Connect with us

Oh! Media

Hukum Isteri Minta Cerai Kerana Suami Tidak Solat

Umum

Hukum Isteri Minta Cerai Kerana Suami Tidak Solat

SOALAN:
Apakah hukumnya saya memohon perceraian sebab suami tidak solat? Dan saya nak failkan perceraian atas sebab tersebut.

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Solat merupakan tiang dan asas dalam agama. Tanpa pegangan agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Solat juga merupakan kewajipan bagi semua umat Islam yang mukallaf. Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah al-Dzariyat: 56)

Firman Allah SWT lagi:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Surah al-Baqarah: 43)

Dalam institusi kekeluargaan, agama adalah elemen yang penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagian rumahtangga seperti solat secara berjemaah dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Allah SWT memberikan suruhan kepada ketua keluarga agar menyuruh dan mengajak ahli keluarganya untuk menunaikan solat. Suruhan ini boleh dilihat pada firman Allah SWT:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Toha: 132)

Begitu juga sebuah hadith Rasulullah SAW:

“إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دخلت من أي أبواب الجنة شاءت
“Apabila seseorang wanita itu menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan mentaati pasangannya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendakinya.” [Riwayat Ibn Hibban (4163), sahih]

Melalui hadith ini, dapat difahami akan kewajipan menunaikan ibadah solat ke atas isteri. Maka, jika difahami secara mafhum al-mukhalafah yakni makna yang tersirat di sebaliknya, suami lebih ditekankan kewajipannya untuk menunaikan solat. Ini kerana suami merupakan ketua keluarga dan seorang ketua mesti menunjukkan sifat, contoh dan sikap yang baik terhadap ahli keluarganya, mendidik mereka dengan didikan agama dan membimbing mereka ke jalan yang betul.

Berbalik pada soalan yang diajukan, jika seorang suami atau ketua keluarga tidak menunaikan solat, maka perlulah dilihat terlebih dahulu akan sebab dan punca yang menyebabkan mereka tidak menunaikan solat itu. Jika seseorang itu meninggalkan solat dalam keadaan dia mengingkari akan kewajipan menunaikan solat, ataupun dia menunaikan solat tetapi pada masa yang sama dia mengingkari kewajipan itu, maka jatuhlah hukum kafir murtad ke atasnya berdasarkan ijma’ muslimin. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 3/14]

Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith Rasulullah SAW:

«إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ»
“Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang syirik dan kafir, iaitu meninggalkan solat.” [Riwayat Muslim (82)]

Dalam kes sebegini, jika si isteri ingin memohon cerai, maka perlulah dirujuk ke pihak mahkamah terlebih dahulu untuk disahkan status keislaman suami tersebut sebelum mahkamah dapat menentukan hukuman ataupun keputusan yang sesuai berkenaan perkahwinannya.

Adapun jika seseorang itu meninggalkan solat tanpa mengingkari akan kewajipannya terbahagi kepada dua jenis. Pertama, mereka yang meninggalkan solat atas sebab uzur seperti lupa, tertidur dan sebagainya. Maka diwajibkan ke atasnya untuk menggantikannya sahaja, dan tidak berdosa. Kedua, mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau meremeh-remehkannya, maka berdosalah dia tanpa khilaf. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 3/14]

Dalam hal ini, ia merupakan tanggungjawab dan kewajipan ahli keluarga yang lain untuk terus menasihatinya dan mengajaknya menunaikan solat dengan harapan dia akan kembali insaf dan bertaubat. Menuntut perceraian sememangngya dibolehkan dalam Islam. Akan tetapi, ia bukanlah suatu perkara yang disukai malah dibenci Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

أبغض الحلال إلى الله تعالى الطلاق
“Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talaq.” [Riwayat Abu Daud (2178), al-Hakim (2/197) dan beliau mensahihkannya]

Imam al-Khattabi dalam kitabnya Ma’alim al-Sunan (3/231) menyatakan makna benci pada hadith itu ialah pada sebab yang membawa kepada perceraian itu seperti pergaulan yang buruk sesama suami isteri dan bukannya pada perkara talaq itu sendiri, kerana Allah telah mengharuskan perbuatan talaq itu.

Justeru, nasihat kami di sini ialah sebaik-baiknya perkara ini diselesaikan terlebih dahulu sesama ahli keluarga sebelum menuntut perceraian. Isteri mesti menasihati suami untuk menunaikan solat sekadar termampu. Jika sebaliknya, ahli keluarga yang lain perlu bersama-sama memainkan peranan dengan menasihatinya juga.

Minta juga kerjasama dari ibu bapa mertua dan ibu bapanya sendiri untuk membantu memberikan nasihat dan peringatan akan balasan bagi mereka yang meninggalkan solat. Kemudian, mintalah juga bantuan dari orang-orang yang disegani pasangan untuk menasihatinya.

Selain itu, isteri boleh mengajak anak-anak atau ahli keluarga yang lain untuk solat secara berjemaah. Dengan ini, semoga akan timbul rasa segan dan malu dalam hati suami apabila meninggalkan solat.

Penutup

Kesimpulannya, orang yang meninggalkan solat adalah berdosa besar dan wajib menggantikannya. Banyak balasan dan azab yang disediakan mahupun di dunia nyata ataupun di Akhirat bagi mereka yang tidak menunaikan solat.

Maka, isteri perlulah sentiasa menasihati suami dalam hal ini bersama-sama ahli keluarga yang lain. Jika nasihat ataupun teguran tidak membuahkan hasil atau suami tetap tidak menunaikan solat, maka eloklah perkara ini diadukan ke Jabatan Agama Islam untuk mendapatkan nasihat selanjutnya.

Akhirnya, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan hidayah dan petunjuk, menetapkan hati kita dalam keimanan, memberikan keringanan dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadah terutamanya dalam menunaikan kewajipan solat, moga Allah SWT menerima segala amal dan memberkati segala usaha kita.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas