Connect with us

Oh! Media

Hukum Imam Solat Duduk Di Kerusi

Umum

Hukum Imam Solat Duduk Di Kerusi

Soalan:
Saya imam di sebuah masjid dan saya telah mendapat kesukaran untuk sujud di atas bumi maka saya sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi. Maka apakah hukum solat saya dan solat orang yang di belakang saya?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Bermula solat imam yang duduk di atas kerusi atau seumpamanya adalah sah dan memadai dengan syarat bahawa tidak mampu imam itu untuk berdiri kerana berdiri bagi yang mampu adalah rukun pada solat fardhu.

Bermula yang demikian itu adalah keringanan dari Allah Taala dan meraikan keadaan darurah yang terkadang berlaku pada seseorang. Allah Taala berfirman:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
“Tidaklah Allah memberatkan akan seseorang melainkan sekadar kemampuannya.” (Al-Baqarah: 286)

Dan firman-Nya lagi:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
“Dan tiadalah Allah mahu memayahkan kamu semua dalam beragama.” (Al-Haj: 78)

Dan uzur yang mengharuskan bagi seorang yang sakit itu duduk pada satu bahagian dari solatnya iaitu takut kesukaran yang amat akan menimpanya atau bertambah sakitnya atau lambat sembuhnya.

Berkata Imam Nawawi: “Dan tidak disyaratkan pada lemah itu bahawa tidak mengerjakan akan qiam dan tidak mencukupi kesukaran yang sedikit bahkan yang dikira ialah kesukaran yang nyata. Maka jika takut dia akan sakit atau bertambah penyakit atau seumpama yang demikian itu atau takut yang naik perahu akan tenggelam atau pening kepalanya maka solat dia dalam keadaan duduk dan tidak perlu diulangi.” (Al-Majmu’: jilid 4 m/s. 310)

Dan adapun solat makmum yang mengikut di belakang imam yang duduk itu maka ia adalah sah kerana sah solatnya bagi dirinya dan solat mereka di belakangnya berdiri. Ini berdasarkan hadith riwayat Ummul Mukminin Aisyah r.a pada kisah sakit Nabi saw yang membawa kepada wafatnya bahawasanya Nabi saw solat dengan manusia dalam keadaan duduk dan Abu Bakar r.a serta orang ramai solat di belakang baginda dengan berdiri. Hadith ini diwayat Imam Bukhari. Dan inilah pekerjaan akhir daripada Rasulullah saw.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas