Connect with us

Oh! Media

Hukum Bedah Siasat Ke Atas Mayat

Umum

Hukum Bedah Siasat Ke Atas Mayat

Kemuliaan Manusia

ADVERTISEMENT

Sebelum kita mengulas isu ini dengan lebih panjang, suka untuk kami menjelaskan tentang karamah insaniah (kemuliaan manusia) terlebih dahulu.

Secara asalnya, seorang muslim itu haram ditumpahkan darahnya tanpa hak. Menjaga kehormatan diri seorang muslim itu sesudah mati sama hukumnya seperti memelihara kehormatan dirinya semasa hayatnya.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا
Mematahkan tulang orang yang telah mati sama seperti mematahkannya ketika dia hidup. [Riwayat Abu Dawud (3207)] 

Kata Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani: Diambil faedah dari hadis ini, bahawa sesungguhnya kehormatan seorang mukmin kekal selepas matinya dia. Sebagaimana kehormatannya semasa hayatnya. Fath Al-Bari, (9/142. Cet. Dar Al-Salam)

Pandangan Fuqaha

Pun begitu, kaedah syarak telah menggesa dan menetapkan bahawa syiar agama kita adalah mendatangkan maslahah dan menolak mafsadah (kerosakan). Justeru, kita dapati bahawa para fuqaha kita telah mengharuskan pembedahan perut seorang wanita hamil yang telah meninggal dunia, bagi menyelamatkan janin di dalam perutnya yang ada kebarangkalian besar untuk hidup. Demikian para fuqaha juga membenarkan dibuangnya janin dengan tujuan untuk menyelamatkan ibunya, apabila terdapat ghalabah zhan (berat sangkaan) si ibu akan mati disebabkan kewujudan janin tersebut.

Selain itu, apabila kita merujuk kepada pandangan para ulama silam, kita akan dapati bahawa sebahagian mereka ada yang berpandangan akan keharusan memakan daging anak Adam (manusia) yang telah mati bagi seseorang yang berada dalam keadaan darurat. Al-Imam Tajuddin Al-Subki telah menjazamkan bahawa pendapat yang sahih dalam mazhab Syafi’e adalah seseorang yang dalam keadaan darurat boleh memakan daging anak Adam yang telah meninggal dunia.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, kita akan dapati bahawa pembedahan ke atas mayat bagi mengenalpasti kesan-kesan kematian, atau dengan tujuan-tujuan tertentu yang ada padanya maslahah seperti mempelajari ilmu perubatan, ini adalah maslahah yang diambil kira oleh syarak dan diberi keharusan untuk melakukannya.

Fatwa Kontemporari

Kami kemukakan di sini beberapa fatwa dari institusi-institusi agama di peringkat antarabangsa dan juga kebangsaan.

Pertama: Fatwa Lajnah Hai’ah Kibar Al-Ulama Arab Saudi

Pada perhimpunan ke-9 Jawatankuasa Kibar Ulama Arab Saudi yang dijalankan di Thoif pada bulan Sya’ban tahun 1396H ada dibincangkan berhubung penjelasan hukum yang diajukan dari pihak kedutaan Malaysia yang meminta pihak kerajaan Arab Saudi menjelaskan pendirian berhubung pembedahan kesihatan yang dijalankan ke atas mayat seorang muslim. Kemudian Jawatankuasa Fatwa Kibar Al-Ulama menjelaskan tiga bahagian berikut:

  • Pembedahan atau autopsi dengan tujuan untuk mengenalpasti dakwaan jenayah.
  • Pembedahan yang bertujuan untuk mengenalpasti penyakit-penyakit yang berjangkit. Supaya usaha pencegahan dapat dilakukan bagi mengekang penularan penyakit tersebut.
  • Pembedahan yang bertujuan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran.

Majlis yang bersidang secara kesimpulannya bersepakat bahawa ketiga-tiga bentuk pembedahan ini boleh dilakukan.

Kedua: Fatwa Kebangsaan Malaysia.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan hukum bedah siasat mayat yang kematiannya bukan dikategorikan sebagai kes jenayah telah memutuskan:

  • Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan dalam keadaan darurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian, serta penyelidikan dan pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.

Kesimpulan

Di dalam kaedah fekah ada menyebut: Apabila bertembung di antara maslahah ‘ammah (umum) dengan maslahah khossah (bersifat peribadi), maka yang didahulukan adalah maslahah umum. Dalam kes autopsi ke atas mayat, apa-apa yang menimpa si mati seperti mencemar kehormatan dirinya adalah dianggap masalahah yang bersifat khas. Manakala kesan dari perbuatan autopsi yang dapat mengenalpasti punca-punca penyakit, dan seterusnya dapat menghalang penyakit tersebut dari tersebar dalam kalangan masyarakat, maka ini adalah maslahah yang bersifat umum. Kerana itu ia didahulukan dan diharuskan untuk dilaksanakan.

Penutup

Akhir kalam, kami menyarankan kepada pihak perubatan yang diamanahkan untuk melakukan post mortem terhadap jenazah agar memperhalusi beberapa dhawabith (kriteria) dan saranan yang berikut:

  • Memelihara kehormatan si mati.
  • Menjaga adab dan etika dengan sebaik mungkin.
  • Keputusan berdasarkan kepada keperluan yang mendesak sahaja.
  • Apabila ada jenazah orang kafir yang boleh digunakan dalam tujuan perubatan atau pengenalpastian punca penyakit, dahulukanlah jenazah mereka terlebih dahulu berbanding jenazah orang Islam.
  • Sekiranya ada wasilah (alternatif) lain yang boleh digunakan dalam mengajarkan cara autopsi, dahulukanlah ia tanpa perlu mencemarkan kehormatan si mati.
  • Sekiranya autopsi ke atas si mati tidak dipersetujui oleh keluarga si mati, hormatilah keputusan mereka. Namun sekiranya pihak pakar perubatan merasakan ada keperluan yang menggesa kepada pembedahan ke atas mayat, tenangkanlah keluarga si mati dengan menyatakan implikasi baik dari pembedahan yang akan dilakukan. Ini kerana, Allah SWT menyuruh kita berlaku adil dan ihsan. Termasuk dari berlaku adil itu ialah, mengenalpasti sebab kematian yang berlaku ke atas si mati supaya kematiannya terbela dalam kes-kes tertentu.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak perubatan kerana telah melakukan satu tugas yang mulia. Jazakumullahu khayran.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas