Connect with us

Oh! Media

Hukum Bernazar Tanpa Menyebut Nama Allah SWT

Umum

Hukum Bernazar Tanpa Menyebut Nama Allah SWT

SOALAN:
Adakah terbatal nazar sekiranya kita tak menyebut nama Allah. Contoh: “Dapat SPM 10A, aku akan berpuasa 10 hari.” Macam tu sahaja ayatnya, mohon penjelasan.

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء
“Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syarak (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.” [Rujuk: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, Dr. Muhammad Al-Zuhaili (2/501)]

Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
“Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.” [Surah Al-Hajj (29)]

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mukminin Aisyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
“Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepada-Nya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.” [Riwayat Al-Bukhari (6696)]

Para ulama’ menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu:

  • Sighah (bentuk ucapan).
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر).
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور).

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan: “Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan: ‘Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’. Sekiranya seseorang itu menyebut: ‘Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah: ‘Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan).” [Rujuk: Al-Mu’tamad, Dr. Muhammad Al-Zuhaili (2/505)]

Begitu juga Syeikh Zakaria bin Ahmad bin Zakaria Al-Ansari menyatakan:

كَقَوْلِ مَنْ يَصِحُّ نَذْرُهُ ‘’لِلَّهِ عَلَيَّ كَذَا’’ أَوْ ‘’عَلَيَّ كَذَا’’ بِدُونِ لِلَّهِ إذْ الْعِبَادَاتُ إنَّمَا يُؤْتَى بِهَا لِلَّهِ فَالْمُطْلَقُ فِيهَا كَالْمُقَيَّدِ عَلَى الْأَصَحِّ
“Seperti ucapan mereka yang sah nazarnya: ‘Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’, ataupun ‘ke atas diriku perbuatan sekian’ tanpa sebutan ‘untuk Allah’. Kerana ibadat-ibadat ini hanya dilakukan untuk Allah. Maka sebutan secara mutlak (umum) padanya sama seperti muqayyad (terikat dengan nama Allah) menurut pendapat yang paling sahih.” [Rujuk: Al-Ghurar Al-Bariyyah (5/208)]

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, nazar tersebut termasuk sebahagian dari jenis nazar al-tabarrur (التَّبَرُّرِ) iaitu yang disebut sebagai nazar al-mujaazaah (المجازاة). Maksud nazar al-mujaazaah ini adalah: Seseorang itu mewajibkan suatu ibadah sebagai imbal balas terhasilnya nikmat atau terhalangnya keburukan ke atas dirinya. Oleh yang demikian, sekiranya tertunai apa yang dihajatkan, maka wajib ke atas diri seseorang itu menyempurnakan tuntutan nazar yang telah diucapkan.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum nazar tanpa menyebut nama Allah SWT adalah sah. Ini kerana sesuatu ibadah itu diketahui hanya dilakukan untuk Allah semata-mata. Oleh yang demikian, dalam kes ini, sekiranya dia mendapat apa yang disebutkan dalam nazarnya itu, maka wajib untuk dirinya berpuasa selama tempoh yang telah dia sebutkan seperti yang disebutkan di dalam hadith Nabi SAW:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ
“Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya.” [Riwayat Al-Bukhari (6696)]

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas