Connect with us

Oh! Media

Hukum Isbal: Harus, Makruh Atau Haram?

Umum

Hukum Isbal: Harus, Makruh Atau Haram?

Soalan:
Saya mendengar sebuah hadith yang maksudnya: “Siapa melabuhkan kainnya melebihi buku lali maka dia dalam neraka.” Jelas dari hadith ini hukumnya adalah haram. Soalannya kenapa masih ada ustaz yang memberi kuliyah mengatakan ia tidak haram melainkan kerana menyombongkan diri?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Hadith yang dimaksudkan oleh penanya ialah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ
“Apa yang melebihi buku lali itu daripada kain itu maka di dalam neraka.” (Riwayat Imam Bukhari)

Hukum memakai kain melebihi buku lali sebenarnya ialah makruh bukannya haram. Yang haram ialah melabuhkan kain yang dipakai melebihi buku lali bertujuan menunjuk-nunjuk kepada orang yang miskin dan menyombongkan diri. Jika tidak berniat demikian maka ulamak-ulamak tidak mengharamkannya tetapi hanya makruh menurut sebahagian ulamak dan sebahagian lagi mengatakan harus tanpa makruh.

Adalah salah jika kita mengatakan haram berkain labuh dari buku lali samada kerana sombong atau tidak kerana dalam hadith-hadith berkenaan isbal terlalu banyak riwayat yang mengaitkan dengan kesombongan diri.

Menolak hadith-hadith yang mengaitkan isbal dengan tujuan menyombongkan diri adalah perbuatan yang salah dan haram lagi bida’ah kerana melebihkan pendapat akal sendiri mengatasi hadith-hadith Nabi SAW.

Oleh kerana itulah para ulamak yang muktabar memfatwakan haramnya isbal jika kerana menyombongkan diri. Bukan semata-mata isbal sudah dikira haram.

Berkata Imam Nawawi:

الإسبال تحت الكعبين للخيلاء فإن كان لغيرها فهو مكروه وهكذا نص الشافعي على الفرق بين الجر للخيلاء ولغير الخيلاء
“Bermula isbal (yang diharamkan) iaitu melabuhkan kain melebihi buku lali kerana menunjukkan kesombongan. Maka jika bukan niat begitu maka hukumnya hanyalah makruh. Beginilah yang dinaskan oleh Imam Syafie pada membezakan labuh kerana sombong dan labuh bukan kerana sombong.” (Kitab Syarah Muslim)

Berkata Imam Ibnu Abd Barri:

مفهومه أن الجر لغير الخيلاء لا يلحقه الوعيد
“Yang difahami dari hadith-hadith ini bahawasanya melabuhkan kain melebihi buku lali bukan dengan niat menunjukkan kesombongan tidak termasuk dalam ancaman hadith tersebut.” (Kitab Fathul Baari)

Majlis Fatwa Negeri Mesir menyebut:

والإسبال المحرم هو ما كان على جهة الخُيَلاء والتكبر، وأما ما كان خاليًا عن شيءٍ من ذلك فلا يحرم، خاصة إذا جرت به عادة الناس ولم يعد هناك ارتباطٌ أو تلازمٌ بين الخيلاء والتكبر وبين الإسبال
“Dan isbal yang diharamkan ialah isbal bertujuan menunjuk-nunjuk kesombongan. Adapun tanpa tujuan demikian maka tidaklah haram istimewa pula pada zaman sekarang telah menjadi biasa manusia memakai pakaian labuh dan tidaklah dihitung yang demikian itu temasuk menunjuk-nunjuk kesombongan ketika berkain labuh.”

Berkata Imam Syaukani:

وهو تصريح بأن مناط التحريم: الخيلاء، وأن الإسبال قد يكون للخيلاء، وقد يكون لغيره
“Dan ia (iaitu hadith Nabi membenarkan Abu Bakar r.a. melakukan isbal) dengan bahawa tambatan haram pada isbal ialah kerana menunjukkan kesombongan. Maka sesungguhnya isbal itu boleh jadi niat menyombongkan diri dan boleh jadi tidak begitu.” (Nailul Authar)

Berkata Imam Ibnu Qudamah:

ويكره إسبال القميص والإزار والسراويل؛ لأن النبي – صلى الله عليه وسلم – أمر برفع الإزار. فإن فعل ذلك على وجه الخيلاء حرم
“Dan dimakruhkan melabuhkan jubah dan kain sarung dan seluar kerana Nabi SAW menyuruh menyingkatkannya. Maka jika berbuat demikian atas tujuan menunjukkan kesombongan maka hukumnya adalah haram.” (Kitab Al-Mughni)

Berkata Ibnu Muflih:

وقال في رواية حنبل: جر الإزار إذا لم يرد الخيلاء فلا بأس به وهذا ظاهر كلام غير واحد من الأصحاب – رحمهم الله
“Berkata pada salah satu riwayat Imam Ahmad: Melabuhkan kain iaitu apabila tidak bertujuan menunjukkan kesombongan maka tidaklah menjadi kesalahan dengannya. Inilah yang zahir perkataan bukan seorang dari ulamak-ulamak Hanbali.” (Kitab Adabul Syari’ah)

Berikut adalah antara hadith-hadith yang mengaitkan haramnya isbal ialah bila bertujuan menunjukkan kesombongan:

1. Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. sungguhnya Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ مِنْ الْخُيَلَاءِ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ أَبُو بَكْرٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَحَدَ شِقَّيْ إِزَارِي يَسْتَرْخِي إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَدَ ذَلِكَ مِنْهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّكَ لَسْتَ مِمَّنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ خُيَلَاءَ
“Siapa yang melabuhkan kainnya kerana menunjuk-nunjuk kesombongan maka Allah tidak melihatnya pada hari kiamat.” Maka berkata Abu Bakr r.a: “Ya Rasulullah sungguhnya hujung kainku labuh ke bawah selalu aku memegangnya.” Maka bersabda Nabi SAW: “Sungguhnya kamu tidak termasuk daripada orang-orang yang melabuhkan kain kerana menunjuk-nunjuk kesombongan.” (Sahih Bukhari)

2. Diriwayatkan dari Muhammad bin Abbad berkata ia:

سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ عَبَّادِ بْنِ جَعْفَرٍ ، يقول : أَمَرْتُ مُسْلِمَ بْنَ يَسَارٍ مَوْلَى نَافِعِ بْنِ عَبْدِ الْحَارِثِ ، أَنْ يَسْأَلَ ابْنَ عُمَرَ ، قَالَ وَأَنَا جَالِسٌ بَيْنَهُمَا : أَسَمِعْتَ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الَّذِي يَجُرُّ إِزَارَهُ مِنَ الْخُيَلَاءِ شَيْئًا ؟ ، قَالَ سَمِعْتُهُ ، يَقُولُ : ” لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Sabda Rasulullah SAW ketika ditanya hukum seorang melabuhkan kainnya kerana kesombongan: “Allah tidak memandangnya pada hari kiamat.” (Sahih Muslim)

3. Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. Nabi SAW bersabda:

من جر ثوبه خيلاء لم ينظر الله إليه يوم القيامة
“Barangsiapa menjatuhkan pakaiannya kerana menunjukkan kesombongan maka Allah tidak memandangnya pada hari kiamat.” (Jami’ Tirmidzi)

4. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ مِنْ مَخِيلَةٍ
“Sesiapa yang labuhkan pakaiannya dari kerana sombong.” (Sunan An-Nasaie)

5. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الَّذِي يَجُرُّ ثَوْبَهُ مِنَ الْخُيَلَاءِ
“Bahawasanya orang yang melabuhkan pakaiannya dari kerana menunjukkan kesombongan.” (Sunan Ibnu Majah)

6. Dari Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى مَنْ يَجُرُّ إِزَارَهُ بَطَرًا
“Allah tidak memandang pada hari kiamat nanti kepada orang yang melabuhkan kainnya kerana sombong.” (Muwattha’ Imam Malik)

7. Dari Ibnu Umar r.a. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الَّذِي يَجُرُّ ثَوْبَهُ مِنَ الْخُيَلَاءِ
“Sungguhnya orang yang melabuhkan pakaiannya sebab sombong..” (Musnad Imam Ahmad)

8. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ جَرَّ إِزَارَهُ لا يُرِيدُ إِلا الْخُيَلاءَ ، لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Siapa yang melabuhkan kainnya yang tiada lain melainkan berniat takabur maka Allah tidak melihatnya pada hari kiamat.” (Hadith Abi ‘Awanah)

9. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ جَرَّ إِزَارَهُ لا يُرِيدُ بِذَلِكَ إِلا الْمَخْيلَةَ
“Siapa yang labuhkan kainnya tidak bertujuan melainkan sombong..” (Sunan Baihaqi)

10. Nabi SAW bersabda:

مِنْ جَرَّ ثَوْبَهُ مِنَ الْخُيَلاءِ
“Barangsiapa menarik labuh pakaiannya sebab menunjukkan kesombongan..” (Musnad Ishaq bin Abi Rahawaih)

11. Rasulullah SAW bersabda:

لا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاءَ
“Tidak memandang oleh Allah kepada mereka yang melabuhkan pakaiannya sebab sombong.” (Musnad Humaidi)

12. Rasulullah SAW bersabda:

الَّذِي يَجُرُّ ثَوْبَهُ مِنَ الْخُيَلاءِ
“Orang-orang yang melabuhkan pakaiannya dari kerana sombong..” (Musnad Al-Bazzar)

13. Nabi SAW bersabda:

لا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى مَنْ جَرَّ إِزَارَهُ مِنَ الْخُيَلاءِ
“Tidak memandang oleh Allah akan mereka yang melabuhkan kainnya dari kerana sombong.” (Musnad Abi Ya’la)

Wallahua’lam.

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas