Connect with us

Hukum Hidu Bau Masakan Dari Restoran Bukan Muslim

Umum

Hukum Hidu Bau Masakan Dari Restoran Bukan Muslim

SOALAN:
Apa hukum kita hidu bau masakan daging babi? Pejabat kami bersebelahan dengan restoran cina, setiap hari bau masakan sup babi memasuki pejabat kami. Kami tahu hukum memakannya memang haram, tapi adakah menghidunya setiap hari juga termasuk dalam perkara haram?

JAWAPAN:
Secara umumnya kita mengetahui bahawa anjing dan babi termasuk di dalam kategori najis mughallazah dan wajib dicuci mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).” (Surah al-Maidah: 3)

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan apa yang terdapat pada ain anjing dan khinzir sama ada bangkai, darah, air kencing dan sebagainya adalah najis. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/47)]

Menghidu makanan

Sebahagian fuqaha seperti al-Khatib al-Syirbini, Imam Abdul Hamid al-Syarwani, Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori dan Ibnu ‘Abidin menyebut di antara adab-adab ketika makan ialah tidak menghidu makanan serta tidak makan ketika makanan masih panas tetapi tunggu sehingga ia sejuk terlebih dahulu. [Lihat: Radd al-Muhtār ‘ala al-Durr al-Mukhtār (6/340), al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah (4/214), Mughni al-Muhtaj (4/412) dan Hasyiah al-Syarwani (7/438)]

Hal ini kerana perbuatan tersebut dilihat tidak manis, lebih-lebih lagi sekiranya kita sebagai tetamu menerima jemputan di rumah orang lain. Oleh sebab itu, para ulama’ meletakannya sebagai antara adab ketika makan. Selain itu, perbuatan menghidu makanan juga dikhuatiri akan memudaratkan makanan tersebut kerana kemungkinan nafas atau air yang keluar daripada hidung terkena kepada makanan tersebut ketika merapatkan hidung bagi menghidunya.

Akan tetapi kalau sekiranya kita menghidunya bagi mengenalpasti adakah makanan tersebut masih elok ataupun tidak atau perbuatan menghidu tersebut tidak memberi kesan kepada makanan tersebut, ianya tidak mengapa.

Begitu juga, tidak mengapa sekiranya kita menghidu bau makanan daripada jauh atau terhidu bau makanan walaupun daripada restoran bukan Muslim kerana ia termasuk di dalam perkara yang sukar dielakkan. (‘Umum al-Balwa) [1]

Bau masakan restoran bukan Muslim

Berbalik kepada isu di atas, kami melihat ia ada kaitan dengan asap atau wap yang terhasil daripada najis. Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan dengan hukum asap yang dihasilkan daripada pembakaran najis. Ini seperti yang dinyatakan Imam al-Nawawi di dalam kitabnya bahawa terdapat dua pandangan hukum berkenaan dengan asap yang dihasilkan daripada pembakaran najis di antaranya ialah:

Pandangan pertama menyatakan ianya adalah najis kerana ia terhasil daripada sumber yang najis. Ini adalah merupakan pendapat yang kuat di dalam mazhab Syafie, mazhab Hanbali, Abu Yusuf daripada ulama Hanafiyah.

Pandangan yang kedua menyatakan tidak najis kerana asap (wap) yang terhasil daripada najis sepertimana wap yang keluar daripada rongga badan. Ini juga merupakan fatwa mazhab Hanafi, pandangan yang muktamad di dalam mazhab Maliki dan sebahagian ulama’ mazhab Hanbali menyatakan bahawa asap yang terhasil daripada najis adalah bersih. Dan menurut ulama’ Hanafiyah, ini kerana mengambil jalan istihsan dan menghindari kesukaran.

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/579) dan al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (20/240)]

Kemudian, Imam al-Nawawi menukilkan pandangan daripada penulis kitab al-Hawi bahawa jika kita katakan bahawa asap yang terhasil daripada najis adalah najis, adakah ia najis yang dimaafkan? Terdapat dua pandangan berkenaan perkara ini.

Begitu juga, sekiranya kita katakan ia adalah najis yang tidak dimaafkan, maka mengelap jelaga yang terhasil daripada pembakaran tadi dapat dibersihkan (disucikan) dengan hanya menggunakan kain kering. Akan tetapi ia tidak dapat disucikan dengan menggunakan kain yang lembap melainkan setelah dibasuh dengan air.

Manakala penulis kitab al-Bayan pula berpendapat jika kita katakan asap tersebut adalah najis. Apabila bau asap tersebut melekat pada pakaian, ia dimaafkan sekiranya sedikit dan sekiranya banyak ia tidak boleh disucikan melainkan setelah dibasuh (dengan air).

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/579-580)]

Imam al-Ramli daripada ulama’ Syafiiyyah pula berpendapat bahawa sekiranya asap itu sedikit ia dimaafkan secara mutlak. Selain itu, mengikut pandangan Ibnu Hajar al-Haithami dimaafkan sekiranya asap itu sedikit atau asap itu terhasil bukan daripada najis mughallazah. Sekiranya daripada najis mughallazah maka dikira najis sama ada sedikit ataupun banyak. [Lihat: al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (20/240)]

Adapun gas ammonia [2] yang sukar dielakkan (‘Umum al-Balwa), hukumnya kekal sebagaimana yang asal iaitu suci melainkan sekiranya dipastikan (diyakini) ia daripada asap najis atau dua orang yang adil mengatakan bahawa ia terhasil daripada najis, maka ia termasuk dalam kategori najis. [Lihat: Nihayah al-Muhtaj (1/247)]

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan di atas, setelah kami melihat kepada pendapat para ulama’ beserta hujah-hujah mereka, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

  1. Kami cenderung kepada pendapat bahawa menghidu bau masakan daripada restoran termasuk di dalam perkara yang sukar dielakkan (‘Umum al-Balwa). Justeru, tidak mengapa menghidunya dan termasuk di dalam perkara yang dimaafkan walaupun daripada restoran bukan Muslim.
  2. Kita tidak mengetahui adakah bau makanan tersebut berasal daripada sumber yang mana, sama ada ia halal ataupun tidak. Dan kita tidak disuruh untuk terlalu mencari-mencari (bertanya) sehingga akhirnya ia menyusahkan diri kita sendiri sebagaimana kisah Bani Israil dan peristiwa penyembelihan lembu yang telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 67-74.

Maka, dalam hal ini kita kembali kepada hukum asal iaitu hukumnya adalah suci sepertimana kaedah yang menyatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
“Kita berhukum (tentukan hukum) berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Dia (Allah) yang menguasai perkara-perkara yang tersembunyi (rahsia).”

Begitu juga kaedah:

الشك لا يبنى عليه حكم
“Tidak terbina sesuatu hukum ke atas perkara yang syak.”

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agama-Nya serta mengamalkan syariat-Nya dengan sebaik mungkin.

Nota:
[1] sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku.
[2] Gas tidak berwarna, berbau sengit dan banyak digunakan dalam perusahaan bahan letupan, baja dan juga sebagai bahan penyejuk untuk peti ais. [Lihat: Kamus Pelajar Edisi Kedua, http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=ammonia]

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top