Connect with us

Oh! Media

Hukum Membaca Basmalah Ketika Melakukan Perkara Yang Makruh

Umum

Hukum Membaca Basmalah Ketika Melakukan Perkara Yang Makruh

SOALAN:
Sahabat saya selalu baca “Bismillah” apabila melakukan sesuatu termasuk ketika buat perkara yang tidak mendatangkan faedah. Jadi soalan saya, apakah hukum membaca “Bismillah” ketika melakukan perkara yang sia-sia seperti bermain alat muzik, game dan lain-lain. Terima kasih.

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:

Takrif Basmalah

Basmalah dari sudut Bahasa dan istilah adalah kalimah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) ia juga disebut sebagai “basmal” atau “basmalah”. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/83)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut, sesetengah daripada ulama’ menyatakan sesungguhnya kalimah basmalah dimasukkan bagi setiap perbuatan yang disyariatkan… Dari segi makna kalimah basmalah di mulakan untuk mengharap taufiq dan keberkatan daripada Allah SWT. Allah SWT mengajar hamba-Nya untuk beribadah kepada-Nya dengan menyebut nama Allah SWT ketika hendak melakukan bacaan al-Quran dan selainnya. (Lihat: Tafsir al-Qurtubi, 1/ 91-98)

Selain itu, Baginda Nabi SAW memerintahkan umatnya supaya dalam melakukan setiap perkara hendaklah dimulai dengan membaca Basmalah. Ini seperti Sabda Nabi SAW:

كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيم فهو أقْطَعُ
“Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji Allah, maka amalan tersebut akan terputus.” [Riwayat Ibnu Majah (1894)]

Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya, perkara yang penting di dalam hadith di atas maksud terputus di dalam hadith di atas adalah kurangnya keberkatan dalam melakukan sesuatu perbuatan. Para ulama’ menyatakan disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. (Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/73)

Hukum Membaca Basmalah

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, maka kami datangkan pendapat para fuqaha’ berkenaan dengan hukum membaca basmalah di dalam setiap amalan termasuk dalam melakukan perkara yang diharuskan dan dimakruhkan atau perkara yang tidak disyariatkan.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan para fuqaha’ bersepakat bahawa disyariatkan menyebut lafaz basmalah bagi setiap amalan yang dilakukannya walaupun dengan menutup pintu rumah. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/92).

Ini seperti hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA. Sabda Nabi SAW:

وَأَغْلِقْ بَابَكَ، وَاذْكُرِ اسْمَ اللَّه
“Tutuplah pintu rumah kamu (pada waktu malam) dan sebutlah nama Allah.” [Riwayat al-Bukhari (3280)]

Syeikh Abu Bakar al-Dimyati menyebut di dalam kitabnya, bahawa lafaz basmalah dituntut untuk membacanya pada setiap perkara yang berlandaskan syariat, ini termasuk dilarang melakukannya dalam perkara yang diharamkan, dimakruhkan atau perkara remeh-temeh (tiada nilai di sisi syarak). (Lihat: I’anah al-Tolibin, 1/9)

Begitu juga yang dijelaskan oleh Imam al-Suyuti di dalam hasyiahnya, dinukilkan pandangan Izz al-Din ibnu abd al-Salam menyatakan, amal perpuatan seseorang hamba itu terbahagi kepada tiga iaitu, apa yang disunatkan, tidak disunatkan dan dimakruhkan menyebut basmalah. Imam Suyuti menyatakan lagi, dalam perkara yang diharamkan, maka haram memulakan dengan lafaz basmalah, kerana tujuan membaca basmalah adalah kerana mengambil keberkatan dalam melakukan sesuatu perkara. Dan perkara yang haram merupakan perkara yang tiada keberkatan daripadanya. Begitu juga dengan perkara yang dimakruhkan, maka makruh membaca basmalah ketika melakukannya. (Lihat: Hasyiah al-Suyuti ala Sunan al-Nasai, 1/61)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan nas ulama’ yang diberikan, dapat kami simpulkan bahawa makruh hukum menyebut nama Allah SWT atau lafaz basmalah ketika melakukan sesuatu perkara yang lagha atau perkara yang sia-sia seperti bermain alat muzik dan lain-lain.

Ini kerana lafaz basmalah itu sendiri merupakan lafaz yang memberi keberkatan dalam melakukan sesuatu perkara yang disyariatkan. Justeru, kami berpendapat meninggalkannya adalah lebih baik.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas