Connect with us

Oh! Media

Hukum Manusia Berkahwin Dengan Jin

Umum

Hukum Manusia Berkahwin Dengan Jin

SOALAN:
Apakah dibolehkan untuk seorang manusia itu berkahwin dengan jin?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Jin merupakan sebahagian daripada makhluk Allah SWT. Ia diciptakan sebelum daripada penciptaan Nabi Adam A.S. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ﴿٢٦﴾ وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.” [Surah Al-Hijr (26-27)]

Imam Al-Hafiz Ibn Katsir dalam menafsirkan firman Allah SWT:

مِن نَّارِالسَّمُومِ وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ
“Dan jin pula, Kami (Allah) jadikan ia sebelum itu, yakni sebelum manusia (Adam) daripada angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.” Ibnu Abbas meriwayatkan: “Iaitu api panas yang mematikan.” [Lihat Tafsir Al-Qur’an al-‘Azhim, Ibn Katsir (5/10)]

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kami menciptakan jenis jin ini sebelum penciptaan Nabi Adam A.S. Ia dicipta daripada api, angin yang sangat panas sehingga dapat membakar dan membunuh sesiapa sahaja yang mengalaminya.” [Lihat Tafsir al-Maraghi, (14/20)]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ آدَمُ عَلَيْهِ السَّلَامُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ
“Malaikat diciptakan dari cahaya, manakala jin diciptakan dari nyala api dan Adam diciptakan dari apa yang telah disifatkan (diceritakan) bagi kamu.” [Riwayat Muslim (2996)]

Menurut Ibnu Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan dan lainnya, berkenaan penciptaan jin daripada “مَارِجٍ مِنْ نَارٍ”, maksudnya ialah hujung api yang membara (طرف اللهب) dan dalam riwayat yang lain bermaksud daripada api yang murni (من خالصه). [Lihat Al-Bidayah wa al-Nihayah, Ibn Katsir (1/59)]

Golongan jin ini secara umumnya terbahagi kepada tiga golongan. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abi Tsa’labah al-Khusyaniy R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْجِنُّ ثَلاَثَةُ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ فِي الْهَوَاءِ ، وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلاَبٌ ، وَصِنْفٌ يَحِلُّونَ وَيَظْعَنُونَ
“Jin terdiri daripada tiga golongan. Satu golongan mempunyai sayap dan mereka terbang di udara, satu golongan berbentuk ular dan anjing, manakala satu golongan lagi mendiami sesuatu tempat dan berpindah-randah (seperti Arab Badwi).” [Riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (3702)]

Dalam mengulas berkenaan persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa secara umumnya para ulama’ berbeza pendapat tentang hukum manusia berkahwin dengan jin. Kata Syeikh Abu Hamid Al-‘Imad bin Yunus Rahimahullah: “Ya, boleh untuk manusia berkahwin dengan jin.”

Manakala Syeikh Syarafuddin Al-Barizi pula berkata: “Tidak dibolehkan bagi seseorang lelaki itu untuk berkahwin dengan seorang wanita dari kalangan jin. Ini berdasarkan mafhum dari dua firman Allah yang berikut:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا
“Dan Allah telah menjadikan buat kamu isteri-isteri daripada diri kamu sendiri.” [Surah Al-Nahl (72)]

Begitu juga firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا
“Dan antara tanda-tanda kebesaran-Nya adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri dari diri kamu sendiri supaya kamu berasa tenang kepadanya.” [Surah Al-Rum (21)]

Para ulama’ tafsir dalam huraian mereka ke atas dua ayat ini menyebut: “(Iaitu Allah SWT menjadikan buat kamu pasangan) dari jenis kamu sendiri yang mengikut proses kejadian kamu. Sama seperti firman Allah SWT:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari diri kamu sendiri.” [Surah Al-Taubah (128)]

Iaitu maksudnya dari kalangan anak Adam.”

Demikian juga para ulama’ yang menghalang perkahwinan dengan jin ini berhujahkan kepada sebuah hadis dhaif yang menyebut:

نهى النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم عَن نِكَاح الْجِنّ
“Nabi SAW melarang perbuatan nikah dengan jin.” [Riwayat Harb Al-Karmani secara mursal]

Antara ulama’ yang melarang perkahwinan antara manusia dan jin ini adalah Imam Al-Hasan Al-Basri, Qatadah, Al-Hakam bin ‘Utaibah, Ishaq bin Rahawaih, serta ‘Uqbah Al-Asom.

Begitu juga Syeikh Yusuf bin Ahmad Al-Sijistani dari kalangan fuqaha Al-Hanafiyyah menyebut: “Tidak dibolehkan perkahwinan antara manusia dengan jin.” [Rujuk Munyah Al-Mufti ‘an Al-Fatawa Al-Sirajiyyah]

Demikian juga antara hujahan lain menyebutkan bahawa pernikahan itu disyariatkan untuk menimbulkan perasaan kasih sayang, ketenangan (antara dua pasangan), serta mahabbah. Dan ciri yang demikian itu tidak dimiliki oleh golongan jin.

Begitu juga tidak terdapatnya kebenaran daripada syarak terhadap perkahwinan antara manusia dan juga jin. Bahkan Allah SWT berfirman:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ
“Maka bernikahlah dengan apa yang baik buat kamu dari kalangan orang perempuan.” [Surah Al-Nisa’ (3)]

Perkataan perempuan itu bermaksud nama bagi golongan perempuan anak Adam secara khusus. Maka kekallah pengharaman ke atas selain mereka (orang perempuan dari kalangan anak Adam). Ini kerana kaedah fekah menyebutkan: ‘Asal bagi kemaluan adalah haram sehinggalah datangnya dalil yang menghalalkan’.

Begitu juga para ulama’ menyatakan bahawa pernikahan sesama manusia di antara lelaki yang merdeka dengan perempuan dari kalangan hamba pun tidak dibenarkan sedangkan mereka dari jenis yang sama. Maka perkahwinan di antara manusia dengan jin adalah lebih utama untuk tidak dibenarkan.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa berdasarkan beberapa nas dan hujahan yang dikemukakan di atas, hukum perkahwinan di antara manusia dengan jin adalah dilarang. Ini bertepatan dengan maqasid syarak dari pensyariatan perkahwinan sesama manusia antara lelaki dan perempuan, iaitu untuk menghasilkan sakinah, mawaddah, serta menyebar luaskan keturunan manusia dari kalangan lelaki dan juga perempuan. Lebih-lebih lagi syarak amat menekankan tuntutan kafaah yakni sekufu sesama pasangan dalam perkahwinan.

Akhir kalam semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas