Connect with us

Oh! Media

Hukum Laksana Khatan Kanak-Kanak Di Dalam Masjid

Umum

Hukum Laksana Khatan Kanak-Kanak Di Dalam Masjid

Gambar hiasan kanak-kanak sebelum berkhatan di masjid

SOALAN:
Sekarang musim cuti sekolah. Majlis berkhatan sedang meriah di masjid dan surau. Apakah boleh berkhatan di dalam masjid dan surau?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Masjid-masjid dibina dengan tujuan-tujuan yang membawa kepada ibadah serta ketaatan kepada Allah SWT. Ini seperti ibadah solat, zikrullah, bacaan Al-Quran, iktikaf, sedekah, majlis ilmu, serta perkara-perkara keduniaan yang mempunyai sudut akhirat padanya. Manakala perkara-perkara keduniaan yang melibatkan maslahah individu seperti jual beli dan sebagainya, hendaklah dielakkan dari dilakukan di dalam masjid.

Ini seperti yang disebutkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا لاَ أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ
“Apabila kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam masjid maka ucapkanlah kepadanya: ‘Semoga Allah tidak menguntungkan perniagaan kamu’.” [Riwayat Al-Tirmidzi (1321)]

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ رَجُلاً يَنْشُدُ ضَالَّةً فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَقُلْ لاَ رَدَّهَا اللَّهُ عَلَيْكَ فَإِنَّ الْمَسَاجِدَ لَمْ تُبْنَ لِهَذَا
“Sesiapa yang mendengar seorang lelaki yang menyeru di dalam masjid bertanyakan barangnya yang hilang, maka ucapkanlah kepadanya: ‘Semoga Allah tidak mengembalikannya semula kepadamu’. Ini kerana masjid-masjid itu tidak dibina untuk tujuan seperti ini.” [Riwayat Muslim (568)]

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: “Antara faedah daripada hadis ini adalah; larangan ke atas perbuatan menyeru barangan yang hilang di dalam masjid. Turut termasuk di dalam larangan ini adalah perbuatan yang sama makna dengannya seperti jual beli, sewa, serta akad yang seumpamanya. Demikian juga (hadis ini menunjukkan) kemakruhan meninggikan suara di dalam masjid.”

Meskipun begitu, kami menyatakan bahawa larangan ini terikat sekiranya ia dilakukan dengan suara yang tinggi. Ini kerana perkara tersebut menafikan fungsi masjid itu sendiri. Namun, sekiranya dalam keadaan yang memerlukan seperti pada hari Jumaat yang biasanya melibatkan jemaah yang ramai, maka sekiranya para jemaah menemui barangan-barangan yang tercicir di kawasan masjid sama ada di tempat mengambil wudhu’, dalam tandas, atau dewan solat itu sendiri, bolehlah menyerahkan ia kepada pihak pengurusan masjid. Kemudian pengurusan masjid boleh mengumumkan kepada para jemaah secara lisan tanpa dikuatkan suara, khususnya barangan yang penting seperti telefon bimbit dan juga kunci kereta. Adapun jika barangan seperti kopiah, pakaian, cermin mata, boleh sahaja diiklankan di papan kenyataan atau ruangan yang disediakan untuk barang-barangan yang hilang.

Ini kerana masjid-masjid dibina dengan tujuan seperti yang dinyatakan dalam beberapa riwayat di atas. Sebaliknya, ia dibina dengan tujuan untuk didirikan solat, zikrullah, bacaan Al-Quran dan seumpamanya. Ini seperti yang dinyatakan menerusi firman Allah SWT:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَنْ تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
“Pada rumah-rumah (masjid) yang mana Allah telah mengizinkan untuk ditinggikan (dibina) dan disebut di dalamnya nama-Nya. Yang mana manusia itu bertasbih kepada-Nya di dalamnya (masjid) pada waktu pagi dan petang.” [Surah Al-Nur (36)]

Akhlak dan adab ini adalah meliputi kesemua masjid yang didirikan solat di dalamnya sama ada masjid jamek ataupun bukan (seperti surau-surau). Ini seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Abbas R.Anhuma dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas.

Juga seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لاَ تَصْلُحُ لِشَىْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلاَ الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلاَةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ
“Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak sesuai untuk sedikit pun dari air kencing ini dan juga sebarang kotoran. Sesungguhnya ia (masjid-masjid) hanyalah untuk zikrullah, solat, dan pembacaan Al-Quran.” [Riwayat Muslim (285)]

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami melihat isu khatan kanak-kanak yang dilakukan di dalam masjid adalah termasuk perbuatan yang menafikan fungsi masjid selaku tempat beribadah. Demikian juga apabila proses berkhatan ini melibatkan pendedahan aurat kanak-kanak di dalam masjid, maka ini bercanggah dengan firman Allah SWT:

خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ
“Dan ambillah perhiasan kamu pada setiap masjid.” [Surah Al-A’raaf (31)]

Dan yang dimaksudkan dengan perhiasan di dalam ayat ini adalah menutup aurat. Meskipun para ulama’ berbeza pendapat tentang batasan aurat bagi kanak-kanak melihat kepada usia mereka, namun langkah yang selamat adalah dengan meninggalkan perbuatan mendedahkan aurat tersebut di dalam masjid.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum melakukan khatan kanak-kanak di dalam masjid adalah dilarang. Kami mencadangkan supaya perbuatan berkhatan ini dilakukan di kawasan perkarangan masjid atau bilik-bilik khas yang disediakan untuk tujuan seperti ini dan bukannya dilakukan di dalam dewan solat utama. Ini kesemuanya berdasarkan beberapa nas dan hujahan yang telah kami kemukakan di atas.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas