Connect with us

Oh! Media

Hukum Membuka Aurat Di Hadapan Orang Buta

Umum

Hukum Membuka Aurat Di Hadapan Orang Buta

SOALAN:
Saya mempunyai seorang adik ipar yang buta. Kadangkala ibu mertua saya akan datang membawanya bertandang ke rumah saya. Apakah diharuskan untuk saya membuka aurat di hadapannya ketika ketiadaan bukan mahram yang lain, memandangkan dia tidak dapat melihat?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Diriwayatkan bahawa Fatimah binti Qays mengkhabarkan:

أَنَّ زَوْجَهَا الْمَخْزُومِيَّ طَلَّقَهَا فَأَبَى أَنْ يُنْفِقَ عَلَيْهَا فَجَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَخْبَرَتْهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لاَ نَفَقَةَ لَكِ فَانْتَقِلِي فَاذْهَبِي إِلَى ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ فَكُونِي عِنْدَهُ فَإِنَّهُ رَجُلٌ أَعْمَى تَضَعِينَ ثِيَابَكِ عِنْدَهُ
“Sesunguhnya suaminya al-Makhzumi menceraikannya, dan dia enggan untuk menerima nafkah daripada bekas suaminya itu, maka dia pun pergi kepada Nabi Muhammad SAW, maka Baginda SAW mengarahkan kepadanya: “Tiada nafkah bagimu, pergilah tinggal bersama Abdullah ibn Ummi Maktum, sesungguhnya dia seorang buta, dan kamu tidak perlu memelihara aurat di hadapannya.” [Sahih Muslim (1480)]

Menurut Imam al-Nawawi, terdapat juga riwayat lain bagi hadith ini yang menambah lafaz: “Jika engkau (wahai Fatimah) membuka hijabmu, dia (Abdullah ibn Ummi Maktum) tidak dapat melihatmu.” Maka riwayat ini menguatkan lagi pandangan yang menyatakan tidak wajib menutup aurat di hadapan orang buta. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 10/99-100)

Terdapat juga hadith lain berkenaan isu ini yang kelihatan bercanggah dengan hadith di atas. Daripada Ummu Salamah R.Anha:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ: كُنْتُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدَهُ مَيْمُونَةُ، فَأَقْبَلَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ وَذَلِكَ بَعْدَ أَنْ أُمِرْنَا بِالْحِجَابِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «احْتَجِبَا مِنْهُ»، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلَيْسَ أَعْمَى لَا يُبْصِرُنَا، وَلَا يَعْرِفُنَا؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَفَعَمْيَاوَانِ أَنْتُمَا [ص:64]، أَلَسْتُمَا تُبْصِرَانِهِ»
“Aku bersama Nabi SAW dan Maimunah, dan Abdullah ibn Ummi Maktum datang kepada kami –dan hal ini berlaku selepas turunnya perintah kewajipan berhijab–, maka Nabi SAW bersabda: “Tutuplah aurat kalian daripadanya.” Maka kami pun berkata: “Wahai Rasulullah SAW, bukankah dia itu buta dan tidak melihat dan mengenali kami?” Maka Rasulullah SAW berkata: “Adakah kamu berdua buta dan tidak melihatnya?” [Sunan Abi Daud (4112), hadith ini dinilai sahih oleh Imam Abu Daud sendiri, dan Imam Tarmidzi serta Imam Nawawi]

Imam Abu Daud memberi komentar: “Hal ini (larangan membuka aurat di hadapan orang buta) hanya khusus untuk para isteri Nabi sahaja, kerana Fatimah binti Qais diberi kebenaran untuk tinggal bersama Abdullah ibn Ummi Maktum dan membuka aurat dihadapannya.”

Menurut Imam al-Saharanfuri sewaktu mensyarahkan hadith Abu Daud ini, terdapatnya taarudh (percanggahan) antara kedua-dua hadith di atas, dan antara kaedah untuk mengharmonikannya ialah pandangan bahawa larangan membuka aurat di hadapan orang buta merupakan satu sikap warak, lebih-lebih lagi dalam keadaan ditakuti timbulnya fitnah, manakala keharusan pula ialah satu rukhsah dalam keadaan diyakini tidak timbulnya fitnah. Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa larangan tersebut hanya khusus kepada para isteri Nabi SAW sahaja. (Rujuk Bazl al-Majhud fi Halli Sunan Abi Dawud 14/120)

Syeikh Ibnu ‘Uthaimin dan Syeikh Salih al-Fauzan menyatakan bahawa hadith riwayat Imam Abu Daud tersebut adalah tidak sahih, dan ia bercanggah dengan hadith yang lebih sahih riwayat Imam Muslim yang membenarkan membuka hijah di hadapan orang buta. (Rujuk Fatwa Nur ‘ala al-Darb dan Al-Muntaqa min Fatawa al-Fauzan 61/5)

Kesimpulan

Menurut pandangan kami, tiada percanggahan secara hakiki antara kedua-dua hadith tersebut, dan kedua-duanya boleh diamalkan sesuai dengan keadaan dan menurut pertimbangan. Larangan membuka aurat dihadapan orang buta merupakan satu sikap warak dan berhati-hati yang sangat dituntut, lebih-lebih lagi dalam keadaan ditakuti timbulnya fitnah. Adapun keharusan membuka aurat pula merupakan satu rukhsah yang diharuskan sekiranya diyakini tidak timbulnya fitnah, dan masih mengenakan pakaian yang bersopan meskipun berada di hadapan orang buta yang diyakini sudah tidak dapat melihat.

Adapun yang lebih utama pada pandangan kami ialah, bersikap warak dan berhati-hati memelihara aurat pada setiap masa dan keadaan, kerana ia lebih menjaga agama dan maruah kita. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas