Connect with us

Hukum Membaca Doa Di Dalam Rukuk

Umum

Hukum Membaca Doa Di Dalam Rukuk

SOALAN:
Apakah hukumnya saya membaca doa di dalam rukuk?

JAWAPAN:
Berdoa merupakan suatu ibadah yang amat dituntut untuk dilakukan pada setiap masa, tempat dan keadaan. Ini diambil dari firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Telah berkata Tuhan kamu: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” [Surah Ghaafir (60)]

Merujuk kepada nas-nas syarak, kita akan mendapati bahawa ada tempat-tempat, waktu-waktu, dan juga keadaan yang mustajab untuk kita berdoa padanya. Ini seperti pada satu pertiga malam, di dalam sujud, di antara dua azan, ketika dalam permusafiran, dan selainnya seperti yang dinyatakan dalam hadis-hadis yang sahih.

Berbalik kepada persoalan hukum berdoa ketika rukuk, para ulama’ terbahagi kepada dua pendapat berdasarkan kefahaman mereka terhadap sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ
“Sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud. Adapun ketika rukuk maka perbesarkanlah Tuhan kamu di dalamnya. Manakala ketika sujud bersungguhlah kamu dalam berdoa.” [Riwayat Muslim (479)]

Imam Malik berpendapat bahawa berdoa ketika rukuk adalah makruh hukumnya. Ini kerana nas hadis di atas mengarahkan supaya seseorang itu mengagung dan membesarkan Allah SWT ketika rukuk dan bukannya berdoa. Manakala anjuran berdoa adalah pada perbuatan sujud.

Majoriti ulama’ pula berpendapat akan keharusan berdoa di dalam rukuk. Mereka berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah R.Anha beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي
Adalah Nabi SAW membaca di dalam rukuk dan sujud baginda: Maha suci Engkau ya Allah wahai Tuhan kami dan segala puji bagi-Mu. Ya Allah ampunkanlah aku.” [Riwayat Al-Bukhari (794)]

Dapat dilihat fekah Imam al-Bukhari terhadap hadis ini menerusi pembahagian bab di dalam kitab beliau Sahih al-Bukhari, beliau menyatakan: ‘Bab Berdoa Ketika Rukuk’. Maka hadis di atas merupakan dalil yang jelas dalam menggambarkan keharusan berdoa ketika rukuk.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum berdoa di dalam rukuk adalah harus. Meskipun begitu yang lebih afdhalnya adalah berdoa di dalam sujud berdasarkan anjuran yang terdapat di dalam hadis yang telah kami nyatakan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top