Connect with us

Oh! Media

Hukum Bernikah Ketika Hamil Berzina & Bercerai Selepas Melahirkan

Umum

Hukum Bernikah Ketika Hamil Berzina & Bercerai Selepas Melahirkan

Soalan:
Apakah hukum seorang lelaki yang akan berkahwin dengan perempuan mengandung akibat perbuatan zina yang dilakukan bersama. Kemudian ingin menceraikannya selepas melahirkan anak kerana tidak sefahaman.

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Perkahwinan selepas melakukan penzinaan tidak akan menghilangkan dosanya itu melainkan dengan bertaubat kepada Allah SWT ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ubaidah bin Abdullah RA Sabda Nabi SAW:

لتَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لاَ ذَنْبَ لَهُ
“Orang yang bertaubat melakukan dosa sepertimana orang yang tidak melakukan dosa.” [Sunan Ibnu Majah (4391)]

Imam Nawawi menyatakan: “Sekiranya dosa yang dilakukan berulang kali sebanyak seratus kali atau seribu kali, Allah SWT akan menerima taubatnya.” (Lihat: al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Soghir, 5/111)

Hal berkenaan dengan perkahwinan dengan perempuan yang mengandung disebabkan zina adalah diharuskan mengahwininya. Ianya telah diputuskan dalam Persidangan JawatanKuasa Fatwa Majlis Kebangsaan seperti berikut:

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya

  • tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu,
  • tidak dapat pusaka daripadanya,
  • tidak menjadi mahram kepadanya,
  • dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

Talak

Para Ulama bersepakat (Ijma’) tentang pensyariatannya, ini seperti firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ
“Wahai Nabi! Apabila kamu (dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul).” (Surah al-Talaq: 1)

Talak merupakan jalan yang terakhir digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal akan tetapi perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafie: 4/120)

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Sabda Nabi SAW:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
“Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” [Riwayat Abu Daud (2178)]

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji pengarang telah membahagikan talak kepada tiga bahagian:

1. Talak Sunni: Bersih daripada haid dan nifas, dan tidak disetubuhi oleh suaminya lagi dalam tempoh tersebut. Hukumnya adalah harus dan jatuh talaknya. Talak ini bertetapan dengan ajaran syara’ bagi suami yang terpaksa menjatuhkan talaq sama ada talaq satu atau talaq tiga serentak.

2. Talaq Bid’i: Dalam keadaan haid atau nifas, ataupun dia dalam keadaan suci, tetapi telah disetubuhi oleh suaminya, talak dalam keadaan itu dinamakan talak bid’i. Hukumnya adalah haram dan berdosa dan jatuh talaknya kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA Sabda Nabi SAW:


أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عنه رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ لِيُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ ثُمَّ تَحِيضَ، ثُمَّ تَطْهُرَ، ثُمَّ إِنْ شَاءَ أَمْسَكَ بَعْدُ وَإِنْ شَاءَ طَلَّقَ قَبْلَ أَنْ يَمَسَّ، فَتِلْكَ الْعِدَّةُ الَّتِى أَمَرَ اللَّهُ أَنْ تُطَلَّقَ لَهَا النِّسَاءُ
Abdullah bin Umar RA yang menceraikan isterinya ketika haid pada zaman Rasulullah SAW. Umar bin al-Khattab bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Lalu, Baginda bersabda: “Suruhlah dia rujuk semula kepada isterinya. Janganlah ceraikannya sehingga dia suci, kemudian haid dan suci lagi. Kemudian, jika dia ingin bersama isterinya, teruskanlah. Dan jika dia ingin bercerai, ceraikanlah sebelum menyetubuhinya. Inilah ‘iddah yang diperintahkan oleh Allah dalam menceraikan isteri.” [Riwayat al-Bukhari (4953)]

Sebab diharamkan talak Bid’i ini kerana memberi kemudharatan kepada isteri disebabkan panjangnya tempoh ‘iddah kerana waktu haid tidak termasuk di dalam ‘iddah. Begitu juga diharamkan menceraikan isteri yang disetubuhi ketika suci kerana berkemungkinan akan mengandung.

3. Talak yang tidak disifatkan dengan sunni dan bid’i ialah:

  • Perempuan masih kecil yang belum datang haid.
  • Putus haid.
  • Mengandung yang nyata.
  • Tidak pernah disetubuhi oleh suami.
  • Meminta cerai secara khulu’.

Talak dalam keadaan ini bukan sunni ataupun bid’i. Hukumnya harus dan jatuh talaknya. Ia tidak haram kerana tidak menyebabkan kemudharatan kepada isteri. Isteri yang masih kecil dan perempuan yang putus haid, mereka beribadah dengan kiraan bulan. Oleh itu, mereka tidak menanggung tempoh `iddah yang lebih panjang. Isteri yang mengandung, `iddahnya selesai selepas melahirkan anak. Begitu juga, isteri yang bercerai dengan tebus talak kerana perbuatan menebus diri daripada suami dengan harta, menunjukkan keinginan untuk bercerai dan kerelaannya menunggu tempoh `iddah yang panjang. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 4/125)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas dapat kami bahagikan kepada dua bahagian:

1. Persoalan berkenaan dengan pernikahan dengan perempuan hamil disebabkan dengan zina adalah diharuskan namun diwajibkan mengikut perkara-perkara yang di tetapkan oleh Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Selain itu pasangan tersebut wajib bertaubat di atas kesalahan yang lalu dan tidak akan mengulanginya lagi. Ini seperti firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31)

2. Perbuatan melakukan talak selepas isterinya bersalin (ketika waktu nifas) berdasarkan dalil di atas adalah diharamkan namun talak tetap jatuh. Hal ini termasuk kepada talak bid’i dan akan memberi kemudharatan kepada isteri kerana panjangnya waktu.

Oleh itu, sebaiknya hal ini dirujuk kepada mahkamah syariah serta mendapat khidmat nasihat daripada badan yang berautoriti. Selain itu kami juga menasihatkan supaya mengadakan perbincangan dengan baik. Selain itu, disarankan untuk mengamalkan doa seperti berikut:

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُن وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Al-Furqaan: 74)

Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas