Connect with us

Oh! Media

Hukum Melaungkan Azan Dalam Keadaan Berbaring

Umum

Hukum Melaungkan Azan Dalam Keadaan Berbaring

Soalan:
Pernah sekali saya masuk ke bilik azan, ada bilal yang bertugas sedang azan dalam keadaan berbaring. Bolehkah begitu ustaz? Apakah hukumnya?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Azan merupakan syiar islam yang paling besar bagi umat Islam. Setiap kalimah yang terkandung di dalam azan adalah rangkuman daripada akidah yang dianuti oleh umat Islam. Di dalam kalimah azan terkandung lafaz membesarkan dan mengagungkan Allah SWT serta mengakui tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Menzahirkan rasa cinta kepada Nabi. Mengajak umat islam agar mendirikan solat yang merupakan tiang agama dan juga menyeru agar umat islam berusaha sehingga mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ianya disyariatkan ketika masuknya waktu solat. Bahkan para ulama’ menyebut bahawa azan adalah sunnah yang tidak boleh langsung ditinggalkan. Sehinggakan Nabi menyatakan kelebihan orang yang melaungkan azan. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لَاسْتَبَقُوا إِلَيْهِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
“Jika manusia tahu apa kelebihan melaungkan azan dan saf yang pertama dan mereka tidak akan mendapatkannya kecuali dengan mengundi nescaya mereka akan mengundi (berebut untuk memperoleh kedua perkara itu). Kalaulah mereka tahu kelebihan bersegera menunaikan solat pasti mereka akan bersegera. Dan jika mereka tahu kelebihan solat Isyak dan Maghrib (secara berjemaah) pasti mereka akan hadir solat walaupun terpaksa merangkak.” [Riwayat Al-Bukhari (615)]

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, di antara sunnah yang perlu dijaga ketika azan ialah melaungkan azan dalam keadaan berdiri. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar. Nabi SAW bersabda:

كَانَ الْمُسْلِمُونَ حِينَ قَدِمُوا الْمَدِينَةَ يَجْتَمِعُونَ فَيَتَحَيَّنُونَ الصَّلَاةَ لَيْسَ يُنَادَى لَهَا فَتَكَلَّمُوا يَوْمًا فِي ذَلِكَ فَقَالَ بَعْضُهُمْ اتَّخِذُوا نَاقُوسًا مِثْلَ نَاقُوسِ النَّصَارَى وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ بُوقًا مِثْلَ قَرْنِ الْيَهُودِ فَقَالَ عُمَرُ أَوَلَا تَبْعَثُونَ رَجُلًا يُنَادِي بِالصَّلَاةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا بِلَالُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلَاةِ
“Ketika umat islam sampai di Madinah, mereka berkumpul. Dalam masa yang sama mereka menunggu masuknya waktu solat. Pada masa itu tiada siapa yang memanggil orang ramai untuk menunaikan solat. Maka pada satu hari mereka bercakap berkenaan dengan perkara tersebut. Sebahagian daripada mereka berkata: Gunalah loceng sepertimana yang digunakan oleh orang Nasrani. Sebahagian yang lain berkata: Gunalah shofar[1] sepertimana yang digunakan oleh orang Yahudi. Umar berkata: Tidakkah elok jika kalian lantik seorang lelaki yang menyeru orang untuk menunaikan solat. Rasulullah SAW bersabda: Wahai Bilal bangunlah dan serulah (orang ramai) menunaikan solat.” [Riwayat Al-Bukhari (615), Abu Daud (498)]

Berdasarkan hadis ini maka dapat kita faham daripada perintah Nabi kepada Bilal R.A bahawa azan mesti dilaungkan dalam keadaan berdiri. Perkara ini pernah diulas oleh Sheikh Syaraful Haq Al-Azim Abadi. Beliau menukilkan pandangan Al-Khattabi yang diambil daripada kitab Ma’alim Al-Sunan. Al-Khattabi menyebut bahawa hadis ini menjadi dalil wajibnya untuk berdiri ketika azan. (Rujuk ‘Aun Al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 7/150)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani memberikan pandangan yang agak menarik di dalam isu ini. Beliau menyatakan bahawa Al-Qadhi Iyadh menyatakan bahawa hadis ini menjadi dalil akan wajibnya untuk berdiri ketika azan. Inilah pandangan yang pernah dikemukakan oleh Ibnu Al-Munzir, Ibnu Khuzaimah dan lain-lain. Namun apa yang dikemukakan oleh mereka dikomentar oleh Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut apa yang disebutkan Nabi bukan suruh berdiri akan tetapi Nabi mengarahkan Bilal untuk bangun pergi ke tempat yang lebih jelas supaya azan boleh didengari oleh semua orang. Arahan Nabi ini bukanlah bermaksud wajib berdiri sepertimana pandangan Al-Qadhi Iyadh dan lain-lain. Di sisi ulama bermazhab Syafi’i dan ulama Hanafiyah menyatakan yang berdiri ketika azan adalah sunnah. Bahkan jika seseorang azan dalam keadaan duduk sah azannya. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 11/130)

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sunat untuk berdiri ketika melaungkan azan. Ini supaya azan yang dilaungkan itu lebih jelas. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/103).

Ini bermakna berdiri ketika melaungkan azan adalah sunnah bukannya wajib.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika seseorang azan sambil berbaring hukumnya adalah makruh. Walaupun azan yang dilaungkannya sah namun perbuatan berbaring itu adalah makruh.

Sheikh Zakariyya Al-Ansari menyatakan bahawa jika seseorang duduk ketika melaungkan azan sedangkan dia mampu untuk berdiri maka perbuatannya itu adalah perbuatan yang makruh. Apatah lagi jika dia berbaring, maka perbuatan berbaring ketika melaungkan azan itu lebih teruk bahkan hampir kepada haram. (Rujuk Asna’ Al-Matalib Fi Syarh Raudh Al-Tolib, 2/240)

Kesimpulannya, perbuatan berbaring ketika melaungkan azan adalah perbuatan yang makruh. Walaupun sah azannya namun perbuatan ini perlu dijauhkan. Ini kerana perbuatan seperti dianggap sebagai tala’ub (bermain) dengan syiar yang mulia ini. Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

Nota hujung:
[1] Shofar adalah alat yang digunakan oleh orang Yahudi. Bunyinya seakan trompet akan tetapi ianya diperbuat daripada tanduk haiwan. Shofar pada kebiasaannya akan ditiup pada hari Rosh Hashanah ataupun dalam bahasa Hebrew ianya dinamakan sebagai Yom Teruah. Ianya jatuh pada tarikh 1-2 Tishrei iaitu pada bulan September atau Oktober menurut kalendar Gregorian. Ia juga akan ditiup pada hari Yom Kippur yang diadakan pada 10 Tishrei. Yom Kippur adalah hari di mana orang Yahudi akan berpuasa dan melakukan ibadah. (Rujuk https://en.wikipedia.org/wiki/Yom_Kippur )

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas