menyebut: “Apabila seseorang meninggal dunia, apa yang wajib ditanggalkan sebelumnya tidaklah wajib ditanggalkan (selepas meninggal) atas qaul yang sahih kerana ia boleh merobek kehormatan mayat.” (Lihat: Tuhfah al-Muhtaj, 2/136)

Imam al-Mardawi dalam kitab al-Insaf menyatakan: “Di dalam kitab al-Fusul dinyatakan: Jika ada orang yang perlu untuk mengikat giginya dengan emas, kemudian giginya diikat dengan emas, atau dia perlukan hidung emas, kemudian dia diberi hidung emas lalu diikat, kemudian dia mati; maka tidak wajib ditanggalkan dan dikembalikan kepada pemiliknya. Ini kerana menanggalkannya akan menyebabkan merobek kehormatan mayat.” (Lihat: al-Insaf, 2/555)

Namun, sekiranya boleh ditanggalkan tanpa memberi kesan yang boleh membawa kepada mencacatkan mayat, maka ia perlu ditanggalkan. Ini kerana ia, jika dibiarkan akan membawa kepada mensia-siakan harta.

Penutup

Kami tarjihkan pendapat yang kedua dan dibimbangi jika diketahui oleh mereka yang berniat mencuri kain kafan serta harta mayat, maka kubur tersebut akan dibongkar lalu menjadikan mayat dalam keadaan tidak sempurna untuk pengebumian kali kedua. Oleh itu, lebih aula diambil gigi atau hidung emas yang terdapat pada mayat, di samping kerana nilainya yang berharga dan bermanfaat.

Semoga pencerahan ini membawa manfaat kepada kita semua. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas