Connect with us

Oh! Media

Guna Selimut Berjahit Ketika Ihram Dalam Pesawat

Umum

Guna Selimut Berjahit Ketika Ihram Dalam Pesawat

Soalan:
Saya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeddah. Ihram di Qarnul Manazil. Dalam pesawat, saya dibekalkan kain selimut yang berjahit. Bolehkah saya menggunakan selimut itu?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Berkenaan persoalan di atas, boleh menggunakan selimut itu selagi belum sampai di Qarnul Manazil (miqat). Akan tetapi sejurus selepas berihram dan melepasi Qarnul Manazil, maka hanya boleh menggunakan dengan menutup sekadar leher sahaja tanpa menutup muka bagi jemaah perempuan dan kepala bagi jemaah lelaki. Ini kerana ia termasuk dalam larangan ihram.

Nabi SAW melarang lelaki yang di dalam ihram daripada menutup kepala. Para sahabat pernah bertanya berkenaan aturan pemakaian ketika dalam ihram, lalu Baginda SAW bersabda:

لَا يَلْبَسُ الْقَمِيصَ وَلَا الْعِمَامَةَ وَلَا السَّرَاوِيلَ وَلَا الْبُرْنُسَ وَلَا ثَوْبًا مَسَّهُ الْوَرْسُ أَوْ الزَّعْفَرَانُ
“(Orang yang dalam ihram) tidak boleh memakai baju, imamah (penutup kepala), seluar, burnus (baju yang ada penutup kepala), atau baju yang dicelup wars (tanaman yang digunakan untuk mewarnakan kain menjadi kekuningan), atau yang dicelup za’faran (tanaman yang digunakan untuk mewarnakan dan memberikan bau khas pada kain).” [Riwayat al-Bukhari (134), Ahmad (4482)]

Dalam sebuah hadis yang lain berkenaan orang yang mati ketika dalam ihram, Nabi SAW lalu memberikan arahan tentang cara untuk mengkafannya dan menyuruh agar tidak menutup kepalanya. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menceritakan bahawa ada orang yang terpelanting daripada unta ketika dalam ihram, lalu Baginda SAW bersabda:


اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ ، وَكَفِّنُوهُ فِى ثَوْبَيْنِ ، وَلاَ تُحَنِّطُوهُ وَلاَ تُخَمِّرُوا رَأْسَهُ ، فَإِنَّهُ يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُلَبِّيًا
“Mandikan dia dengan air dan bidara, kafankan dia dengan dua helai kain, jangan diberi wangian, dan jangan ditutup kepalanya. Sesungguhnya dia akan dibangkitkan sambil melantunkan talbiyah.” [Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (2948)]

Selain itu, Baginda SAW juga melarang wanita yang dalam ihram daripada menutup muka. Sabda Baginda SAW:

وَلَا تَنْتَقِبْ الْمَرْأَةُ الْمُحْرِمَةُ وَلَا تَلْبَسْ الْقُفَّازَيْنِ
“Janganlah wanita yang berada di dalam ihram memakai niqab (penutup muka) dan jangan juga memakai sarung dua tangannya.” [Riwayat al-Bukhari (1838)]

Oleh itu, jelas apabila sudah berihram, maka selimut hanya boleh digunakan dengan menutup sekadar leher sahaja tanpa menutup muka bagi jemaah perempuan dan kepala bagi jemaah lelaki. Hal ini kerana ia termasuk dalam larangan ihram. Akan tetapi, jika sebelum daripada Qarnul Manazil, seperti di KLIA, maka dibolehkan.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan Syariat-Nya. Amin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas