Connect with us

Golongan Ahlul Bait Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah

Umum

Golongan Ahlul Bait Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah

SOALAN:
Saya ada satu soalan berkenaan siapakah sebenarnya Ahlul Bait menurut Ahli Sunnah wal Jamaah? Adakah mereka yang bernama Syed dan Syarifah sahaja merupakan keturunan Ahlul Bait?

JAWAPAN:
Definisi ‘Ahlul Bait’ dari segi bahasa menurut kamus Lisanul ‘Arab (1/268) terdiri daripada dua perkataan; ahlul dan bait yang bermaksud ahli keluarga, sanak saudara dan kaum kerabat.

Gelaran lain yang biasa digunakan bagi menggambarkan Ahlul Bait ialah Syed dan Syarifah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Syed dan Syarifah ialah gelaran yang diberikan kepada mereka yang berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Para ulama’ syariah dan sejarah telah membincangkan secara panjang lebar golongan yang tergolong dalam kalangan Ahlul Bait. Terdapat beberapa golongan yang disebutkan sebagai Ahlul Bait sama ada secara umum atau secara khusus, antaranya:

1. Ahlu al-Kisa’ (Golongan yang diselubungi kain) antara golongan yang disebut secara khusus sebagai Ahlul Bait.

Mereka terdiri daripada lima orang termasuk baginda SAW; Hasan R.A, Husain R.A, Fatimah R.A dan Sayyidina Ali R.A. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A:

خَرَجَ النبيُّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ غَداةً وَعليه مِرْطٌ مُرَحَّلٌ، مِن شَعْرٍ أَسْوَدَ، فَجاءَ الحَسَنُ بنُ عَلِيٍّ فأدْخَلَهُ، ثُمَّ جاءَ الحُسَيْنُ فَدَخَلَ معهُ، ثُمَّ جاءَتْ فاطِمَةُ فأدْخَلَها، ثُمَّ جاءَ عَلِيٌّ فأدْخَلَهُ، ثُمَّ قالَ: {إنَّما يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ البَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا} [الأحزاب: ٣٣].
Baginda SAW keluar pada suatu pagi membawa sebuah kain (Kisa’) bersamanya; kain diperbuat daripada bulu berwarna hitam. Lalu, apabila Hasan bin Ali datang kepadanya, baginda menyelubunginya dengan kain tersebut. Kemudian, Husain R.A pula datang, baginda menyelubunginya bersama. Kemudian, datang Fatimah R.A, Rasulullah menyelubungi pula. Terakhir sekali, Ali R.A pula datang dan baginda menyelubunginya bersama. Lantas Nabi memetik ayat al-Quran: “Sesungguhnya Allah ingin membersihkan kamu semua; sebagai ahli bait daripada sebarang kekotoran dan menjadikan kamu semua suci-sesucinya” (Surah al-Ahzab: 33). [Riwayat Muslim (2424)]

2. Isteri-isteri Nabi

Mengikut kepada pandangan yang rājih (lebih tepat), kesemua isteri nabi tergolong dalam kalangan Ahlul Bait berpandukan ayat al-Quran yang melarang isteri-isteri baginda SAW mengikut adat Jahiliyyah dalam berpakaian dan berhias. Allah SWT berfirman:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu -wahai “Ahlul Bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa konteks nas di atas menunjukkan isteri-isteri Nabi SAW tergolong dalam kalangan Ahlul Bait bahkan asbāb al-nuzūl (sebab penurunan) ayat ini dikhususkan untuk mereka. (Lihat: Tafsir Ibn Katsir, 6/410)

3. Bani Muṭṭalib dan Bani Hashim

Jumhur ulama’ berpandangan bahawa Ahlul Bait dilarang menerima harta zakat. Namun, mereka berselisih pandangan siapakah Ahlul Bait yang dimaksudkan. Imam Nawawi Rhm. (wafat 676H) ketika menyatakan susur galur keluarga Nabi yang dilarang menerima zakat menyebut bahawa larangan tersebut dikenakan kepada ahli keluarga Nabi Muhammad SAW dari susur galur Bani Hasyim dan Abdul Muttalib. (Lihat: Syarh Nawawi ‘ala Muslim, 7/175)

Berdasarkan hadith riwayat Jubair Bin Muṭʿim R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَشيتُ أَنا وعُثْمانُ بنُ عَفّانَ إلى رَسولِ اللَّهِ ﷺ، فَقُلْنا: يا رَسولَ اللَّهِ أَعْطَيْتَ بَنِي المُطَّلِبِ وتَرَكْتَنا، ونَحْنُ وهُمْ مِنْكَ بمَنْزِلَةٍ واحِدَةٍ؟ فَقالَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ: إنَّما بَنُو المُطَّلِبِ، وبَنُو هاشِمٍ شيءٌ واحِدٌ.
Aku berjalan bersama Uthman bin Affan menuju ke Rasulullah SAW lantas kami berkata: “Wahai Rasulullah, engkau berikan kepada kaum kerabat Mutthalib (1/5 harta rampasan perang Khaibar) sedangkan kami tidak dapat apa-apa pun! Bukankah kedudukan kami sama seperti mereka?” Rasulullah SAW menjawab: “Sebenarnya kerabat yang sama kedudukan dengan Bani Muṭṭalib adalah daripada kalangan kerabat Bani Hāshim.” [Riwayat al-Bukhari (3502)]

Hadith ini menjadi isyarat bahawa kaum kerabat selain daripada Bani Muṭṭalib dan Bani Hāshim, mereka bukanlah daripada kategori Ahlul Bait. Buktinya, perawi di atas Jubair Bin Muṭʿim R.A yang bertanya mewakili kaum kerabat Bani Naufal tidak berhak mendapat bahagian harta rampasan perang (ghanīmah) sedangkan seperti sedia maklum jika mereka tergolong dalam kalangan Ahlul Bait, mereka pasti mempunyai bahagian dalam harta rampasan. Ini merujuk kepada firman Allah SWT:

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا غَنِمْتُم مِّن شَيْءٍ فَأَنَّ لِلَّـهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ إِن كُنتُمْ آمَنتُم بِاللَّـهِ وَمَا أَنزَلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا يَوْمَ الْفُرْقَانِ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِۗ وَاللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Ketahuilah bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk Rasul-Nya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada “Hari Al-Furqaan”, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Surah al-Anfal (41)]

Keluarga daripada Bani Hashim Bin Abdu Manaf terdiri daripada; keluarga Ali, keluarga ʿAqil, keluarga Jaʿfar dan keluarga ʿAbbas. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Zaid bin Arqam R.A berkaitan hadith Thaqalain (dua perkara yang berat):

وَإِنِّي تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللَّهِ تَعَالَى وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ -فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ وَرَغَّبَ فِيهِ – قَالَ: وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي ” فَقَالَ لَهُ حُصَيْنٌ : وَمَنْ أَهْلُ بَيْتِهِ يَا زَيْدُ ؟ أَلَيْسَ نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ ؟ قَالَ: إِنَّ نِسَاءَهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ وَلَكِنَّ أَهْلَ بَيْتِهِ مَنْ حُرِمَ الصَّدَقَةَ بَعْدَهُ. قَالَ: وَمَنْ هُمْ؟ قَالَ:”هُمْ آلُ عَلِيٍّ وَآلُ عَقِيلٍ وَآلُ جَعْفَرٍ وَآلُ عَبَّاسٍ” قَالَ: أَكُلُّ هَؤُلَاءِ حُرِمَ الصَّدَقَةَ! قَالَ: نَعَمْ
“Sesungguhnya aku (Nabi Muhammad SAW) telah meninggalkan kepada kamu thaqalain (dua perkara yang berat), padanya terkumpul cahaya petunjuk. (Pertamanya) berpeganglah dengan kitab Allah Taala dan teguhkan pendirian kalian dengannya -lalu beliau menganjurkan agar melazimi al-Quran dalam masa yang sama memberikan motivasi dengan al-Quran. (Keduanya) dan keluargaku aku mengingatkan kalian kepada Allah perihal keluargaku, aku mengingatkan kalian kepada Allah perihal keluargaku, aku mengingatkan kalian kepada Allah perihal keluargaku.” Kemudian Ḥuṣain bertanya kepada Zaid bin Arqam: “Wahai Zaid siapakah mereka yang tergolong dalam anggota keluarganya? Bukankah semua isteri beliau termasuk daripada keluarga beliau?” Zaid menjawab: “Sesungguhnya kesemua isteri baginda termasuk dalam kalangan Ahlul Bait dan mereka (Ahlul Bait) diharamkan menerima sedakah (termasuk zakat).” Ḥuṣain kembali bertanya: “Siapa saja di antara mereka yang termasuk Ahlul Bait Rasulullah?” Zaid menjawab: “Mereka adalah keluarga Ali, keluarga ‘Aqil, keluarga Ja’far dan keluarga ‘Abbas.” Ḥuṣain bertanya lanjut: “Adakah mereka semua diharamkan menerima sedekah?” Zaid kembali menjawab: “Ya, benar.” [Riwayat Ahmad (18464)]

Oleh yang demikian, berdasarkan keterangan dan huraian di atas dapat disimpulkan bahawa Ahlul Bait menurut Ahli Sunnah wal Jamaah termasuk: Ahlul Kisa’, isteri-isteri Rasulullah, anak-anak dan cucu-cucunya, serta kaum kerabatnya daripada keturunan Bani Hashim dan Bani Muttalib. Barangsiapa yang mempunyai bukti bahawa susur galur keturunannya sampai kepada Rasulullah SAW melalui jalur-jalur di atas, maka mereka berhak dianggap sebagai Ahlul Bait walaupun nama mereka tidak mempunyai gelaran ‘Syed’ mahupun ‘Syarifah’.

Wallahuaʿlam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top