Connect with us

Oh! Media

Umum

Hukum Bersiul

Soalan:
Benarkah bersiul itu dilarang dalam Islam? Saya pernah mendengar bahawa bersiul itu merupakan amalan kebiasaan orang Musyrikin Quraisy?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Allah SWT telah menyatakan dengan jelas bahawa antara tatacara ibadah yang dilaksanakan oleh Musyrikin Mekah ialah dengan cara bersiul dan bertepuk tangan:

وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلَّا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ
“Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.” [Surah al-Anfal (35)]

Menurut Imam al-Jassas, siulan dan bertepuk tangan dinamakan solat bagi mereka, kerana kedua-duanya dilakukan sebagai pengganti kepada doa dan tasbih. Dan dikatakan juga bahawa mereka bertepuk tangan dan bersiul sewaktu sedang beribadah. (Rujuk Ahkam al-Qur’an 3/76)

Maka jelas, bersiul dan bertepuk tangan sewaktu beribadah merupakan satu perbuatan yang haram kerana menyerupai perbuatan orang kafir Quraisy. Adapun jika bersiul di luar ibadah, seperti nyanyian, gurauan dan sebagainya, maka para ulama telah menyatakan pandangan mereka seperti berikut:

1. Bersiul adalah dilarang. Ini merupakan pandangan ulama al-Lajnah al-Da’imah bahawa bersiul itu dilarang kerana ia merupakan tradisi kaum jahiliyyah dan sebahagian daripada akhlak yang buruk. (Rujuk Fatawa al-Lajnah al-Daimah 26/390). Dan diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas, bahawa bersiul merupakan antara akhlak kaum Nabi Luth AS. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 6/276)

2. Bersiul hukumnya makruh. Ia dinyatakan oleh Ibn Muflih yang menukilkan pandangan daripada Syeikh Abd al-Qadir (Rujuk Al-Adab al-Syar’iyyah 3/375). Ini juga pandangan Syeikh Ibn ‘Uthaimin yang menyatakan beliau tidak suka akan perbuatan bersiul dan menyebutnya sebagai makruh zatiyyah bukan makruh dari sudut syarak. Namun beliau sendiri mengakui bahawa dia tidak mempunyai dalil yang jelas untuk menyokong pandangannya ini. (Rujuk Liqa’at Bab al-Maftuh, 4/119)

3. Bersiul hukumnya diharuskan. Ini merupakan mafhum daripada pandangan-pandangan para ulama tafsir seperti Muhammad al-Amin al-Syanqiti dan Muhammad al-Tohir ibn ‘Asyur yang mengikat celaan Allah SWT terhadap siulan kaum kafir Quraisy atas sebab niat mereka untuk menghalang umat Islam daripada solat dan membaca al-Quran dengan cara bersiul di Masjid al-Haram. (Rujuk Adhwa’ al-Bayan 2/162 dan Al-Tahrir wa al-Tanwir 9/339)


Kesimpulan

Tuntasnya, kami menyatakan bahawa bersiul sekadar untuk hiburan dan suka-suka tanpa sebarang niat untuk meniru perbuatan kafir Quraisy atau kaum Nabi Luth, hukumnya diharuskan. Ini kembali kepada kaedah penting dalam fiqh:

الأصل في الأشياء الاباحة حتى يقوم الدليل على تحريمه
“Hukum asal setiap perkara (mu’amalah) adalah harus, sehingga adanya dalil yang mengharamkannya.”

Ulama yang mengharamkannya pula adalah kerana ia disebut di dalam al-Quran sebagai perbuatan ibadah kaum kafir Quraisy, meskipun tiada lafaz atau dalil lain yang jelas yang mengharamkannya jika dilakukan bukan dengan niat beribadah.

Namun demikian, keharusan ini adalah dengan syarat ia tidak digunakan pada tempat yang salah, seperti bersiul untuk menarik perhatian wanita, mengejek dan menyerupai orang fasiq. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas