Connect with us

Oh! Media

Faizal AF4 Nekad Tinggalkan Dadah, Mulakan Hidup Baru Dengan Perkahwinan Ketiga

Umum

Faizal AF4 Nekad Tinggalkan Dadah, Mulakan Hidup Baru Dengan Perkahwinan Ketiga

ADVERTISEMENT

Juara program realiti Akademi Fantasi (AF) musim keempat, Mohammad Faizal Ramly atau Faizal, 32, mengakui kegagalannya mengawal diri hingga terjebak dengan anasir negatif meragut kerjaya seni dan hampir memusnahkan hidupnya.

Anak kelahiran Marang, Terengganu itu berkata, populariti yang diraih membuatnya lupa bumi yang dipijak dan akhirnya terjebak dengan perbuatan sia-sia. Ketelanjurannya itu juga menyebabkan dua perkahwinannya menjadi korban.

Kesal dengan apa yang berlaku, Faizal yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2006 mengakui dirinya sudah berubah, malah pertemuan dengan isteri yang dinikahinya pada November lalu, Sahidatul Najiha memberikan harapan kepadanya untuk memulakan hidup baharu.

“Ia perkahwinan ketiga saya dan tidak dinafikan, pada permulaan isteri kerap menangis kerana perbuatan saya. Alhamdulillah, berkat doa dan kesungguhannya yang ingin melihat saya berubah, saya tidak lagi terbabit dengan gejala yang sia-sia. Saya tidak mahu melihatnya menderita lagi.

“Tanpa sokongannya dan rakan kongsi perniagaan, Linda Mohd Shariff, kehidupan saya mungkin masih terumbang-ambing. Mungkin saya tidak mewah, tetapi apa yang ada hari ini cukup untuk membahagikan isteri dan keluarga.

“Saya bersyukur isteri yang kini hamil tiga bulan menerima saya seadanya malah tidak pernah berputus asa untuk melihat saya kembali pulih,” katanya.

Faizal yang pernah popular dengan lagu, Datanglah dan Lihatlah mengakui, dakwaan mengatakan dirinya terjerumus dalam gejala negatif adalah benar.

Ia bermula apabila dirinya terpengaruh dengan hasutan rakan-rakan untuk mencuba dan tanpa disangka, memberikan kesan buruk kepada kehidupannya. Disebabkan terlalu mengikut kata hati, dua perkahwinannya yang terdahulu gagal diselamatkan.

Menurut Faizal, perkahwinan pertamanya bertahan selama tiga tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Alia Damia, 7. Perkahwinan kedua pula musnah tidak sampai setahun.

“Saya tidak menyalahkan bekas isteri kerana kegagalan itu berpunca daripada kesilapan sendiri. Ketika berdepan konflik rumah tangga, saya semakin hanyut kerana terlalu tertekan. Tidak mahu terus hidup begitu, saya nekad pulang ke kampung halaman, tiga tahun lalu.

“Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Cukup sudah saya melalui derita yang berpanjangan. Dulu, saya dikenali ramai tetapi kerana kesilapan sendiri, saya dihina dan dipandang sebelah mata.

Alhamdulillah, saya sudah pulih sepenuhnya dan ingin membuka buku baharu dalam kehidupan,” katanya. Kembali menetap di Kuala Lumpur, Faizal kini mengusahakan perniagaan bersama Linda dengan menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan, Beauty 18 menerusi syarikat, Care Synergy Sdn Bhd.

Dilancarkan beberapa bulan lalu, mereka memperkenalkan enam produk untuk penjagaan kesihatan dalaman dan luaran.

“Saya juga menjadi duta produk ini, malah terhutang budi dengan Linda yang memberi peluang kepada saya untuk terus bernafas dan mencari rezeki.

“Saya lebih bersemangat untuk bekerja selepas sihat dan pulih sepenuhnya. Saya juga merancang untuk menghasilkan single baharu yang berkisar mengenai kehidupan silam saya yang penuh kelam,” katanya.

Sumber : BH Online

Wow JUTAWAN kosmetik dari FELDA. Anak felda jer muka pun biasa jer, tapi mungkin rezeki dia lah kot.. Tapi admin pelik camne dia ade duit buat bisnes kan.. Sape anak FELDA boleh share?

Posted by Oh! Media on Sunday, March 6, 2016

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas