Connect with us

Oh! Media

Hukum Harta Bayi Yang Meninggal Dunia

Umum

Hukum Harta Bayi Yang Meninggal Dunia

SOALAN:
Anak saya yang berusia 2 bulan baru sahaja meninggal beberapa bulan lepas. Semasa hayatnya, arwah ada menerima hadiah berupa wang sewaktu kelahirannya, semasa hari raya & juga sedekah selepas meninggal daripada saudara mara dan kenalan kami. Persoalan saya ialah, apakah status wang tersebut? Adakah kami sebagai ibu bapa berhak terhadap wang tersebut dan menggunakannya untuk menunaikan umrah?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan sabda Rasulullah SAW:

«أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ»
“Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.” [Riwayat al-Bukhari (6732), Muslim (1615)]

Apabila meninggalnya seseorang dan meninggalkan harta, maka hendaklah dibahagikan hartanya itu kepada mereka yang layak (ahli waris yang berhak) mengikut apa yang termaktub dalam al-Quran dan juga dijelaskan melalui al-Sunnah.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut lafaz al-Faraid di sini memberi erti nisab kadar yang layak diterima bagi setiap waris seperti, separuh, sepertiga, seperenam dan lain-lain. Manakala, yang dimaksudkan dengan “ahliha” pula ialah orang yang berhak menerima harta peninggalan tersebut. [Lihat: Fath al-Bari; 12/11].

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, dapat dilihat di sini ada dua situasi berkenaan duit:

1. Apakah status bagi hadiah yang diterima bayi tersebut sebelum meninggal dunia dan juga wang sedekah yang diterima sementelah pemergian bayi tersebut?

2. Adakah boleh harta tersebut digunakan untuk menunaikan umrah?

Pada dasarnya, hadiah wang tunai sempena kelahiran dan sebagainya yang diterimanya sebelum meninggal dunia dikira sebagai harta pusaka. Manakala, wang sedekah yang diterima ibu bapa selepas pemergiannya tidak termasuk dalam harta pusaka. Ini berdasarkan takrifan para ulama’ berkenaan harta peninggalan si mati iaitu setiap yang ditinggalkan oleh si mati sama ada dalam bentuk harta dan hak-hak. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 4/7, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 11/206]

Perbincangan lanjut berkenaan hadiah berbentuk wang yang diterima bayi tersebut sebelum pemergiannya, adakah miliknya atau milik ibu bapanya. Jawapannya harta dan wang tersebut adalah milik bayi secara sah, dan ibu bapa tidak mempunyai pemilikan penuh terhadapnya melainkan dibolehkan bagi ibu bapa untuk menggunakan harta anaknya bagi tujuan membesarkannya dan apa-apa yang memberi manfaat kepadanya. Ini juga berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
“Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini.” [Riwayat al-Tirmidzi (2159)]

Berdasarkan keumuman hadith ini, ia menjelaskan bahawa Rasulullah SAW melarang mengambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
• Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya.
• Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
[Lihat: al-Mughni; 6/62]

Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.” [Riwayat Ibn Majah (2291)]

Justeru, apabila bayi tersebut telah meninggal dunia, maka harta miliknya perlulah dibahagikan kepada warisnya yang berhak setelah diuruskan jenazahnya terlebih dahulu dan tidak boleh diambil sewenang-wenangnya harta si bayi untuk hal peribadi. Dalam konteks ini, bayi yang meninggal dunia (sama ada lelaki atau perempuan) tidak meninggalkan waris berhak yang lain selain ibu dan ayahnya, maka berdasarkan firman Allah SWT:

﴾لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ﴿
“Bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.” (Surah al-Nisa: 11)

Sehubungan dengan itu, maka ibu bapanya merupakan waris yang berhak kepada bayi tersebut, dan menerima bahagian seperti yang dijelaskan dalam al-Quran iaitu 2 bahagian bagi si bapa dan 1 bahagian bagi si ibu, namun ia boleh dibahagi secara sama rata jika dipersetujui sesama ahli waris.

Maka, menjawab persoalan berkenaan bolehkah digunakan untuk perbelanjaan umrah, kami katakan ia boleh namun perlulah diutamakan terlebih dahulu pembiayaan pengurusan jenazah bayi, dan selebihnya bolehlah digunakan untuk perkara-perkara yang baik.

Kesimpulan

Tuntasnya, seorang bayi yang meninggal dunia, jika mempunyai harta sama ada berbentuk tunai mahupun simpanan sebelum pemergiannya, maka ia dikira sebagai harta pusaka, justeru perlulah dibahagikan kepada para warisnya yang berhak. Manakala, wang yang diterima selepas pemergiannya tidaklah dikira sebagai harta pusaka.

Akhir kalam ini, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya serta Allah SWT permudahkan segala urusan kita.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas