Connect with us

Oh! Media

Hukum Melaksanakan Solat Jumaat Di Halaman Masjid Atau Tanah Lapang

Umum

Hukum Melaksanakan Solat Jumaat Di Halaman Masjid Atau Tanah Lapang

Soalan:
Masjid di kampung saya sedang dalam proses baik-pulih (renovation), jadi para jemaah tidak dapat mendirikan solat di dalam bangunan masjid tersebut. Soalan saya, bolehkah kami melaksanakan solat Jumaat di tengah halaman masjid atau di mana-mana tanah lapang yang berdekatan? Adakah sah jika sekiranya solat Jumaat dilaksanakan dalam keadaan sedemikian?

Jawapan:
Syariat Islam mewajibkan bagi umat Islam dalam kalangan lelaki, baligh, berakal, orang yang bermukim di sesuatu tempat dan tidak mempunyai keuzuran, untuk mendirikan solat Jumaat secara berjemaah. Ini berdasarkan dalil daripada al-Quran, hadith dan ijma’. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu’ah: 9)

Imam al-Sarkhasi dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa arahan untuk bersegera tersebut tidak memberi makna lain kecuali makna wajib, serta arahan untuk meninggalkan jual-beli yang pada asal hukumnya adalah harus kerana solat Jumaat menunjukkan kewajipan solat tersebut. (Rujuk al-Mabsuth lil Sarkhasi, 2:21)

Begitu juga, sabda Rasulullah SAW:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
“Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” [Riwayat Abu Daud (1:644)]

Disamping itu, telah berlaku ijma’ dalam kalangan ulama’ berkenaan kewajipan solat Jumaat ke atas orang lelaki, muslim, baligh, yang bermukim di sesuatu tempat dan tiada keuzuran baginya yang membolehkan dia meninggalkan solat Jumaat secara berjemaah. (Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27:193)

Berdasarkan dalil dan hujah di atas, jelaslah kepada kita tentang kewajipan solat Jumaat yang dilaksanakan secara berjemaah.

Walau bagaimanapun, kewajipan melaksanakan solat Jumaat secara berjemaah tidak disyaratkan solat Jumaat tersebut dilakukan di dalam bangunan masjid mengikut kepada pandangan jumhur ulama’. Ini seperti para ulama’ Hanafiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah, mereka tidak mensyaratkan untuk solat Jumaat diadakan di dalam masjid. (Rujuk Fatawa Syar’iyah Wa Buhuth Islamiah, 1:274)

Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi RA dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dengan berkata:

وَ لَا يُشْتَرَطُ إِقَامَتُهَا فِي مَسْجِدٍ وَ لَكِنْ تَجُوزُ فِي سَاحَةٍ مَكْشُوفَةٍ..وَ سَوَاءٌ صَلُّوهَا فِي رُكْنٍ أَمْ سَاحَةٍ -وَ لَوْ انْهَدَمَتْ أَبْنِيَةُ القَرْيَةِ أَوْ البَلْدَةِ- فَأَقَامَ أَهْلُهَا عَلَى عِمَارَتِهَا لَزِمَتْهُمْ الجُمُعَةُ فِيهَا سَوَاءٌ كَانُوا فِي سَقَائِفِ وَ مَظَالٍ أَمْ لَا. لِأَنَّهُ مَحَلُّ الاسْتِيطَانِ.
“Tidak disyaratkan untuk mendirikannya (solat Jumaat) di dalam masjid, bahkan harus untuk mendirikannya di tempat lapang yang terbuka.. samada mereka mendirikan solat tersebut di penjuru atau di lapangan – jika sekiranya bangunan di tempat tersebut telah hancur, kemudian penduduknya mengimarahkannya semula, maka wajib bagi mereka menunaikan solat Jumaat dilakukan di bawah bumbung ataupun tidak. Ini kerana tempat tersebut menjadi tempat bermastautin.” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4:501)

Selain itu, Imam al-Syaukani berkata dalam kitabnya, Nail al-Awtar Syarh Muntaqa al-Akhbar:

قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَ الشَافِعِي وَ سَائِر العُلَمَاءِ: إِنَّ المَسْجِدَ لَيْسَ شَرْطًا لِإِقَامَةِ الجُمُعَةِ إِذْ لَمْ يُفَصِّلْ دَلِيلُ وُجُوبِهَا
“Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafie dan kebanyakan para ulama’ berpendapat bahawa masjid bukanlah salah satu daripada syarat untuk mendirikan solat Jumaat, ini kerana dalil tidak memperincikan tentang kewajipannya untuk dilaksanakan di masjid.” (Rujuk Nail al-Awtar lil Syaukani, 3:279)

Manakala, Imam Malik pula mensyaratkan wujudnya masjid untuk dilaksanakan solat Jumaat. Justeru itu, tidak sah bagi penduduk kampung yang telah merobohkan masjid di tempat mereka dan membiarkannya tidak berbumbung untuk mereka mendirikan solat Jumaat di tempat tersebut. (Rujuk Fatawa Syar’iyah Wa Buhuth Islamiah, 1:274 / Bidayatul Mujtahid Wa Nihayatul Muqtasid, 2:336)

Walaubagaimanapun, kami lebih cenderung untuk mengambil pandangan jumhur yang menyatakan bahawa tidak disyaratkan untuk melaksanakan solat Jumaat di dalam bangunan masjid yang berbumbung.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa tidak disyaratkan untuk dilakukan solat Jumaat di dalam binaan masjid, bahkan boleh untuk dilakukakan di halaman masjid atau di tempat lapang yang terbuka berdasarkan kepada pandangan jumhur ulama’. Justeru itu, hukum melaksanakan solat Jumaat secara berjemaah di halaman masjid atau di tanah yang lapang adalah sah dan diberikan ganjaran oleh Allah SWT sepertimana ia dilaksanakan di dalam binaan masjid juga.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kita dalam memahami agamaNya dan memberi taufik untuk kita melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top