Connect with us

Oh! Media

Hukum Henti Bantuan Kewangan Kepada Saudara Yang Beberapa Kali Telah Dibantu

Umum

Hukum Henti Bantuan Kewangan Kepada Saudara Yang Beberapa Kali Telah Dibantu

SOALAN:
Apa hukumnya jika saya berhenti membantu saudara yang hidup dalam kesempitan setelah berkali-kali dibantu. Alasan saya, kerana mereka ini masih sihat dan boleh berkerja namun enggan mencari kerja.

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Secara umumnya, saling membantu sesama umat Islam ini tanpa mengambil kira sama ada mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita atau tidak merupakan suatu kewajipan yang dituntut oleh syarak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
“Dan hendaklah kamu saling membantu di atas perkara-perkara kebajikan dan juga ketaqwaan.” [Surah Al-Ma’idah (2)]

Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa amal kebajikan ini merupakan suatu yang bersifat umum. Ia boleh jadi diberikan sama ada dalam bentuk tenaga, buah fikiran dan nasihat, atau harta benda bergantung kepada situasi yang paling diperlukan oleh individu yang ditujukan kebajikan kepadanya.

Bersedekah kepada kaum kerabat merupakan antara kategori sedekah yang paling afdhal setelah sedekah kepada kedua ibubapa. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:

“Abu Talhah merupakan individu dari kalangan Ansar yang paling banyak hartanya di Madinah. Harta yang paling beliau cintai adalah suatu kebun yang disebut sebagai Bayraha dan ia terletak berhadapan dengan masjid. Rasulullah S.A.W pernah memasuki kebun tersebut dan meminum suatu minuman yang enak di dalamnya.” Lalu Anas berkata: “Apabila turunnya ayat:


‏‏ لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ‏
“Kamu sama sekali tidak akan mencapai pahala kebajikan sehinggalah kamu membelanjakan apa yang kamu cintai.‏”


maka Abu Talhah pun menuju kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Sesunguhnya Allah telah berfirman di dalam kitab-Nya: Kamu sama sekali tidak akan mencapai pahala kebajikan sehinggalah kamu membelanjakan apa yang kamu cintai.‏ Dan sesungguhnya harta yang paling aku cintai adalah Bayraha dan ia aku jadikan sebagai sedekah kerana Allah, yang mana aku mengharapkan kebajikan dan ganjarannya di sisi Allah. Maka gunakanlah ia wahai Rasulullah ke mana sahaja yang kau kehendaki.” Maka Rasulullah SAW bersabda:


بَخْ ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ قَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ فِيهَا وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ
“Amat baik, ia merupakan harta yang menguntungkan. Aku telah mendengar apa yang kamu sebutkan namun aku berpendapat agar ia (sedekah kebun tersebut) diberikan kepada kaum kerabat kamu.‏”


Maka Abu Talhah pun mengagihkan kebun itu kepada kaum kerabatnya dan juga sepupu-sepupu beliau dari sebelah ayah.” [Riwayat Muslim (998)]

Imam Al-Nawawi Rahimahullah dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: “Hadis ini menunjukkan kepada kelebihan memberi nafkah dan bersedekah kepada kaum kerabat, isteri, anak-anak, dan juga kedua ibubapa.” [Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi]

Meskipun begitu, dari sudut hukumnya kita perlu jelas bahawa hukum sedekah itu terbahagi kepada dua iaitu wajib dan juga sunat. Sedekah wajib itu merupakan zakat manakala sedekah sunat adalah disebut sebagai sedekah tathawwu’.

Merujuk kepada situasi seseorang yang mampu berkerja namun tidak mahu berkerja mencari belanja hidup, berikut kami sertakan beberapa tuntutan syarak dalam menjelaskan bahawa seseorang itu dituntut untuk berkerja dan mencari rezeki hasil usahanya sendiri berbanding mengharap dan meminta-minta bantuan dari orang lain. Terdapat beberapa nas yang menunjukkan kepada hal ini. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يَحْتَطِبَ أَحَدُكُمْ حُزْمَةً عَلَى ظَهْرِهِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ أَحَدًا، فَيُعْطِيَهُ أَوْ يَمْنَعَهُ
“Sekiranya salah seorang kamu menebang pokok kayu dan memikul kayu kayan di atas belakang badannya maka itu lebih baik daripada dia meminta kepada seseorang sama ada orang tersebut memberinya atau tidak memberinya.” [Riwayat Al-Bukhari (2074)]

Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa sebarang pekerjaan itu sama ada ia senang atau sukar, ia adalah lebih afdhal berbanding meminta-minta bantuan kewangan dari manusia yang lain. Ini kerana ia hakikatnya merupakan suatu bentuk kemuliaan kerana dia memperoleh pendapatan hasil titik peluhnya sendiri dan bukannya menerusi perbuatan meminta-minta.

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ دَاوُدَ ـ عَلَيْهِ السَّلاَمُ ـ كَانَ لاَ يَأْكُلُ إِلاَّ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ
“Sesungguhnya Daud A.S tidak memakan melainkan dari hasil pekerjaan beliau sendiri.” [Riwayat Al-Bukhari (2073)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, merujuk kepada situasi yang terdapat di dalam persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa pada asasnya adalah sunat sahaja hukumnya untuk seseorang itu memberi bantuan kewangan atau bersedekah kepada kaum kerabatnya. Justeru, tidak ada masalah sekiranya bantuan tersebut diberhentikan atas alasan-alasan yang dirasakan munasabah. Namun jika bantuan tersebut diteruskan berserta nasihat yang baik, sentiasalah tangan yang berada di atas itu lebih baik dari tangan yang menerima.

Dalam masa yang sama, kami menasihati semua individu yang diberikan kesihatan yang baik untuk sentiasa berusaha berkerja mencari belanja kehidupan kerana ia merupakan sebahagian dari tuntutan syarak. Akhir kalam semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas