Connect with us

Oh! Media

Hukum Menangis Ketika Sedang Membaca Al-Quran

Umum

Hukum Menangis Ketika Sedang Membaca Al-Quran

SOALAN:
Bolehkah jelaskan tentang hukum menangis semasa membaca Al-Quran lebih-lebih lagi ketika sedang solat?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Menangis merupakan salah satu rahmat yang dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam jantung hati para hamba-Nya yang beriman. Ia merupakan lambang kesucian jiwa, ketulusan jantung hati, serta zahir sifat khasyiatullah seorang hamba kepada Tuhannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau menceritakan bahawa ketika mana anakanda Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia, berlinanglah kedua mata baginda SAW. Lalu Abd Al-Rahman bin Auf berkata: “Kamu juga menangis wahai Rasulullah?” Maka jawab Rasulullah SAW:

يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ
“Wahai anak lelaki ‘Auf, sesungguhnya ia (tangisan) itu merupakan suatu rahmat.” [Riwayat Al-Bukhari (1303)]

Manakala perbuatan menangis semasa membaca Al-Quran pula merupakan sifat para salaf serta syiar hamba-hamba Allah yang soleh. Telah warid beberapa nas daripada syarak serta atsar salaf yang menunjukkan kepada hal ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abu Waqqas R.A beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ نَزَلَ بِحُزْنٍ فَإِذَا قَرَأْتُمُوهُ فَابْكُوا فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا
“Sesungguhnya Al-Quran ini turun dengan kesedihan. Maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu menangis. Sekiranya kamu tidak menangis hendaklah kamu buat-buat menangis.” [Riwayat Ibn Majah (1337)]

Demikian juga terdapat sebuah atsar yang menyebutkan secara khusus akan perbuatan menangis ketika membacakan ayat-ayat Al-Quran di dalam solat. Ini seperti yang disebutkan oleh Abdullah bin Syaddad beliau berkata:

سَمِعْتُ نَشِيجَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَأَنَا فِي آخِرِ الصُّفُوفِ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ يَقْرَأُ مِنْ سُورَةِ يُوسُفَ قَالَ إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللهِ
“Aku mendengar tangisan teresak-esak Umar bin Al-Khattab dalam keadaan aku pada ketika itu berada di saf yang terakhir dalam solat Subuh. Beliau ketika itu membaca ayat dari surah Yusuf iaitu:

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللهِ
“Sesungguhnya aku mengadu kesedihan dan dukacitaku kepada Allah.”

[Lihat: Syu’ab Al-Iman, Al-Baihaqi (3/414)]

Berkenaan dengan cara untuk menghadirkan perasaan sedih dalam pembacaan Al-Quran, berikut kami kongsikan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: “Cara untuk mendapatkannya (tangisan) adalah dengan menghadirkan perasaan sedih di dalam jantung hatinya dengan cara meneliti apa yang terdapat di dalam Al-Quran dari ancaman serta amaran yang keras. Begitu juga (dia mengingati) perjanjian (antara dirinya dengan Allah SWT) dan memikirkan secara mendalam akan kekurangannya dalam hal tersebut. Sekiranya dia tidak mampu untuk menghadirkan perasaan dukacita dan tangisan, sebagaimana yang berlaku kepada golongan Al-Khawaas, maka hendaklah dia menangis atas ketidakmampuannya (dalam menghadirkannya) kerana hal itu merupakan antara sebesar-besar musibah.” [Rujuk Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran, Al-Nawawi (Hlm. 90)]

Beliau juga menyebutkan akan kata-kata Hujjat Al-Islam Al-Ghazali Rahimahullah yang menyebut: “Menangis itu dituntut berserta dengan bacaan Al-Quran dan juga ketika (dibacakan) Al-Quran.”

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum menangis ketika membaca Al-Quran adalah dibenarkan. Bahkan ia dituntut saat seseorang itu terkesan dengan makna bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca, sama ada di dalam solat atau di luar solat, seperti mendengar ayat-ayat tentang azab dan seumpamanya.

Meskipun begitu, perlu dijelaskan bahawa dalam mazhab Syafi’e, sekiranya perbuatan menangis di dalam solat itu nyata mengeluarkan sebutan dua huruf, sama ada memiliki makna atau tidak, atau satu huruf tetapi memiliki makna seperti “قِ” yang bermaksud peliharalah, maka batallah solatnya. Adapun jika tidak jelas sebutan dua hurufnya, maka tidak batal solat seseorang itu.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas