Connect with us

Oh! Media

Eina Azman Perjelas Isu Parking Di Petrol Pump Untuk Beli Subway

Umum

Eina Azman Perjelas Isu Parking Di Petrol Pump Untuk Beli Subway

Jika anda ada membaca artikel yang kami laporkan semalam, pastinya anda tahu berkenaan satu laporan tentang penyebaran gambar dan caption yang sangat viral di laman sosial di post seseorang tentang tindakan pelakon muda, Eina Azman dikatakan telah meletakkan keretanya (parking) di tempat mengisi minyak dan pergi makan di Subway yang dianggap sebagai satu sifat yang tidak bertanggungjawab.

ADVERTISEMENT

Hari ini Eina Azman dengan tenang dan profesional memberi maklumbalas terhadap tuduhan tersebut melalui satu kenyataan di Instagram milik beliau.

“Pada yang tak tahu tu tolonglah jangan tokok tambah… Eina cuma nak tanya 1 soalan saja “pernah tak anda pergi isi minyak lepas tu masuk dalam beli makanan? Terima kasih lah pada semua yang mengata dan menghina saya dan suami.. Semoga Allah merahmati kamu semua :)” – Eina Azman

Dari penjelasan Eina Azman ini, dapatlah Oh! Media simpulkan ada kemungkinan-besarnya saksi yang melihat dan mengambil gambar tersebut telah salah faham dan menyangka Eina Azman masuk ke dalam “untuk makan Subway” sedangkan Eina Azman hanya masuk ke dalam seketika untuk “membeli Subway” atau kata lainnya take away.

Jika meninggalkan kereta dan berjalan masuk ke kedai selepas mengisi minyak, ianya perkara biasa dilakukan ramai orang. Kami berharap artikel ini memberi gambaran dan penjelasan terbaik tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Berikut kami sertakan perbualan Eina Azman dan pihak akhbar seperti yang dipaparkan di akhar Kosmo hari ini.


NAMA pelakon cantik
Datin Paduka Eina Azman tiba-tiba menjadi bualan hangat pada awal minggu
ini selepas didakwa telah meletakkan kenderaan mewah miliknya,
Chevrolet Camaro di salah satu tempat mengisi minyak di sebuah stesen
minyak di Seri Kembangan, Selangor sehingga mengganggu pengguna lain
yang berada di situ.

Apa yang mengejutkan, menurut dakwaan, tindakan pelakon filem Ratu
The Movie itu meletakkan kenderaan di petak tersebut semata-mata hanya
untuk menikmati makan malam di sebuah restoran berdekatan bersama suami,
Datuk Paduka Gurmet Singh, 35

Akibatnya, gambar tersebut telah menjadi viral dalam laman sosial
sehingga menyebabkan pelakon berasal dari Mentakab, Pahang itu dikecam
hebat oleh ramai pihak.

Bagi mendapatkan penjelasan, baru-baru ini Kosmo! telah menghu­bungi
Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 19, untuk mendapatkan
kepastian tentang situasi yang berlaku.

Semalam tersebar gambar kereta dan kenyataan me­ngatakan pada malam
hujung minggu lalu, Eina Azman dan suami dikatakan telah meninggalkan
kenderaan itu di dalam petak pam minyak untuk menikmati makan malam di
sebuah restoran makanan segera. Adakah benar kereta itu milik anda dan
boleh anda komen mengenai perkara itu?

Ya, saya mengaku dengan hati yang jujur itu adalah kereta saya dan
memang saya dan suami meletakkan kenderaan kami di situ pada malam
berkenaan.

Sebenarnya pada malam kejadian, saya dan suami dalam perjalanan ke
Seremban untuk menghadiri mesyua­rat. Ini pengakuan saya tentang dakwaan
tersebut. Sebelum itu saya mahu ajukan soalan kepada semua, ketika anda
berada di stesen minyak, adakah ia perkara normal jika anda keluar
sebentar dari kereta untuk membeli barang di kedai? Ia perkara normal
bukan? Saya letak kenderaan di situ hanya dalam tempoh tidak sampai 10
minit. Saya dan suami ma­suk ke dalam kedai untuk beli barang makanan,
bukan pergi ke restoran Subway untuk makan seperti yang didakwa.

Itu adalah perkara biasa jika sedang dalam perjalanan jauh, kita akan
berhenti di mana-mana stesen minyak untuk mengisi minyak ken­deraan dan
membeli barang makanan. Apa yang salahnya di situ? Jika benar ada yang
mengatakan saya letak kereta di situ dan dengan tanpa rasa bersalah
pergi ke Subway untuk makan, mengapa tidak ambil gambar saya sedang
makan? Mengapa hanya ambil gambar kereta sahaja. Itu tidak adil kerana
ia menimbulkan fitnah kepada saya. Jika benar mahu buktikan saya
benar-benar bersalah dalam hal ini, mengapa tidak ambil gambar saya
sedang makan?

Kalau betul mahu reka cerita, jangan melampau sampai tahap begini.
Saya letak kenderaan betul-betul dalam kotak kuning. Bukan saya letak di
tengah jalan sehingga mengganggu laluan pengguna lain untuk mengisi
minyak di situ. Lagi pula jika dilihat dalam gambar tersebut, kawasan
stesen pam minyak itu sangat besar dan banyak lagi lorong lain untuk
mengisi minyak. Lainlah jika di belakang kereta saya ada berderet lagi
kereta lain beratur. Jika saya melakukan perbuatan pentingkan diri
sendiri seperti itu, ya saya tidak akan melen­ting kalau ada pihak cakap
saya buat hal.



Sejujurnya, apakah reaksi anda ketika mendapat tahu be­rita itu?

Saya mendapat berita itu daripada rakan saya. Dia (rakan) memaklumkan
kepada saya tentang perkara itu dan pada masa yang sama, orang ramai
tidak henti-henti memberi res­pon negatif kepada saya di laman sosial.
Sejujurnya, memang saya terkejut betul dengan cerita itu. Saya tidak
sangka dengan hanya meletakkan kenderaan di sana sama seperti orang
lain, saya terus dikecam. Pada masa yang sama, saya juga berasa pelik.
Selepas kahwin, sudah lama tidak ada cerita kontroversi mengenai saya.
Tiba-tiba hanya kerana perkara kecil sebegini, nama saya kembali
diperkatakan orang. Saya juga sudah berjanji kepada diri sendiri dan
suami bahawa selepas kahwin, saya tidak mahu terlibat dengan apa-apa
kontoversi lagi. Suami juga tidak suka saya terlibat dengan kisah yang
tidak benar. Adakah itu adil kepada saya hanya disebabkan saya Eina
Azman? Jika saya orang biasa, bukan artis atau bukan orang yang
dikenali, adakah ia akan jadi isu juga? Tidak, bukan.

Perkara ini benar-benar buat saya tertekan. Mengapa perkara remeh
sebegitu pun ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab mahu jadikan
isu? Namun, apa yang paling mengecewakan saya, ramai orang di luar sana
percaya dengan cerita tersebut. Baru sahaja baca cerita itu, terus
percaya tanpa mahu fikir dengan logik akal. Kalau betul ada pihak yang
tidak ber­puas hati, boleh pergi periksa rakaman kamera tele­visyen
tertutup (CCTV) di pam minyak tersebut. Lihat sendiri apa yang berlaku
sebenarnya pada malam itu.

Jadi, apa tindakan anda mengenai perkara tersebut?

Bagi saya, jika mahu buat cerita tentang saya pun, berpada-padalah.
Takkan sampai mereka-reka cerita yang tidak benar seperti ini. Saya
memang marah apabila tiba-tiba orang me­nyalahkan saya tentang perkara
yang saya tidak lakukan. Saya sebenarnya sudah lama menahan perasaan.
Dari dahulu sehinggala sudah berkahwin pun, orang akan tetap bercakap
buruk mengenai saya. Orang akan tetap hina walaupun saya tidak pernah
kacau hidup orang lain. Apabila berdepan dengan perkara seumpama ini,
apa lagi yang mampu saya lakukan. Mulut orang, sampai bila-bila pun kita
tak akan mampu tutup. Kalau saya cakap mahu saman, orang luar akan
adili saya ini seorang yang mengada-ngada

Baiklah. Beralih kepada per­kembangan terkini anda, boleh kongsikannya sedikit?

Buat masa sekarang, saya sedang sibuk untuk membuat persiapan majlis
resepsi perkahwinan saya pada awal tahun depan. Majlis ini saya dan
suami buat khas untuk kaum keluarga serta saudara-mara terdekat
kedua-dua belah pihak. Ia akan berlangsung pada 1 Februari tahun depan
di Kuala Lumpur.

Sekarang memang saya tidak ada apa-apa aktiviti lakonan. Saya masih
dalam mood berehat selepas majlis pernikahan tempoh hari. Masih belum
bersedia untuk kembali ke set penggambaran. Mungkin saya akan kembali
aktif dalam kerjaya selepas selesai majlis resepsi itu nanti.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas